Tuesday, May 3, 2011

Mahar Cinta Seutas Tasbih ( bahagian 2 )


Assalamu’alaikum..

Ke hadapan Ukhti Nur Iman yang ana hormati. Maafkan ana seandainya surat ini mengganggu konsentrasi ukhti untuk membuat keputusan. Tetapi, hanya cara ini yang ana fikirkan adalah terbaik untuk mengelakkan sebarang fitnah antara kita. Ana harap, ukhti berlapang dada membaca surat ini.

Ukhti Nur Iman..kelmarin ana bertemu dengan Zulaikha. Dia dan Jannah datang ke rumah ana secara tiba-tiba. Dan Zulaikha telah menceritakan kepada ana tentang seorang pemuda bernama Mujahid yang pernah singgah ke dalam hidup ukhti. Ana tidak ingin bertanya tentang pemuda itu. Apa yang ana ingin sampaikan adalah tentang diri ana. Ana mungkin tidak setanding dengan Mujahid tetapi ana akan cuba sedaya upaya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami yang ukhti idamkan. Tidak ada apa yang istimewa dalam diri seorang pemuda bernama Ahmad Fauzi ini. Ana hanyalah insan biasa yang mendambakan kehadiran seorang bidadari untuk menjadi sayap kiri dalam perjuangan ana. Dan ana sangat berharap, gadis bernama Nur Iman itulah bidadari yang ana cari-cari selama ini.

Ana tahu kehadiran surat ini mungkin mengundang marah dihatimu. Tetapi ana sudah memohon keizinan dari kedua orang tua ukhti dan juga kedua orang tua ana untuk menitipkan surat ini kepadamu. Istikharahlah..ana menunggu jawapanmu.

Yang mengharap

Fauzi

Nur Iman melipat surat yang baru habis dibacanya itu lalu dimasukkan semula ke dalam sampul. Dia menarik nafas panjang dan menghembusnya perlahan. Hatinya benar-benar resah saat itu. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Dia benar-benar buntu. Matanya melirik jam di dinding yang menunjukkan pukul 4.45 pagi. Pantas kakinya melangkah ke kamar mandi untuk mengambil wuduk. Dia ingin mengadu kepadaNYA. Hanya DIA sahajalah yang mampu menolong di saat-saat sulit seperti ini.

Usai solat sunat tahajud, Nur Iman melaksanakan solat sunat hajat dan istikharah. Sudah seminggu dia melaksanakan istikharah untuk mencari jawapan bagi pinangan yang diterimanya itu. Namun, sehingga saat ini dia tidak punya jawapan pasti untuk diberikan kepada Fauzi.

“ YA ALLAH..hanya kepadaMU hambuMU ini memohon dan meminta. Hanya kepadaMU aku berserah. Bantulah aku. Berilah aku petunjukMU dan bimbinglah aku dalam setiap keputusan yang perlu aku lakukan. Aku buntu, YA ALLAH. Seandainya Fauzi itu adalah jodohku, kau tenangkanlah dan dekatkanlah hatiku dengannya. Kuatkanlah hatiku untuk menerima pinangannya. Dan seandainya dia bukan jodohku, berilah aku petunjuk agar aku yakin dengan keputusanku. Bantulah aku. Aku benar-benar tidak berdaya. Selama ini, hatiku hanya menggetarkan satu nama, Mujahid. Tetapi, seandainya dia bukanlah jodohku, KAU kuatkanlah hatiku untuk melupakannya. ALLAH..”

Nur Iman meraup wajahnya perlahan. Sendu yang bertamu dibiarkan berlagu. Air matanya dibiarkan terus menghujani wajahnya yang ayu dalam telekung merah jambu. Terketar-ketar tangannya mencapai sebuah kotak yang berisi butiran manik berwarna biru, seutas tasbih pemberian Mujahid.

“ Mujahid, maafkan Iman. Tasbih pemberianmu ini telah terputus sepertimana putusnya ikatan antara kita. Mungkin inilah petanda bahawa kita tidak berjodoh. Iman tidak akan mengharap atau menunggumu lagi.Semoga ALLAH sentiasa memberikan yang terbaik buatmu.”

Nur Iman menyimpan kotak tersebut di dalam sebuah laci. Dia mengambil sebuah naskhah al-quran. Pagi nan syahdu itu bertambah pilu dihiasi suaranya melagukan kalimah-kalimah cinta dari Yang Maha Esa.

* * *

“ Macam mana dengan kerja baru kamu, Zi?”

“ Alhamdulillah. Zi selesa kerja kat situ, pakcik. Majikan dan pekerja-pekerja kat situ semuanya layan Zi dengan baik. Ni pun satu tempat kerja dengan Zi jugak ni.”

Fauzi menepuk perlahan bahu sahabatnya yang hanya mendiamkan diri sejak mereka tiba ke rumah tersebut.

“ Alhamdulillah..baguslah kalau macam tu. Ni siapa nama tadi? Amar, Amir..Amir ye? Amir dah lama kawan dengan Zi ni?”

“ Lama dah, pakcik. Sejak saya sampai di Mesir tu, Zi ni lah yang banyak tolong saya. Tup..tup..Zi dengan saya sama-sama kena transfer ke tempat tu. Kalau dah jodoh tu tak ke mana..”

“ Haha..dah macam jodoh kahwinlah pulak.”

Serentak mereka ketawa. Petang itu,Fauzi berziarah ke rumah Nur Iman bersama sahabatnya Amir. Sengaja. Dia ingin memperkenalkan Amir dengan Nur Iman.

“ Eh, Zi..mana tunang kau yang kau nak tunjuk kat aku tu? Aku teringin jugak nak tengok gadis malang manalah yang bakal jadi isteri sahabat aku ni. Haha..”

Amir berbisik ke telinga Fauzi.

“ Sabarlah. Kejap lagi dia datang hantar air.”

Nur Iman sedang membancuh teh buat tunangnya, Fauzi yang berziarah bersama sahabatnya. Kata Fauzi, dia bercadang untuk menjodohkan sahabatnya itu dengan adik Nur Iman, Zulaikha. Setiap kali Fauzi datang menziarahinya di rumah, dia pasti sedaya upaya akan mengelak untuk berbicara panjang dengan tunangnya itu. Entah kenapa, rasa hatinya tidak membenarkan dia untuk mengenali Fauzi dengan lebih rapat.

Teko, 3 biji cawan dan piring disusun di dalam sebuah talam lalu Nur Iman menatangnya ke ruang tamu. Pandangannya hanya tertumpu pada dulang yang sedang dibawanya tanpa sedikit pun menoleh kepada para tetamunya.

Fauzi berdehem sambil menyiku Amir yang leka memerhatikan ikan di dalam akuarium di sebelahnya.

“ Tu lah tunang aku. Amacam? Solehah tak?”

Amir memandang sekilas pada gadis bertudung labuh yang sedang berjalan perlahan membawa dulang itu. Dadanya berdegup kencang. Batinnya bergetar. Jantungnya seakan berhenti berdegup buat seketika. Dia memandang gadis itu sekali lagi untuk memastikan pandangan matanya itu tidak berbohong.

“ I..I..Iman?”

Pantas Fauzi menoleh ke arah Amir apabila mendengar nama Nur Iman digumam perlahan oleh sahabatnya itu.

“ Kenal ke?”

Amir tersentak. Pandangannya segera ditundukkan. Istighfar mula berlagu di bibirnya buat penenang hati yang berkocak hebat.

“ Iman, ni lah kawan Fauzi yang Fauzi cakap hari tu, Amir Hazwan.

Prang!!!!!

Bersambung..hihi


Read more...

Sunday, May 1, 2011

Mahar Cinta Seutas Tasbih ( bahagian 1 )


Istikharah cinta memanggilku

Memohon petunjukmu

Satu nama teman setia

Naluriku berkata

Di penantian luahan rasa

Teguh satu pilihan

Pemenuh separuh nafasku

Dalam mahabbah rindu

Bayu laut menghembus lembut ke pipi membawa semilir rindu dari si dia yang jauh di mata. Sang awan tenang berarak dihiasi sang camar yang terbang riang menari dan menyanyi lagu-lagu cinta. Ombak masih setia menghempaskan kasihnya pada pepasir pantai. Seorang gadis duduk sendirian di atas sebuah tunggul kayu mati di pinggir pantai. Wajahnya sarat dengan kisah dan rahsia. Tangannya erat mengenggam seutas tasbih biru. Ada air jernih yang gugur dari kelopak matanya.

“ Kak Iman..”

Tersentak Nur Iman disapa oleh adiknya, Zulaikha. Dia menoleh lalu tersenyum. Telefon bimbitnya yang sedang mendendangkan lagu ‘Istikharah Cinta’ itu segera dimatikan.

“ Jauh termenung,kak. Ingat kat siapa?”

“ Ish..mana ada akak termenung. Akak tengah dengar lagula. Menghayati dengan penuh perasaan ni.”

“ Kot iye pun nak menghayati, janganlah sampai meleleh air mata tu.”

Pantas Nur Iman memegang pipinya. Basah.Dia langsung tidak menyedari dirinya menitiskan air mata saat dirinya hanyut dibawa ke dalam arus merdu lagu kegemarannya itu.

“ Kenapa, kak?”

Nur Iman tersengih. Pantas dia mengesat pipinya yang basah.

“ Tak ada apa..”

“ Kak, tak payahlah akak nak bohong pada Ika. Kak..Ika harap, akak terima pinangan kali ni. Dah berapa kali akak tolak pinangan orang,kak? Tak baik..apa pulak kata orang-orang kampung nanti.”

Zulaikha mencapai jemari Nur Iman lalu digenggam erat.

“ Akak..akak istikharahlah betul-betul. Minta pada ALLAH supaya akak diberikan petunjuk dan dipermudahkan segala urusan. Abang Fauzi tu lelaki yang baik dan Ika yakin dia boleh jadi suami yang soleh untuk akak. Berilah peluang pada dia dan pada diri akak tu. Sampai bila akak nak seksa diri akak macam ni.”

“ Seksa apanya, Ika? Akak okeylah..”

“ Okey akak kata??”

Zulaikha merampas seutas tasbih yang berada di dalam genggaman Nur Iman.

“ Ika!”

“ Ni tasbih ni! Akak masih ingat pada Abang Mujahid yang entah kat mana tu? Akak..sudahlah. Yang pergi tu biarlah pergi. Mungkin dia bukan jodoh akak. Cukup-cukuplah berharap pada dia. Tasbih ni pemberian sebelum dia pergi, kan? Ini yang selalu buat akak teringat-ingat dia kan?? Biar Ika yang simpan tasbih ni!”

“ Ika! Bagi balik pada akak! Ika!”

Nur Iman cuba merampas tasbih yang berada di dalam genggaman Zulaikha. Zulaikha enggan mengalah. Rebut-merebut dan tarik-menarik berlaku. Akhirnya..

Nur Iman terduduk sayu saat tasbih yang selama ini utuh dalam seutas ikatan seutuh harapan dihatinya itu terlerai. Terketar-ketar jarinya mengutip butiran-butiran manik tasbih yang bertaburan di atas pepasir putih. Sendu ditahan. Tetapi, kolam mata yang sudah penuh itu tertumpah juga. Zulaikha mula merasa bersalah lalu dia tunduk untuk membantu.

“ Akak..maafkan Ika. Ika tak sengaja.”

“ Akak sayangkan dia, Ika. Bukan akak tak nak lupakan dia. Akak dah cuba tapi akak tak mampu. Dia memang dah lepaskan akak dari sebarang ikatan dan akak bebas untuk menikah dengan orang lain tapi hati akak ni, Ika..hati akak ni masih terikat pada dia! Akak tau akak tak patut ada perasaan macam ni pada seseorang yang belum tentu jadi suami akak. Tapi akak ni manusia biasa, Ika. Akak lemah..lemah sangat.”

“ Akak..”

Zulaikha pantas menarik Nur Iman ke dalam pelukannya. Hnacur luluh hatinya mendegar luahan rasa kakak kesayangannya itu. Nur Iman teresak dalam pelukan adiknya.

* * *

“ Kejarlah cinta ALLAH, insyaALLAH ALLAH akan mengurniakan kepada kita cinta seorang insan yang turut mencintaiNYA.”

Kata-kata terakhir yang dilafazkan oleh Ustaz Shahrul itu sangat membekas di hati Nur Iman. Serasa dirinya selama ini terlalu mengejar cinta manusia sedangkan cinta ALLAH itu belum tentu dapat digapai. Cahaya keinsafan mula menyuluh di hatinya. Lafaz istighfar berlagu di bibir menyesali keterlanjurannya dalam mencintai manusia.

‘ YA ALLAH, ampunkan aku kerana selama ini aku lalai dari mencintaimu. Aku terlalu leka memikirkan cinta manusia yang belum halal untukku. Ampunkan aku, YA ALLAH..’

“ Iman..hang ni pasai pa? Mailah balik..Iman nak tidoq kat masjid ka?”

Nur Iman segera menyapu air mata yang masih bersisa di wajahnya. Dia segera bangkit dan melangkah ke arah sahabatnya, Suhaila yang sedang menunggu di muka pintu.

“ Jauh Iman menung tadi. Sampai planet mana dah? Oghang suma huluq tangan nak salam pun Iman tak sedaq! Awatnya?”

“ Aduh, Su..janganlah cakap Kedah pekat sangat. Nanti Iman loading lama. Payah nak faham..hihi.”

“ Alaa..spoil lah Iman ni. Su baru nak hilangkan rindu cakap Kedah. Tak sportinglah. Tak ada..tadi Su tengok jauh benar Iman termenung. Kenapa?

“ Iman tak termenunglah. Iman tengah menyesali dosa-dosa Iman selama ni. Banyak sangat dosa-dosa Iman. Iman takut mati sebelum sempat bertaubat.”

“ Pasai pa Iman cakap lagu tu? Tak baiklaa..”

“ Dah kalau tak boleh cakap lagu tu, nak cakap lagu apa? Lagu Rabbani? Ke lagu Raihan? Eh,In-team lah, Iman suka..hihi.”

“ Aku duku pala hang satgi, baru hang tau! Iman ni, Su serious ok. Kebelakangan ni, Su tengok Iman selalu termenung. Iman ada masalah ke? Ceritalah, mana tau Su boleh tolong ke.”

“ Su nak tolong? Boleh, boleh! Ada orang datang meminang Iman minggu lepas. Sampai sekarang Iman belum bagi jawapan. Su nak tolong Iman, kan? Su nikahlah dengan dia. Dia baik tau. Lulusan Mesir lagi tu.”

“ Amboi..suka hati dia je nak main pass-pass kat orang lain. Ingat main larian baton ke?? Dah kalau baik, Iman je lah nikah dengan dia. Kenapa Su pulak? Ke Iman masih fikirkan Si Mujahid tu??”

“ Mana ada..Iman cuma belum bersedia je.”

“ Iyelah tu..”

“ Dahlah..jom balik.”

Nur Iman menarik lengan Suhaila perlahan untuk mengajaknya pulang. Suhaila hanya menurut. Jauh di sudut hatinya, dia sangat bersimpati dengan nasib sahabatnya itu. Namun, apakan daya jika itu sudah takdir yang tertulis untuknya.

“ Kak Iman..”

Pantas Nur Iman menoleh. Kelihatan adik lelaki Fauzi, Farhan, tersenyum dengan sepucuk surat di tangannya.

“ Eh, Farhan. Buat apa kat sini?”

“ Emm..apa khabar kak? Saya datang sini nak jumpa akakla. Ada hal sikit.”

“ Alhamdulillah. Akak sihat. Farhan datang sini dengan siapa? Naik apa?”

“ Saya datang dengan Angah. Dia tengah tunggu saya dalam kereta. Saya nak balik Gombak dah hari ni sebab tu datang singgah kat sini kejap. Ni..Angah ada surat nak bagi kat akak.”

Farhan menghulurkan sepucuk surat bersampul hijau kepada Nur Iman.

“ Emm..terima kasih.”

“ Kalau macam tu, saya minta diri dululah kak. Takut lambat pulak sampai nanti.”

“ Eh,,tak singgah rumah dulu?”

“ Tak apa lah kak. Tadi saya ajak Angah singgah pun Angah tak nak. Dia kata tak manis..hihi. Saya pergi dulu kak. Kirim salam kat semua ye. Assalamu’alaikum..”

“ Wa’alaikumussalam..”

Nur Iman menghantar pemergian Farhan dengan hati yang berkecamuk. Surat bersampul hijau masih kejap ditangannya.

“ Siapa tu?”

“ Hah?”

Suhaila menggeleng-gelengkan kepalanya melihat wajah Nur Iman yang terpinga-pinga apabila disoal.

“ Menung lagi! Su tanya, tadi tu siapa?”

“ Oh..tadi tu adik Fauzi.”

“ Fauzi? Fauzi yang datang meminang Iman tu ke?”

Nur Iman mengangguk perlahan. Matanya menatap kosong pada surat yang berada di tangannya. Hatinya berbelah bahagi samada ingin membukanya ataupun tidak.

“ Kuat menung sungguhla kawan aku ni. Dah..jom balik!”

bersambung..


Read more...

Thursday, April 21, 2011

Menjaga Hati

Bukan 'Menjaga Hati' nyanyian Yovie dan Nuno ye tapi 'Jagalah Hati' nyanyian kumpulan nasyid Snada. Hihi..(^_^)

Jagalah hati jangan kau kotori
Jagalah hati lentera hidup ini
Jagalah hati jangan kau nodai
Jagalah hati cahaya illahi

Bila hati kian bersih, pikiran pun kian jernih
Semangat hidup kan gigih, prestasi mudah diraih
Namun bila hati busuk, pikiran jahat merasuk
Ahlak kian terpuruk, jadi mahluk terkutuk

Bila hati kian suci, tak ada yang tersakiti
Pribadi menawan hati, ciri mukmin sejati
Namun bila hati keruh, batin selalu gemuruh
Seakan dikejar musuh, dengan Allah kian jauh

Bila hati kian lapang, hidup sempit tetap senang
Walau kesulitan datang, dihadapi dengan tenang
Tapi bila hati sempit, segalanya makin rumit
Seakan hidup terhimpit, lahir batin terasa sakit


Meniti setiap bait lirik lagu ini membuat saya terfikir tentang keadaan hati saya sendiri? Apa khabarmu wahai hatiku? Adakah kau sakit atau sihat? Adakah cukup makanan rohani yang aku berikan untukmu? Bagaimana dengan hati anda??



Rasulullah bersabda:

"Sesungguhnya dalam diri setiap manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggotanya. Dan jika daging itu rosak maka rosaklah seluruh anggotanya. Daging yang dimaksudkan ini adalah HATI" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut para ulama', hati terbahagi kepada 3 jenis:

1. Hati yang sahih (qalbun sahih)
Bermaksud hati yang suci, bersih dan bebas daripada segala gangguan yang menyebabkan terhalangnya manusia melaksanakan perintah Allah s.w.t

2. Hati yang mati (qalbun mayyit)
Bermaksud mereka yang memiliki hati yang degil dan ego untuk menyembah Allah Taala. Manusia jenis ini bekerjasama atau sekutu bagi syaitan dan nafsu.

3. Hati yang sakit (qalbun maridh)
Bermaksud hati yang masih mempunyai kehidupan tetapi hatinya ada benih-benih penyakit. Kadangkala mereka hidup sihat berpandukan iman tetapi ada kalanya mereka mengutamakan nafsu yang menggila.

Yang mana satu hati anda??(^_^)

Apa yang terjadi kepada hati yang telah rosak??

Hati yang rosak akan dihinggapi pelbagai jenis penyakit dan virus yang perlu diubati dengan segera. Bukan hanya wajah dan tubuh badan yang memerlukan penjagaan yang rapi bahkan hati juga memerlukan ubat, foundation dan segala macam mekap untuk memperindahkannya.

Hati yang rosak akan menyebabkan kita tidak merasa bersalah melakukan dosa bahkan seronok! Dosa yang dilakukan seolah-olah sesuatu yang biasa dan normal bahkan lidah dan anggota lain menjadi peguam bela buat dosa yang dilakukan seandainya ada insan yang menegur.


Kata Sheikh Ibn Ata'illah:

"Sebahagian daripada tanda matinya hati iaitu jika tidak berasa sedih kerana tertinggalnya suatu amalan kebaikan, juga tidak menyesal jika berbuat sesuatu dosa"


" Kau nak tahu, budak tu kan gini gini gini. Dahlah gitu gitu"
(mengumpat macam makan nasi)

"Eh, apsal kau sibuk fasal aku? Bukannya aku tak menutup aurat. Ni tengok..aku pakai tudung, baju lengan panjang, legging pun panjang! So, apa masalahnya??"
( ish3..lidah membela dosa yang sengaja dilakukan)

Bila hati seronok melakukan dosa, ianya petanda hati sedang sakit. Lalu bagaimana untuk mengubatinya?? Kalau batuk, makan ubat batuk cap Ibu dan Anak. Kalau pening, telan Panadol. Kalau muka berjerawat, tonyoh mekap. Kalau hati sakit??

Kata Iman Ghazali:

"Carilah hatimu di 3 tempat. Cari hatimu sewaktu membaca al-quran. Jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui,juga carilah hatimu ketika kau duduk bertafakur mengingati mati. Jika tidak kau temui juga, maka berdoalah kepada ALLAH, mintalah hati yang baru kerana hakikatnya pada masa itu kau tidak lagi mempunyai hati."

Itulah kaedah yang diajar oleh Imam Ghazali. Jom kita tela'ah bersama.

-Membaca Al Quran

"Diturunkan kepadamu al-quran sebagai petunjuk dan rahmat serta penawar....." ( al-isra' ayat 82 )



ALLAH berdialog dengan kita melalui al-quran. DIA sendiri yang mengkhabarkan kepada kita bahawa al-quran itu adalah penawar. Maka, bacalah al-quran dan hayatilah nasihat-nasihat ALLAH kepada kita. Bila kita mempunyai masalah, kita mencari sahabat, kita mencari ayah dan ibu, kita mencari kaunselor untuk mendengar masalah kita dan membantu serta menasihati kita. Jadi, tidak salah jika hati kita yang bermasalah ini menerima nasihat dari ALLAH iaitu sahabat, ibu dan ayah serta kaunselor terhebat seantero dunia.

Al-quran itu umpama telefon bimbit kita. Sehari tak tengok telefon, tak tengok mesej, tak telefon kawan..porak-peranda dunia kita. Resah semacam. Segala macam kerja tak boleh buat. Begitulah juga sepatutnya sikap kita terhadap al-quran.

-Mendirikan solat

Jika al-quran merupakan dialog ALLAH kepada kita, maka solat merupakan dialog kita kepada ALLAH. Kata seorang ulama' bernama Al-Hakim:

" Jika kamu ingin ALLAH bercakap denganmu, maka bacalah al-quran kerana al-quran ialah ayat-ayat ALLAH yang ditujukan kepadamu. Dan jika kau pula ingin bercakap denganNYA, maka dirikanlah solat kerana hakikatnya solat itu adalah doa, pengaduan, pujian dan rintihan seorang hamba kepada ALLAH"



Solat adalah doa. Doa adalah permintaan. Maka mintalah pada ALLAH agar DIA menyembuhkan hatimu. Hati yang sakit akan sembuh dan tenang apabila ianya disandarkan pada satu kuasa. Ibarat kita sakit perut, kita akan mengaduh. Siapa yang kita sebut? ALLAH bukan?

"YA ALLAH..sakitnya perut aku"

Walaupun sakit perut tak hilang tetapi rasa lega itu ada kerana DIA mendengar. Contoh lain, apabila bermasalah kita memerlukan seorang insan untuk mendengar masalah kita. Begitulah juga dengan hati yang memerlukan ALLAH untuk menghadapi masalahnya.

-Mengingati mati

Mengingati mati adalah satu cara yang membawa hati kita kembali kepada fitrahnya iaitu mencintai kebaikan. Ini kerana dengan mengingati mati, hati kita akan menangis kerana takut dan gerun serta menyesal dengan dosa-dosa yang pernah dilakukan.



Insan yang tidak menangis saat dirinya dihidangkan dengan suasana maut adalah insan yang tidak lagi mempunyai hati nurani. Dia ada seketul hati tetapi nuraninya tidak lagi bernyawa kerana diselubingi dengan gelapnya dosa. Nauzibillah..semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang mempunyai hati yang suci dan bersih. Amin..(^_^)





Read more...