Tuesday, August 3, 2010

Kelebihan Ramadhan

  • Daripada Anas (r.a), Katanya: Bersabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba apabila melihat ia sehari bulan Ramadan lantas dia memuji Allah ( kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaanya) kemudian dibacanya Al-Fatihah tujuh kali, melainkan diafiatkan Allah daripada sakit matanya pada bulan ini.
  • Kelebihan bulan Ramadan dan keagungannya dengan adanya malam Lailatul Qadar yang dirahsiakan, sehingga mendapat keampunan dan pahala serta darjat dan darjah tertinggi bagi orang yang berjaya mendapatkan malam Lailatul Qadar dengan dipenuhi amal ibadah dan bertaqwa kepada Allah, disamping sembahyangnya yang sunat , istiqfar, tasbih dan berzikir sepenuhnya.
  • Berkata Saidina Ali, Nabi (s.a.w) telah bersabda apabila engkau melihat sehari bulan maka bacalah olehmu "AllahuAkbar" 3 kali, kemudian bacalah :


    1. (Segala kepujian bagi Allah yang telah menjadikan aku dan telah menjadikan engkau, dan telah menentukan bagi engkau pangkat-pangkat (darjah) dan telah menjadikan engkau tanda (kekuasaan) bagi sekalian alam) nescaya bermegah Allah akan Dia dengan malaikat dan firmanNya: Hai malaikat! saksikanlah kamu, bahwa Aku telah merdekakan daripada api neraka, atau dibacakan :


      (Ya Allah, zahirlah Ramadan atas kami dengan keamanan dan keimanan dan dengan keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhan engkau Allah.)
  • Bersabda Nabi (s.a.w) : Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadan. Pada awal malam bulan Ramadan bertiup angin di bawah Arasy bergeraklah daun kayu lemah-longlainya di dalam syurga. Terdengarlah desiran daun-daun kayu, hembusan sang bayu syurga yang teramat indahnya.Seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya lalu berdirilah di atas puncak mercu syurga itu. Lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah, kata bidadari pula: Apakah malam ini namanya? jawab Malek Ridwan (malaikat), Hai bidadari yang cantik manis, inilah malam awal Ramadhan, Lalu Allah berfirman: Hai Ramadan bukalah pintu syurga Bab AlJanan untuk orang-orang yang berpuasa daripada umat Muhammad (s.a.w). Hai Malek Ridwan tutuplah pintu neraka Al-Jahim daripada umat Muhammad (s.a.w), hai Jibrail belenggukan syaitan, lontarkannya ke dalam lautan supaya tidak membinasakan umat Muhammad akan puasanya. Maka berfirman Allah pada tiap-tiap malam Ramadan tiga kali : Adakah orang yang meminta ampun? Akan Aku ampunkan!
  • Pada malam Lailatul Qadar menyuruh Allah Ta'ala akan Jibrail Alaihisalam turun ke bumi, lalu turunlah Jibrail ke dalam perhimpunan malaikat ke bumi bersamanya bendera hijau lalu dipacakkan ke atas Kaabah, baginya 600 sayapnya , setengahnya tiada dibuka keduanya, melainkan pada malam Lailatul Qadar baharulah dibukakan keduanya, hingga sampai dari timur ke barat ( Musyriq Ke Maghrib ). Untuk menyelamatkan umat Muhammad, Lalu memberi salam kepada tiap orang yang berjaga pada malam Lailatul Qadar beribadah kerana mencari keredaan Allah, dan orang-orang yang duduk beribadah, orang yang sembahyang dan berzikir dan berjabat tangan sesama mereka mukmin dan mengucap amin doa orang-orang mukmin hingga terbit fajar subuh....... berkata para malaikat kepada Jibrail , apakah Allah berikan pada hajat orang mukmin dari umat Muhammad (s.a.w) pada bulan Ramadan ini? Berkata Jibrail bahawasanya Allah menilik kepada umat Muhammad yang berpuasa dan beribadah padanya dan dimaafkan mereka, diampunkan dosa-dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya: yaitu orang yang kekal minum arak, orang yang derhakakan ibubapanya, orang yang memutuskan sillaturrahim dan orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari 3 hari.
  • Apabila pada malam akhir Ramadan dinamakan malam persalinan. Pada malam hari raya Aidilfitri didatangkan Allah malaikat kepada tiap-tiap negeri turunlah mereka ke bumi, berdiri pada permukaan jalan menyeru dengan suara yang kuat, semua mendengarnya kecuali jin dan manusia berkata mereka, hai umat Muhammad keluarlah kamu menghadap tuhan yang amat mulia (sembahyang raya di pagi raya) yang memberi pemberian yang berpanjangan dan mengampun akan dosa-dosa yang besar. Apabila tibalah umat Muhammad ke tempat sembahyang, firman Allah kepada maliakat : Hai malaikatKu, apakah balasan orang yang mengambil upah apabila selesai kerjanya ? Jawab malaikat , hai Tuhan kami, sempurnakanlah upahnya! Firman Allah bahawa Aku saksikan kamu hai malaikatku, telah aku jadikan pahala mereka dari puasa mereka pada bulan Ramadan mereka mendirikan sembahyang, ialah keredaanKu dan keampunanKu kepada mereka! Maka firmannya lagi : Hai segala hambaku, pohonlah kamu kepada ku, maka demi ketinggianku dan kebesaranku, tiada memohon kepadaku hari ini akak sesuatu bagi agamamu dan duniamu, melainkan Aku kurniakan kepadamu! (Al-Hadith).
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Diberi kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya :
    • a) Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah
    • b) Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya.
    • c) Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatul Qadar.
    • d) Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas kepadanya yang berkuasa menahan syahwatnya, makan minumnnya kerana Aku.
    • e) Dan mereka dikurniakan nikmat kepada mereka keseronokkan ketika berbuka dan ketika menemui tuhan di akhirat.(Al-Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardhu, dan amal fardhu diberi balasan 70 kali ganda. Bulan puasa adalah bulan sabar (sabar dalam berbuat taat kepadaNya.), dan sabar itu adalah syurga balasannya bulan ini dilebihkan rezeki kepada hambanya orang mukmin, diampunkan baginya dosa-dosa. Barang siapa memberi makan kepada orang berpuasa pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya, berkata sahabat : Bagaimana kami tak sanggup memberi makan orang yang berpuasa (berbuka puasa) ya Rasullullah - Allah memberi pahala ini kepada orang yang memberi seteguk susu atau sebiji kurma atau segelas air, barang siapa kenyangkan orang berpuasa diampunkan Tuhan dosanya, diminumkan Tuhan dari kolam Hudh sejenis minuman yang tiada dahaga lagi kemudiannya hingga masuk ia ke syurga dan pahalanya seperti pahala orang berpuasa. (Al-Hadith)
  • Puasa menurut segala yang disuruh dan menjauh segala pantang larangannya, diampunkan dosanya, dan bertasbih, bertahlil dibinakan rumah indah dalam syurga.
  • Barang siapa hadir ke dalam majlis zikir pada bulan Ramadan, ditulis tiap langkahnya ibadat setahun, dan pada hari Qiamat bersamaku di bawah Arasy. Siapa tetap berjemaah dalam bulan puasa didirikan kota bercahaya indah, cemerlangnya , dan yang berbakti kepada ibubapanya Allah memandang rahmat kepadanya, dan isteri yang berbuat sesuatu mencari keredaan suaminya, maka pahala yang besar Allah kurniakan kepadanya , seperti Siti Maryam dan siapa yang menyampaikan hajat orang mukmin, Allah menunaikan seribu hajatnya, dan siapa bersedekah kepada fakir miskin (yang ada anak isteri) tiap langkah dikurniakan kepadanya seribu kebajikan, dihapuskan seribu kejahatan dan diangkatkan seribu darjat baginya. (Al-Hadith).
  • Orang yang sembahyang bulan Ramadan tiap sekali sujud, dikurniakan kepadanya 1700 kebajikan, dan dibinakan rumah didalam syurga daripada permata bagi orang yang berpuasa dan beribadat, 75000 malaikat meminta ampun baginya dari pagi hingga tenggelam matahari, dan dibina sebuah mahligai baginya . (Al-Hadith)
  • Pada hari Qiamat, Allah memerintah Malek Ridwan supaya dikeluarkan orang-orang berpuasa daripada kuburnya dengan keadaan lapar dan dahaga, lalu disuruh Malek Ridwan berikan segala keinginan mereka dari segala macam makanan dan minuman syurga. Maka Malek Ridwan memerintah kepada anak-anak membawa talam-talam makanan , minuman dan buah-buahan. Sebagai balasan berlapar di bulan Ramadan. (A-Hadith)
  • Orang mukmin yang tidur dalam bulan puasa kerana puasa Ramadan, dia membalikkan badannya sambil meyebut Allah! maka kata malaikat kepadanya : Rahimakallah (Allah Mencucuri Rahmat kepada kamu.)
    • - Apabila dia berdiri maka berdoalah hamparannya : (Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadanya hamparan permaidani tebal kepadanya di dalam syurga)
    • - Apabila memakai pakaian , berdoalah pakaian (Wahai Tuhanku, kurniakan kepadanya pakaian syurga)
    • - Apabila memakai kasut, berdoalah kasut (Wahai Tuhanku, tetapkanlah atas titian Siratul Mustaqim!)
    • - Apabila memegang timba berdoalah pula timba : (Wahai Tuhanku kurniakan kepadanya gelas syurga!)


    • - Apabila mengambil air sembahyang , berdoalah air itu : (Wahai Tuhanku sucikannya daripada segala dosa dan kesalahan!)


    • - Apabila berdiri sembahyang , berdoalah rumahnya: ( Wahai Tuhanku cahayakanlah kuburnya dan luaskanlah , lapangkanlah kuburnya!)


    • Serta menilik Allah kepadanya , maksudnya : HambaKu berdoa dan Aku menerima! (Al-Hadith)
  • Malaikat yang banyak muka bersujud kepada Allah pada hari Qiamat, satu muka sujud , satu muka melihat syurga, satu muka melihat neraka, satu muka melihat Arasy , lalu berkata malaikat itu : Wahai Tuhanku , ampunlah umat Muhammad, kasihanilah mereka! janganlah disiksa orang yang berpuasa Ramadan dari umat Muhammad! (Al-Hadith)

    • Keredaan Allah (bagi orang yang taat)
    • Keampuan Allah (bagi orang yang maksiat)
    • Jaminan Allah (bagi orang yang taat)
    • Kejinakan Allah (bagi orang yang tawakkal)
    • Anugerah Allah (bagi orang yang benar).
      • Ramadan, Ramada, ertinya : membakar - yakni menghapuskan dosa dosa orang yang berpuasa dan beribadat bulan Ramadan.
      • Ramadan ertinya bulan mendapatkan keredhaan Allah dan keampunan bagi hambaNya. Orang yang mendapat keredhaan dan keampunan Allah bererti memberi jaminan (kerana ibadatnya pada bulan mulia dengan penuh taat) mendapat syurga anugerah Allah bagi hambaNya yang benar benar melakukan ibadat kerana Nya pada bulan Ramadan termulia ini dengan ganjaran pahala sehingga seribu kali ganda dan keampunan yang banyak sekali, teristimewa pada malam Lailatul Qadar.

    • "Bahawa di dalam syurga terdapat bilik bilik, dilihat dari luar nampak di dalamnya dan dilihat dari dalam kelihatan di luarnya, berkata sahabat : untuk siapakah ya Rasulullah? Lantas Baginda menjawab : Ialah bagi orang yang baik percakapannya, bagi orang yang memberi makan makanan, bagi orang yang sentiasa berpuasa, bagi orang yang sembahyang di tengah malam sedang manusia banyak tidur." (Al Hadith)

    • "Semulia mulia sedeqah ialah sedeqah pada bulan Ramadhan." (Al Hadith)

    • "Puasa itu perisai dan sedeqah itu memadam kesalahan dosa sepertimana air memadamkan api." (Al Hadith)

    • "Siapa memberi makan ( berbuka puasa) kepada orang puasa makan baginya seumpama balasan pahala orang yang berpuasa dengan tidak kurang sedikitpun ." (Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba berpuasa Ramadan, diam tiada berkata yang sia sia dan daripada yang haram dan yang makruh, dan sentiasa menyebut Allah (berzikrullah), menghalalkan yang dihalalkan Allah, mengharamkan akan yang diharamkan Allah, tiada mengerjakan kejahatan, melainkan sehingga berakhir Ramadan, telah diampunkan baginya segala dosanya, dan tiap tasbih, tiap tahlil, dibinakan sebuah rumah yang terindah di dalam syurga daripada permata zamrud, di dalamnya daripada yaqut merah indah, di dalam rangka permata itu (yaqut) terdapat sebuah khemah, di dalamnya terdapat bidadari ( hurul ain isteri syurga). Terhias dengan permata bercahaya indah yang menerangkan bumi seluruhnya.(Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Bahawasanya bagi Allah beberapa kejadianNya, dijadikan mereka supaya menyampaikan segala hajat orang dan supaya orang meminta tolong kepada Nya, pada menyempurnakan segala hajat yang diperlukan, mereka itulah orang yang aman daripada siksa Allah (Riwayat At Tibrani) (Al-Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Bahawa pintu langit dan pintu syurga dibuka pada awal Ramadan hingga akhir malam Ramadan, tiap orang yang bersembahyang pada malamnya dituliskan baginya tiap satu sujud 1700 kebajikan, dibina rumah baginya di dalam syurga daripada yaqut merah indah, baginya 70 pintu daripada emas yang bertatah yaqut permata yang merah, orang yang berpuasa pada awal Ramadan diampunkan segala dosanya hingga ke akhir bulan Ramadan, dibinakan baginya tiap tiap hari sebuah mahligai di dalam syurga, mempunya 1000 pintu daripa emas, dan meminta ampun baginya 70 000 malaikat dari pagi hingga tenggelam matahari (Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Kelebihan hari Jumaat pada bulan Ramadan atas segala hari yang lainnya seperti kelebihan Ramadan atas segala bulan (Al Hadith)
  • Barangsiapa mengerjakan ibadat pada bulan Ramadan dengan keimanannya dan ikhlasnya kerana Allah, maka di ampunkan segala dosanya yang telah lalu (Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadat, dan nafasnya itu adalah tasbih, doanya itu mustajab, dosanya diampunkan Allah, dan amal ibadatnya dilipatgandakan . (Al Hadith)
  • Apabila berakhir bulan Ramadan, menangis wali-wali Allah kerana terpisahnya bulan yang paling mulia yang digandakan ibadat berlipatkali ganda daripada bulan bulan yang lainnya, bulan Allah mudah menerima ampun taubat hambaNya, bulan yang banyak sekali diturun rahmat ke alam, bulan yang terdapat padanya malam Lailatul Qadar, suatu rahmat dan rahsia yang dikurniakan kepada hamba hamba Nya yang salihin, yang tidak terdapat pada bulan bulan yang lainnya. Mereka menangis kerana belum tentu akan dapat menemui bulan termulia ini pada tahun tahun hadapan, kiranya dipanjangkan umur.
  • Apabila berakhirlah malam bulan Ramadan, menangislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi, dan segala malaikat, jerana berlalu Ramadan berlalulah kelebihan, sebab musibah bagi umatku, dan duduk segala malaikat bagi musibah, orang bertanya : Ya Rasullullah, apa itu musibah ? Jawab rasullullah (s.a.w), Kerana segala doa padaNya itu mustajab, sedakah makbul, segala kebajikan digandakan dan siksa kubur diangkat, maka apakah musibah yang terlebih besar daripada ini bagi umatku?! (Al-Hadith)
  • Malam Lailatul Qadar adalah malam rahsia, yang turunnya padanya malaikat Jibrail dan beberapa malaikat dengan perintah Allah. Orang yang berjaga dengan malam ibadatnya untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar yang terahsia itu yang tidak diketahui oleh manusia, hanya orang-orang solihin yang hampir, orang berusaha mendapatkan malam mulia itu dengan berjaga malam pada sepuloh malam Ramadan yang terakhir maka diampunkan tuhan segala dosanya. Di pahalakannya dengan banyak , dirahmatkannya dengan limpah kurnia. Dan orang-orang solihin yang dikurniakan Allah mendapat malam Lailatul Qadar itu satu keberuntungan kebahagiaan bagi akhirat, mendapat keampunan dan rahmat terbesar, mendapat pimpinan Allah dalam hatinya, mendapat keredaan Allah dalam hidupnya dunia dan akhirat.
  • Malam Aidilfitri, malam raya, disunatkan kepada kita berjaga malam, beribadah, bertakbir "AllahuAkbar" sepanjang malamnya. Akan mendapat keampunan yang banyak, pahala yang besar, rahmat Allah tercurah kepadanya. Siapa yang menghidupkan dua malam raya (AidilFitri & AidilAdha) dengan ibadatnya dan takbirnya , tiada dimatikan hatinya pada hari yang dimatikan segala hati. (Al-Hadith).
Petikan dari buku Fadilat Rejab, Syaaban, Ramadan oleh Budiman Radhi
Read more...

Gerakan Subuh..story story


Assalamu'alaikum..
Hari ni saya cuma nak story story. Kita lari sikit dari gaya asal blog ni ye^_^

Jam 8 malam,saya dan seorang sahabat saya, Siti Sabariah Ghazali ( saba,jangan marah aa orang promote nama saba kat blog,hihi^_^ ) memulakan perjalanan dengan menaiki sebuah teksi menuju ke KTM Nilai. Pihak universiti telah menyediakan pengangkutan bas ke Masjid Wilayah tetapi kerana permintaan terlalu ramai maka semua tempat telah penuh bahkan pihak AJK program terpaksa meminta bas tambahan. Kami tak sempat nak bagi nama, maka kami sama-sama ambil keputusan untuk pergi ke sana atas usaha kami sendiri.

Kami beli tiket komuter menuju ke KL Sentral. Masa sampai di KTM Nilai tu, agak takut juga dengan suasana malam di situ. Tetapi kami kuatkan hati dan yakin ALLAH bersama kami. Alhamdulillah, kami tak perlu menunggu lama untuk menaiki komuter.

Perjalanan ke KL Sentral memakan masa yang agak panjang dan memenatkan. Mengantuk dan lapar dalam masa yang sama. Duhai hati, sabarlah..melihat gelagat insan-insan di dalam komuter agak menggusarkan jiwa. Paling menguji kesabaran apabila ada di antara insan-insan ini yang tidak mengikut arahan yang mengatakan koc tengah adalah koc wanita. Niat duduk di koc tersebut kerana nak mengelak berebut dengan lelaki tetapi nampaknya situasi seperti itu tetap berlaku.

' Encik..ni koc wanita je. Tak nampak ke gambar perempuan kat cermin tu. Encik ni laki ke perempuan??'
Hihi..kata-kata yang cuma bermain dan berlegar dalam hati.

Sebaik sahaja tiba di KL Sentral, ramai penumpang yang turut keluar bersama kami. Nak pergi gerakan subuh juga kot..hihi^_^

Suasana di KL Sentral sememangnya tidak berubah sama ada pada waktu siang atau malam. Sama sibuk dan sama padat. Bahkan tidak keterlaluan kalau saya katakan suasana malam di situ lebih meriah. Kami singgah ke sebuah kedai serbaneka untuk membeli sedikit makanan sebagai bekalan. Lapar~

Kami terus ke tempat menunggu teksi untuk mengambil teksi ke Masjid Wilayah. Nasib baiklah ada seorang uncle tu bagitahu kami yang tiket perlu dibeli sebelum menaiki teksi. Kalau tak, mesti kami dah terus masuk dalam perut teksi dan suruh pakcik teksi hantar kami. Dan mesti kami akan dihalau oleh pakcik teksi tu. Hihi..terima kasih uncle. Jasamu ku kenang^_^

Jadi, kami pergi beli tiket. Agak mahal, tapi tak apa..boleh claim,hihi. Dan abang tiket tu bagi tiket satu je. Mengelakkan kejadian tak diingini berlaku, kami pun tanyalah abang tu. Ohh..satu tiket untuk satu kereta. Pelajaran baru ni..hihi ( korang ni, takkan tu pun tak tahu..ish,buat malu je ) haha..

Lepas tu, kami pun naik teksi. Pakcik teksi tu baik dan suka bergurau..

saya: pakcik, pakcik duduk mana?
pakcik teksi: pakcik duduk mana? pakcik duduk atas kerusi ni,tak nampak??
saya dan sabariah: adeh~lawoknyeee....

haha..kami asyik ketawa dengar lawak pakcik tu. Nice person..dia hantar kami sampai depan pejabat masjid^_^

Alhamdulillah lami selamat sampai. Kami hubungi pihak universiti memaklumkan kehadiran kami. Mereka yang naik bas belum sampai dan pendaftaran pula hanya akan dibuat pada keesokan hari. Maka, kami mengambil keputusan pergi ke dewan solat muslimat untuk berehat. Perut saya dah bergelodak, pakcik teksi tu bawa teksi ganas sangat. Rasa macam naik roller coaster^_^ padahal tak pernah naik pun..hihi

Masjid Wilayah ni memang sangat besar. Kalau tak tahu jalan, ringan-ringankan mulut bertanya. Kalau tak, tak tahu nanti sampai pelosok mana. Kami tanya seorang makcik guard yang tengah bertugas dan dia dengan ramahnya membantu kami.

Sampai di tempat solat muslimat, sunyi dan kosong. Kelibat manusia langsung tak kelihatan. Takut juga rasanya masa tu. Yelah, sebesar-besar kawasan tu cuma ada kami berdua je. Berpusing-pusing kami cari tempat berwudhuk dan tandas. Aik,tak ada?? Tayamum ke?? Buat lawak ea? Takkanlah tayammum pulak..kami pun turun dan sekali lagi bertanya makcik guard yang sama dan sekali lagi dia dengan baik hatinya membantu. Mak aih..jauhnya, kalau tengah sakit perut masa tu macam mana ye? Ish..ish..ish..

Kami pun naik semula dan solat. Sempat juga snap-snap gambar dan kemudia bersiap untuk tidur.

Sabariah: Ain, jangan lupa setkan alarm.

Jam 3 pagi..alarm berbunyi,tapi kami tak sedar,hihi
Jam 4 pagi..alarm tak berbunyi tapi kami tersedar sebab dengar suara tok imam baru nak mula qiamulail. Kami cepat-cepat bersiap. Rupa-rupanya pelajar -pelajar lain pun dah ramai yang sampai.

Kami tertinggal solat tasbih tapi alhamdulillah imam tu buat solat tasbih untuk kali kedua. Dia kesian kat kami..hihi. Kemudian qiamulail disambung dengan solat-solat sunat yang lain.

Selesai qiamulail, saya tengok-tengok sekeliling. Eh,boleh tahan ramai yang datang. Alhamdulillah. Pakcik dan makcik pun ramai. Anak-anak muda lagi ramai. Syukur..

Selepas tu ada sesi tazkirah bersama beberapa orang penceramah jempuatan. Antaranya adalah Ustaz Wan Soho Bani Leman.

Kemudian kami bersarapan dan bertolak pulang. Menaiki bas ye..tiba-tiba ada kosong untuk kami,hihi^_^

Sebenarnya banyak lagi aktiviti yang dijalankan tetapi tak dapat kami hadiri disebabkan perlu pulang semula ke kampus. Ini sahaja sedikit sebanyak yang dapat saya ceritakan..wassalam

Gambar-gambar akan diupload selepas ini..

Read more...

Bumi Palestin



Wahai anak-anak Palestin..
Wahai pemuda Palestin..
Wahai pemudi Palestin..
Wahai rakyat Palestin..
Dengarlah teriak batinku..
Dengarlah suara hatiku..
Rasailah sokogan paduku..
Rasailah getar jiwaku bersamamu..
Kerana aku juga seperti kamu..
Walau aku tidak bersamamu..
Namun hatiku mencintaimu..bumi Palestin



Palestin..
Bumi para syuhada'
Bumi buat mereka yang mengimpikan syahid di jalanNYA
Bumi yang sentiasa bermandikan darah
Bumi yang saban hari dibayangi takut dan resah
Kerana kerakusan musuh yang dambakan darah melimpah
Kerana kekejaman sahabat syaitan yang inginkan rasa takut mendesah
Kerana kezaliman Zionis yang bersikap binatang
Ketahuilah..hakikatnya mereka cemburu
Mereka takut dan gerun
Mereka resah dan cemas
Melihat kau yang begitu gagah berjuang
Melihat kau yang begitu berani berperang
Demi bumimu Palestin



Palestin..
Hatiku merintih..
Lagu-lagu pilu sayu berdendang
Setiap kali aku melihat gambar-gambar jasad terbujur kaku di bumimu
Jiwaku merana..
Syair hiba mencengkam sukma
Setiap kali aku melihat teriakan anak-anak kecil yang takut dan rindu pada orag tuanya
Batinku bergetar..
Zahirku menggigil dan keringatku membasah
Setiap kali melihatmu keberanianmu berjuang
Setiap kali melihat anak-anak kecil turut melawan
Setiap kali melihat para wanita turut mengangkat senapang
Ketahuilah..betapa aku kagum padamu
Betapa aku ingin berjuang bersamamu
Kerana aku tahu
ALLAH berada di pihakmu
CintaNYA bersamamu..
RedhaNYA mengekorimu..
Islam bersamamu..bumi Palestin

Palestin..
Teruslah berjuang..
Teruslah berjihad..
Kemenangan hakiki itu milikmu..
Syahid sedang menunggumu..
Jannah tersedia untukmu..
Teruslah bangkit tegak berdiri..
Janganlah kau menangis sendiri..
Kerana kau mempunyai kami..
Walau kami jauh beribu batu..
Hati dan jiwa kami bersamamu..
Sokongan dan bantuan kami di belakangmu..Bumi Palestin



YA ALLAH..
YANG MAHA PENGASIH DAN MAHA PENYAYANG
YANG MAHA BERKUASA ATAS SEGALA SESUATU
YANG MAHA MELIHAT LAGI MAHA MENDENGAR
Dengarlah doa rintihan kalbuku..
Aku mohon..
Bantulah ibu, ayah, abang, kakak dan adikku di Palestin
Layangkanlah kekuatan seorang pejuang dalam roh mereka
Kirimkan bantuanmu berupa cinta dan rinduMU pada mereka
Titipkan bisikan-bisikan semangat dihati dan jiwa mereka
Sesungguhnya mereka berjuang keranaMU
Mereka berjuang kerana cintaMU
Mereka berjuang kerana bumi Palestin..


Read more...