Thursday, July 19, 2012

Cerpen: Dakwah


Aku berjalan menuju ke sebuah tasik yang terletak berhadapan dengan rumahku. Bayu petang malu-malu menyapa wajahku. Terasa nikmat yang ALLAH berikan begitu berharga. Aku meneruskan langkahku menuju ke sebuah pondok kayu yang memang disediakan khas untuk para pengunjung lalu melabuhkan punggung di situ. Mataku liar memerhati kawasan sekelilingku. Pelbagai gelagat manusia yang dapat ku lihat. Aku memang gemar memerhati gelagat-gelagat insan di sekelilingku sebagai bahan dan idea untuk membuat cerpen dan novel. Kelihatan beberapa orang gadis seumurku turut bersiar-siar di tasik tersebut sambil bergelak ketawa. Kelihatan juga pasangan-pasangan muda asyik berpegangan tangan dan bermesra. Entahkan sudah halal entahkan tidak.

Aku menghembuskan nafas perlahan. Komputer riba yang aku bawa bersama ku pandang sepi. Niatku untuk menyambung penulisan novelku. Paling kurang aku ingin menulis sebuah artikel untuk dimuatkan ke dalam blogku. Tapi entah kenapa aku seakan-akan kehilangan idea. Kehilangan semangat. Sudah berbulan blogku dibiar sepi lantaran aku sibuk dengan imtihan. Beberapa orang pembaca setia sudah mula bertanya kerana aku terus menyepi tanpa khabar. Novelku juga sudah sekian lama tergendala. Aku seakan-akan kehilangan semangat untuk menulis. Entahlah.

" Assalamu'alaikum Iman..", Pantas aku menoleh mendengar suara wanita yang menegurku.

" Wa'alaikumussalam, eh..Kak Mai! Buat apa kat sini?" Aku bangun menghampiri Kak Humairah, seniorku di universiti. Aku menyalaminya dan kami berpelukan seketika. Terasa hangatnya ukhuwah setelah sekian lama tidak bertemu muka.

" Akak buat apa kat sini??"

" Amboi..macam tak suka je akak datang sini?? Bukannya nak tanya khabar ke apa ke."Aku tersengih mendengar kata-kata Kak Humairah.

" Tak ada la..bukan tak suka. Tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba je muncul. Terkejutla.Tu yang tak sempat tanya khabar tu. Hihi..akak sihat?" Satu cubitan halus singgah di pipiku. Aku mengaduh perlahan.

" Alhamdulillah, akak sihat je. Tadi akak pergi rumah Iman. Kawan-kawan Iman kata, Iman keluar jalan-jalan kat tasik. Tu yang akak datang sini. Dari jauh akak nampak Iman termenung sorang-sorang. Macam ada masalah je?"

" Tak adalah, kak. Iman ok je. Ni akak datang sini ni mesti ada apa-apa ni. Takkan datang saja-saja, kan? Nak hantar kad jemputan ke? Hihi.."

" Ha'ah, memang akak nak hantar kad jemputan pun."

" Serius, kak?? Wah..tahniah! Siapa jejaka bertuah yang dapat Kak Mai yang cantik, jelita lagi solehah ni??"

" Pandailah Iman tu nak membodek akak. Rahsialah siapa jejaka tu. Iman kena datang tengok sendiri. Ni kadnya. Datang tau. Tak datang, siaplah!"

" InsyaALLAH, kak.."

Aku menatap kad jemputan berwarna biru itu. Ringkas sahaja tetapi cantik. Aku tersenyum menatap wajah Kak Humairah. Ada sinar bahagia di wajahnya. Aku tumpang gembira untuknya.

" Akak tengok Iman macam ada masalah je? Ceritalah kat akak. Mana tahu akak boleh tolong."

Aku tunduk memandang kakiku. Serba-salah aku dibuatnya apabila Kak Humairah memndang tepat ke anak mataku. Seakan-akan sedang cuba membaca isi hatiku. Sejujurnya, aku sendiri tidak tahu apa masalahku. Tetapi kebelakangan ini aku seakan-akan hilang roh dalam berdakwah. Hilang semangat dalam berjuang.

" Hm..entahlah kak. Iman pun tak tahu apa masalahnya. Kebelakangan ni, Iman rasa macam malas sangat. Semua benda malas nak buat. Blog Iman tu akak nak tau, dah berbulan-bulan Iman tak update."

" Lah..kenapa macam tu? Setahu akak, dulu Iman cakap Iman nak gunakan blog tu untuk berdakwah dengan cara Iman sendiri. Dengan tulis artikel, cerpen, novel. Kenapa dah tak update?"

" Busylah, kak.."

" Busy sangat ke sampai lalai dengan tanggungjawab Iman sebagai khalifah ALLAH?"

Aku mendiamkan diri. Aku tahu. Kak Humairah marah dan kecewa denganku. Salah aku sendiri yang tidak bijak menguruskan masa.

" Iman, Iman tahu kan tanggungjawab kita semua dalam berdakwah?"

" Tahu, kak."

" Jadi, Iman tak boleh bagi alasan busy dan sibuk dengan belajar, exam sebagai penyebab untuk Iman lupakan tanggungjawab Iman tu. ALLAH dah bagi kita semua 24 jam. 24 jam tu banyak, dik. Cuma kita yang tak tahu nak membahagi dan menghargai."

" Memang salah Iman. Iman tahu, kak. Maafkan, Iman."

" Bukan pada akak yang Iman patut mintak maaf tapi pada ALLAH."

" Akak..nasihatkanlah Iman. Iman rasa macam tak ada semangat sangat sekarang ni. Terangkanlah pada Iman tentang dakwah, kak. InsyaALLAH hati Iman akan kuat semula nanti."

" Dakwah seperti yang Iman tahu adalah tugas suci dan tanggungjawab yang ALLAH amanahkan pada kita semua sebagai khlaifah ALLAH di atas muka bumi ni. Tugas kita adalah untuk menyampaikan dan menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran kepada masyarakat. Ada macam-macam kaedah dakwah yang boleh kita gunakan dan yang Iman pernah bagitahu akak dulu adalah melalui blog. Bagi akak, cara tu sangat bagus sebab sekarang zaman IT dan zaman teknologi di mana kebanyakan orang menghabiskan bayak masa dengan internet. Itu adalah satu peluang untuk kita menyebarkan dakwah."

Aku mengangguk perlahan.

"Dalam Surah Ali Imran ayat 104,


dan hendaklah di antara kamu satu puak yang menyeru(berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh berbuat perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah dan mereka yang bersifat demikian adalah orang-orang yang berjaya

Cuba Iman tengok di sekeliling Iman. Maksiat merata-rata, dik. Kalau bukan kita yang menegur mereka, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi? Kalau bukan di sini, di mana lagi?"

"Dalam situasi masyarakat masa kini yang mengharungi pelbagai cabaran dan dalam era globalisasi, dakwah perlu digerakkan sebagai membimbing manusia ke jalan yang betul. Oleh yang demikian, setiap individu Muslim perlu berganding bahu untuk sama-sama melaksanakan usaha dakwah, menyampaikan ajaran Islam serta memberi kesedaran mengenai ketinggian Islam bagi mewujudkan masyarakat Muslim yang terbaik.

Untuk itu, setiap Muslim perlu sedar dan perlu membabitkan diri dalam dakwah, sesuai dengan potensi atau keupayaan diri masing-masing. Terbinanya diri, keluarga dan masyarakat yang Islamik merupakan matlamat utama dalam dakwah.

Matlamat dan harapan ini tidak dapat dicapai sekadar menerusi ceramah dan khutbah tetapi melalui pelbagai bidang serta potensi yang ada. Oleh itu, perlu kita sedar bahawa segala potensi dan kemampuan yang kita ada atau miliki, perlu digunakan untuk kepentingan Islam dan dakwah Islamiah.

Sampaikanlah walau satu ayat.  Menunjukkan bahawa kewajipan berdakwah itu bukan pada ustaz atau ustazah atau ulama sahaja tetapi pada semua umat Islam. Dan kita sebagai insan-insan yang lebih terpilih, yang dah belajar agama sejak kecil, masuk sekolah agama dan ambil jurusan agama di universiti, tanggungjawab kita lebih besar lagi untuk menyampaikan pemahaman tentang Islam kepada masyarakat. Iman sendiri, berada dalam bidang perakaunan di mana bidang ni melibatkan pengurusan wang yang betul dan juga memerlukan kejujuran dalam melaksanakan tugas. Iman boleh berdakwah sebagai akauntan. Jangan sempitkan pemikiran bahawa dakwah itu hanya untuk mereka yang belajar agama. Salah persepsi tu."

" Betul tu, kak. Dulu Iman selalu fikir yang accounting ni tak penting sebab Iman pelajar sekolah agama. Iman nak ambil bidang agama. Tapi bila dah belajar, baru Iman sedar yang accounting tu pun ada dalam Islam bahkan sekarang dah ada unsur-unsur Islam dalam pembelajaran akaun. Bank-bank pun dah mula amalkan prinsip-prinsip Islam dalam pengurusan. Bila Iman tengok, ramai orang-orang bukan Islam je yang memonopoli bidang ni, Iman makin semangat nak belajar akaun. Iman nak betulkan semua prinsip-prinsip akaun konvensional yang salah tu nanti."

" Hah..bagus adik akak. Macam tu lah baru betul. Lagi satu, Iman ada bakat dalam penulisan. Gunakan bakat yang ALLAH bagi tu untuk salurkan dakwah melalui penulisan. Macam Kak Fatimah Syarha yang Iman minat sangat tu."

" Iman memang minat menulis. Kalau boleh satu hari nanti Iman nak terbitkan novel Iman sendiri."

" InsyaALLAH, dik. Usaha yang baik tu takkan disia-siakan oleh ALLAH."

" Tapi kan, kak. Iman selalu dengar orang cakap, dakwah melalui blog ni dakwah picisan. Dakwah yang tak berkualiti. Dakwah yang tak mampu mengubah orang."

" Siapa kata? Iman sendiri, bila membaca karya-karya motivasi, adakah Iman termotivasi untuk berubah menjadi lebih baik?"

Aku mengangguk.

" Haa..sama juga dengan blog. Mungkin tak semua tapi akak yakin ada yang termotivasi untuk berubah lebih baik bila membaca penulisan Iman. Akak sendiri termotivasi bila baca cerpen Iman dulu tau."

Aku sekadar tersenyum mengingat kembali kali pertama aku menulis cerpen.

" Biasalah tu, dik. Kita nak buat benda baik ni, memang akan adalah yang akan cuba nak melemahkan semangat kita, menjatuhkan kita. Syurga tu manis, sebab tulah perjuangan tu pahit. Kalau dua-dua manis, kencing manislah jawabnya!"

" Hihi..akak ni."

" Nabi Muhammad sendiri menghadapi cabaran yang tidak sedikit apabila dia menyampaikan dakwah. Dalam surah al-Hijr ayat 6,

Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad): “Wahai orang yang kepadanya. diturunkan Al-Qur’an, sesungguhnya engkau adalah orang gila”.

Nabi kita dituduh dengan bermacam-macam tohmahan. Tapi dia terus sabar, tabah dan terus menyampaikan dakwah Islam. Kalaulah masa tu nabi berputus asa, Iman rasa kita boleh kenal Islam macam sekarang ni?"

" Cabaran yang Iman kena hadapi ni tak seberapa berbanding dengan apa yang nabi pernah hadapi dulu. Hmm..lemahnya Iman. Baru sikit kene kutuk dah mula rasa putus asa. Baru busy sikit dengan tugas-tugas sebagai pelajar, dah mula alpa."

" Jangan cepat putus asa, dik. Kuatkan semangat, kukuhkan iman, maju ke hadapan! Ingat firman ALLAH dalam surah Ali Imran ayat 110

Kamu(umat Muhammad, adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, kamu meyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah serta kamu pula beriman kepada ALLAH.

Dan dalam ayat 195 ALLAH menceritakan ganjaran bagi mereka yang beriman dan berusaha dalam menyampaikan dakwah

Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, samada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya) dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam) dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil), sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)."

"Sayangnya ALLAH pada kita kan, kak? Emm..terima kasih, kak sebab dah bagi banyak nasihat pada Iman. InsyaALLAH Iman akan sentiasa cuba perbaiki diri Iman lepas ni. Akak doakan Iman, ye?"

" InsyaALLAH, dik. Akak tak pernah lupa doakan Iman. Hmm..dah petang sangat ni, akak kena balik dulu. Jangan lupa datang tau minggu depan. Ajaklah kawan-kawan rumah nanti."

" InsyaALLAH, kak. Hihi..nanti cari-carikanlah untuk saya sekali. Mana tahu habis belajar ni boleh terus kahwin. Haha.."

" Amboi, gatal. Oklah, akak gerak dululah, ye? Jaga diri baik-baik tau. Rajin-rajinlah call akak nanti."

"Mana boleh kacau akak dah lepas ni. Nanti cik abang marah."

" Ada-ada je kamu ni, Iman."

Aku mencium tangan Kak Humairah. Lama kami berpelukan seakan-akan tidak sanggup berpisah. Sesungguhnya sahabat yang baik itu adalah permata yang sangat berharga. Aku tidak akan sanggup kehilangannya.

" Akak balik dulu ye, assalammu'alaikum."

" Wa'alaikumussalam."

Aku melambaikan tangan sambil memerhati kelibat Kak Humairah yang semakin menjauh. Sayu dan sebak menikam hati. Terlalu banyak yang aku pelajari dari insan bernama Humairah itu. Aku semakin bersemangat setelah mendapat makanan rohani sebentar tadi. Aku berazam untuk terus berjuang dan berdakwah melalui blog. Pedulikan mereka yang mencerca. ALLAH tahu itu salah satu usahaku untuk menegakkan Islam.

Aku membuka komputer riba yang sedari tadi dibiar sepi. Microsoft Word menjadi sasaran dan tanganku mula pantas menaip sebuah cerpen bertajuk 'Kerana Dakwah'.

No comments: