Saturday, August 20, 2011

Puasa Adik-adik

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, kita dah memasuki fasa terakhir dalam bulan Ramadhan di mana di sepuluh malam terakhir ini akan munculnya satu malam yang digelar lailatul qadr. Err..entah-entah semalam,hihi..wallahua'alam~

Macam mana dengan puasa sahabat-sahabat semua? Masih penuh setakat ni? Alhamdulillah~ Hari ni, tak ada apa-apa pengisian berat yang ingin saya coretkan untuk sahabat-sahabat semua. Sekadar ingin berkongsi gelagat adik saya yang berusia 7 tahun berpuasa. Nama gelarannya Iyah. Semoga ada iktibar yang dapat diambil.

Sempena kehadiran bulan Ramadhan, pelajar-pelajar sekolah diberi cuti jadi, hari pertama adik saya berpuasa di rumah. Pagi..ok lagi~ Tengahari..

Iyah: mak..Iyah laparlah~
Mak: sabarlah. Iyah kan puasa, mana boleh makan.
Iyah: Iyah bukan nak makan, Iyah nak minum je..
Mak: Ish..budak ni~

Haha..tak nak makan tapi nak minum. Petang tu, saya bawa dia bermain di taman permainan supaya dia tak terlalu memikirkan tentang perut dia yang lapar tu.

Masa buka puasa, dialah yang paling lahap.Saya tak pernah tengok adik saya makan macam tu. Dasyat, dasyat..hihi.

Hari-hari seterusnya dia lalui puasanya dengan baik. Mungkin sebab berada di sekolah, jadi dia terasa masa berlalu dengan cepat. Balik rumah, mandi dan waktu berbuka pun dah nak tiba. Saya kagum dengan dia. Usianya baru 7 tahun tapi semangatnya kuat. Tapi, bila tengok akhbar, hari-hari ada tangkapan dibuat bagi orang yang tak berpuasa. Ish, ish, ish..malulah sikit kat adik saya ni.

Ada satu gelagat dia berpuasa yang menyebabkan kami sekeluarga ketawa. Saya tak pasti hari ke berapa tapi masih di awal Ramadhan lagi. Seharian di sekolah membuatkan dia kepenatan. Balik dan terus mandi. Sementara menunggu waktu berbuka, dia berbaring dan tertidur. Kesian dia, penat.

Waktu berbuka dah hampir, jadi saya pun pergilah kejutkan dia.

Saya: Iyah..Iyah, bangun, dah nak buka dah.
Iyah: Taknak..Iyah ngantuk.
Saya: Eh, bangun, bangun..dah nak buka dah ni. Tu, tv dah nak keluar azan tu. Haa..mak masak karipap. Iyah kan suka karipap. Bangun....

Saya tepuk-tepuk pipi dia supaya dia bangun. Dia bangun dan terus duduk tegak. Terkejut saya. Tiba-tiba dia berdiri dan terus pergi ke dapur. Dia terus duduk di meja makan dan...ngap! Dia gigit karipap.

Saya: Iyah...belum bukak puasa lagilah!

Nak tahu apa jadi?? Dia terus letak karipap tu dan menangis. Hahaha..satu keluarga ketawakan dia. Kelakar~

Iyah: Kak In kata dah buka..
Saya: Kak In kata dah nak buka, belum buka lagi. Haha..tak apa, Iyah tak sengaja. Tak batal pun.
Iyah: Eeee..Kak In ni!

Lama dia menangis dan saya memang tak tahan asyik nak ketawa je tengok dia. Haha..

Tengok, adik saya baru 7 tahun tapi menangis kalau tak cukup puasa! Tapi yang dah besar-besar tu tak sedih, tak malu nak ponteng puasa. Haish~

Ni lah Iyah..^_^


Rasulullah bersabda:
Siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keikhlasan dan keimanan nescaya akan diampuni segala dosanya yang telah lalu.

Selamat meneruskan perjuangan di bualn Ramadhan ini!!!







Read more...

Wednesday, August 17, 2011

Mahar Cinta Seutas Tasbih ( bahagian akhir(1) )

“ Syukran, ustaz. Kami balik kelas dulu. Assalamu’alaikum.”

“ Wa’alaikumussalam.”

Amir menghantar langkah anak-anak muridnya dengan sekuntum senyuman. Dia puas dapat bergelar seorang pendidik. Itulah kerjaya yang dirasakan sangat mulia dan serasi dengan jiwanya. Setiap insan yang berjaya di dunia ini pasti ada pendidik yang pernah mendidiknya. Setidak-tidaknya ibu bapa insan itu sendiri.

Tugasnya sebagai guru syariah di sekolah itu dijalankan sebaik mungkin. Dia ingin memberikan yang terbaik buat pelajar-pelajarnya. Dia ingin melahirkan anak bangsa yang bukan sahaja hebat akademiknya tetapi hebat juga sahsiah dan peribadi murninya.

Amir menyambung kembali tugasnya menyiapkan laporan pengajaran dan pembelajaran harian. Itulah satu-satunya tugas seorang guru sekolah yang sangat tidak disukainya namun itu adalah tanggungjawabnya dan dia harus tetap melaksanakannya.

Fauzi berada di meja di hadapan Amir. Lama dia memerhati sahabatnya itu. Jarinya memusing-musingkan batang pen, tanda dia berada dalam keadaan yang gelisah. Langit yang mendung dan suram seakan seiring dengan hatinya yang terasa kelam.

‘ Nak tanya, tak nak? Nak tanya, tak nak? Ish..’

Hati Fauzi masih terus berbolak-balik. Ingin bertanya tetapi khuatir Amir tersinggung. Tapi kalau tidak bertanya hatinya pula yang merana. Parah, parah..

“ Kau kenapa, Zi? Lain macam je aku tengok. Kau ada masalah ke?”

Tersentak Fauzi apabila ditegur oleh Amir. Rupa-rupanya Amir memerhati tingkah lakunya sedari tadi.

“ Aku..aku sebenarnya ada benda penting nak tanya kat kau.”

“ Hah..tanyalah.”

Fauzi menarik nafas panjang. Mahu atau tidak, dia tetap harus bertanya. Kebenaran harus dia ketahui. Lelah rasanya hidup dalam keadaan penuh tanda tanya.

“ Aku nak tanya tentang seorang pemuda bernama Mujahid. Kau kenal??”

Amir menelan air liurnya. Terasa seakan tersekat di kerongkong. Dia tahu, lambat laun Fauzi pasti akan bertanya juga. Sudah beberapa kali nama ‘Mujahid’ itu terlepas keluar di hadapan Fauzi.

Fauzi menyedari perubahan pada riak wajah Amir. Tekaannya bahawa Amir adalah Mujahid dirasakan tepat. Dia terus sabar menunggu butir-butir bicara dari Amir.

“ Mujahid tu..emm, dia..”

“ Mujahid tu cinta pertama Iman, kan? Mujahid tu rijal pilihan Iman, kan? Mujahid antara penyebab Iman lambat terima lamaran aku, kan? Mujahid tu antara penyebab Iman putuskan pertunangan kami, kan? Dan..Mujahid tu..”

Bertubi-tubi soalan yang keluar daripada mulut Fauzi. Amir terasa seakan kepalanya ditembak peluru berkali-kali. Terasa seakan hatinya ditusuk sembilu. Pedih sekali. Bibirnya tidak mampu mengatakan apa-apa. Dia sekadar tunduk. Diam seribu bahasa. Sakit kepalanya menghadapi situasi menjerat seperti itu.

“ Dan Mujahid tu kau, kan??”

Gang!!!

“ YA ALLAH..Amir!!!”

Petir menyambar seiring dengan rebahnya Amir daripada kerusinya. Dia terjelepuk jatuh dan dahinya terkena bucu meja di sebelahnya.

Fauzi pantas berdiri dan meluru ke arah Amir. Dia memangku kepala Amir yang berlumuran dengan darah di dahinya. Dia terkejut apabila gumpalan rambut Amir melekat di tangannya. Wajah Amir pucat lesi seakan darah tidak lagi mengalir dalam urat nadinya.

“ Amir! Amir!”

Tubuh Amir mula bermandikan peluh. Fauzi hilang punca. Cuma dia dan Amir yang berada di dalam bilik guru tersebut. Kepalanya tertoleh ke kiri dan ke kanan. Buntu. Dia benar-benar tidak tahu untuk berbuat apa saat itu.

Dia lah permata yang dicari selama ini baru ku temui..

Telefon bimbit yang berada di atas meja Amir tiba-tiba berbunyi. Pantas Fauzi mengangkatnya. Tertulis nama Razif di skrin telefon bimbit.

“ Hoi, kata nak lunch sama-sama! Aku dah sampai ni. Cepatlah turun!”

“ Razif! Aku ni, Fauzi. Amir pengsan! Cepat tolong aku bawak dia ke hospital.”

“ Amir pengsan?! Cepat bawak dia turun. Sekejap lagi aku naik atas. Cepat!”

Fauzi pantas menggendong Amir di belakangnya. Mujur bilik guru mereka cuma di tingkat satu. Dia telah pun keluar daripada bilik guru dan berdiri di hadapan tangga. Dia tidak berani membawa Amir menuruni tangga sendirian. Khuatir dia dan Amir akan jatuh. Dari jauh dia dapat melihat Razif yang berada di bawah dan tercari-cari arah.

“ Razif! Sini! Cepat tolong aku!”

Razif pantas berpaling dan meluru menaiki tangga apabila mendengar namanya diteriak oleh Fauzi.

“ Amir, maafkan aku. Bertahan, ya..”

* * *

“ Macam mana Amir boleh jadi macam tu??”

“ Aku..aku tak tau. Aku cuma tanya. Tiba-tiba dia pengsan. Lepas tu kepala dia terhantuk bucu meja. Aku tak ada niat nak buat dia macam tu. Aku cuma nak tau je..”

Razif menepuk perlahan belakang Fauzi. Dia kelihatan kusut dan tidak tentu arah. Mungkin merasa dirinya adalah punca Amir cedera.

“ Sabarlah, bukan salah kau. Dah takdir. Ermm..kau tanya apa pada Amir?”

“ Mujahid..aku tanya tentang Mujahid.”

Razif mengangkat sebelah keningnya. Hairan.

“ Mujahid? Kenapa kau tanya pasal tu?”

“ Emm..betul ke Mujahid tu, Amir??”

“ Laa..kau tak tahu ke? Mujahid tu memanglah Amir. Eh, aku ingat kau dah tau. Mujahid tu gelaran Amir waktu dia kat sekolah dulu. Kami, kawan-kawan sekolah dia ni biasa panggil dia Mujahid.”

“ Ooh..macam tu.”

“ Kenapa?”

“ Tak ada apa..”

Benarlah sangkaannya selama ini bahawa Amir dan Mujahid adalah orang yang sama. Air mata seakan ingin keluar dari tubir matanya. Hatinya sakit dan kecewa. Tetapi dia keliru adakah dia kecewa kerana Amir adalah pilihan Nur Iman atau dia kecewa kerana merampas kebahagiaan yang sepatutnya milik Amir.

Namun, saat ini itu semua bukanlah perkara pokok. Keadaan Amir lebih membimbangkan dirinya. Amir masih lagi sedang dirawat.

“ Zif, kau dah telefon mak ayah Amir?”

“ Mak ayah?? Fauzi, kau tak tahu ke yang Amir tu anak yatim piatu??”

Fauzi membulatkan matanya. Dia benar-benar terkejut. Sama sekali dia tidak menyangka sahabatnya itu seorang yatim piatu.

“ Patutlah kalau aku tanya je pasal mak ayah dia, mesti dia mengelak.”

“ Mak ayah dia meninggal masa dia umur 8 tahun lagi. Kemalangan kalau tak silap aku. Sejak tu, dia duduk dengan nenek dia tapi sekarang nenek dia pun dah tak ada. Dia ada seorang kakak. Juliana namanya. Kak Ju sekarang kat Australia, belajar kat sana plus menikah dengan orang sana.”

Fauzi mengangguk.anggukkan kepalanya perlahan. Hampir 3 tahun mengenali Amir, baru saat inilah dia mengetahui latar belakang sahabatnya itu. Selama ini, Amir sering sahaja berdolak-dalik apabila ditanyakan tentang keluarganya.

“ Emm..kau tau tak yang Amir ada sakit serius?”

“ Sakit serius? Maksud kau?”

“ Dia ada barah otak.”

“ Barah otak??”

“ Ya, sejak dia umur 12 tahun. Dia ada cakap yang barah tu dah berhenti merebak masa kami tingkatan 3 dulu. Tapi, aku tak pastilah apa yang dia cakap tu betul ke tak.”

Fauzi tersandar di dinding hospital. Banyak sungguh rahsia yang dipendam oleh Amir. Dia meraup wajahnya sambil beristighfar perlahan. Terbayang di matanya gumpalan rambut Amir yang melekat di tangannya dan wajah pucat Amir sewaktu dalam perjalanan ke hospital tadi. Tiba-tiba ada perasaan takut yang singgah di hatinya. Takut kehilangan sahabat yang disayangi.

“ Dia takkan ada apa-apa, kan?”

Razif mengeluh.

“ InsyaALLAH, mudah-mudahan Amir tak apa-apa. Berdoalah.”

“ Zif..”

Razif menoleh.

“ Amir dengan Iman, betul ke?”

“ Maksud kau?”

“ Adik Iman, Ika pernah ceritakan pada aku tentang seorang lelaki bernama Mujahid yang pernah muncul dalam hidup Iman. Lelaki tu hadiahkan seutas tasbih biru pada Iman. Ika kata, Iman sayang sangat pada lelaki tu dan berharap lelaki tu jadi suami dia. Dia tolak banyak pinangan sebab mengharapkan lelaki tu akan datang meminang dia satu hari nanti. Lelaki tu, betul ke Amir??”

Razif mendiamkan diri. Saat itu, dia sendiri tidak tahu apa yang harus dia perkatakan. Adakah perlu dia membongkar segala-galanya atau adakah rahsia itu masih perlu terus disimpan selamanya?

“ Zif, tolong..aku perlu tahu kebenarannya.”

“ Bismillah, aku harap apa yang bakal aku perkatakan ni akan beri kebaikan pada semua pihak. Memang betul apa yang kau katakan tadi. Amir atau Mujahid adalah lelaki yang selama ni ada dalam hati Iman. Memang Iman dan Amir pernah mengikat janji masa dulu tapi janji tu dah pun diputuskan oleh Mujahid waktu kami di kolej. Mujahid berhenti belajar dan tup-tup aku dengar dia ke Mesir. Kami terputus hubungan dan bila kami berjumpa semula, kau dah pun bertunang dengan Iman. Mujahid memang berniat nak kembali menyambung janjinya dengan Iman tapi tak mungkin kan untuk dia meruntuhkan mahligai yang bakal dibina oleh sahabatnya sendiri? Dia redha dengan takdir. Begitu jugak dengan Iman.”

“ ALLAH, ALLAH, ALLAH..”

Razif menepuk perlahan belakang Fauzi yang sudah terduduk lemah. Matanya merah.

“ Itu semua cerita lama. Sekarang, tak ada lagi Mujahid dan Iman. InsyaALLAH, Fauzi dan Iman.”

“ Kami..dah putus.”

Razif terkejut.

“ Dah putus??”

“ Ya, Iman minta tangguhkan pernikahan kami.”

“ Emm..mungkin dia perlukan waktu. Bersabarlah..”

Razif menatap sayu pintu wad kecemasan yang tertutup rapat. Ada sahabatnya yang sedang bertarung nyawa di dalam. Jururawat keluar dan masuk silih berganti tetapi tiada yang membawa khabar tentang Mujahid. Dia menghembus nafas perlahan. Dalam hatinya berdoa semoga sahabatnya itu selamat. Jauh di sudut hatinya merasakan penyakit barah yang dihidapi oleh Mujahid masih bersarang di dalam tubuhnya. Jika tidak, mana mungkin sekadar terhantuk di meja perlu dirawat di wad kecemasan.

Razif menoleh ke arah Fauzi yang kelihatan lemah tidak bermaya di sebelahnya. Ada sendu di wajah itu. Sekali lagi dia mengeluh. Segala rahsia yang dipendam selama ini telah pun dibongkar. Amir pernah mengingatkannya agar tidak memberitahu Fauzi tentang sejarahnya dengan Iman tetapi hakikatnya Fauzi telah pun tahu walaupun dalam keadaan tidak pasti. Dia juga tidak menyangka bahawa Fauzi tidak mengenali Amir sebagai Mujahid. Jika Fauzi tahu, mungkin Fauzi sendiri yang akan membatalkan pertunangannya dengan Iman. Ah, kedua-dua lelaki itu sama baik dan sama soleh. Mana mungkin antara mereka tegar untuk menikahi gadis yang dicintai sahabatnya sendiri.

Lampu wad kecemasan yang tadinya menyala kini terpadam. Seorang lelaki berbaju putih keluar. Pantas Razif dan Fauzi menghampirinya.

“ Doktor, macam mana dengan kawan saya??”

* * *

Nur Iman tersenyum manis sambil membelek-belek seutas tasbih di jarinya. Tasbih yang dahulunya terpisah kini kembali bersatu dalam satu untaian cinta. Dia telah mengikat kembali tasbih biru yang pernah terputus itu.

“ Amboi, kak. Senyum lebar nampak? Dah nak koyak mulut akak tu Ika tengok.”

Zulaikha menghampiri Nur Iman yang masih berbaring-baring di atas katil. Kakaknya itu sekadar tersenyum mendengar usikannya.

“ Emm..Kak Iman.”

Nur Iman mengangkat sebelah keningnya. Hairan dengan intonasi suara adiknya itu. Bagaikan ada sesuatu yang amat berat yang ingin diluahkan. Segera dia bangun dan bersila di sebelah Zulaikha.

“ Kenapa?? Lain macam je ni..Ada orang masuk meminang Ika ke??”

“ Ish..ke situ pulak akak ni. Apalah..”

“ Dah tu??”

“ Emm..ayah kata, akak dah batalkan pertunangan akak dengan Abang Fauzi. Ye ke??”

“ Bukan batal, cuma mintak tangguh nikah je.”

“ Alah, samalah tu. Kenapa, kak? Sebab Abang Amir ke??”

Nur Iman menatap lama wajah mulus adiknya itu. Hairan kerana nama Amir yang dikaitkan.

“ Ika dah tau lah. Abang Amir tu Abang Mujahid, kan?”

Nur Iman melepaskan keluhan. Perlahan.

“ Emm..bukan sebab dia. Tak ada sebab siapa-siapa. Baik Fauzi ataupun Mujahid, akak takkan pilih antara mereka. Diorang sahabat baik dan akak tak nak disebabkan akak diorang ada simpan perasaan sakit hati antara satu sama lain.”

“ Tapi, Ika tengok Abang Mujahid macam dah redha je.”

“ Itu luaran. Dalaman kita tak tau. Fauzi pun sama. Akak rasa dia dah tau yang Amir tu Mujahid. Ika bayangkan kalau kami menikah, dalam hati dia akan tetap tersimpan sedikit perasaan curiga pada akak dan Mujahid. Dan katakan kalau akak pilih Mujahid, tak mustahil hubungan antara mereka putus kan?? Jadi, akak dah buat keputusan. Akak..takkan pilih antara mereka. Akak rasa inilah yang terbaik. Mungkin belum sampai jodoh akak lagi.”

Zulaikha pantas memaut pinggang Nur Iman dan memeluknya erat sambil menghamburkan tangisannya.

“ Ika harap akak akan dapat seorang suami yang soleh untuk jaga akak, sayang akak dunia dan akhirat!”

“ Amin..Yang Ika menangis ni, kenapa? Akak tak ada apa pun. Cengeng betullah budak kecik ni. Hahah..”

Istikharah cinta memanggilku..

Nur Iman mencapai telefon bimbitnya yang berada di atas meja di sebelah katilnya. Zulaikha melepaskan pelukan sambil mengesat air matanya.

“ Assalamu’alaikum, hah..Zif, ada apa? Apa?? Mujahid masuk hospital?? Ya, ya..aku datang sekarang!”

Nur Iman pantas bangun dan mencapai sehelai tudung yang tersangkut di dinding.

“ Ika, Mujahid masuk hospital. Kita pergi sana sekarang.”

Zulaikha mengangguk dan pantas keluar dari kamar Nur Iman. Sempat dia mengkhabarkan berita tersebut kepada kedua orang tuanya sebelum dia menghilang ke kamarnya.

Nur Iman kaget. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Kunci kereta yang biasanya ada di dalam beg tangannya entah ke mana. Dia hilang punca. Tasbih biru masih kejap di genggamannya. Dia kembali menyelongkar beg tangannya.

‘ YA ALLAH, macam mana boleh tak jumpa tadi??’

Pantas Nur Iman mengeluarkan kunci kereta yang sebenarnya ada di dalam beg tangannya itu dan memasukkan tasbih biru ke dalamnya. Sarung kaki dicapai dan pantas kakinya melangkah keluar.

“ Iman, Iman pergi dulu dengan Ika dan Jannah. Nanti abi dengan umi menyusul.”

Nur Iman mengangguk.

‘ YA ALLAH, selamatkan Mujahid..’

* * *

“ Aku terima nikahnya Nur Iman Binti Ahmad Zaki dengan mahar RM80 dan seutas tasbih, tunai.”

“ Astaghfirullahal’azim..aku mimpi rupanya. Adoi, gatal betullah..mimpi nikah dengan Mujahid pulak, ish!”

Nur Iman menanggalkan telekung dari tubuhnya. Dia duduk termenung di atas sejadah. Naskhah al-quran yang berada di tangannya dipeluk kemas. Usai solat sunat tahajud dan hajat tadi dia tertidur di atas sejadah dan bermimpikan pernikahannya dengan Mujahid. Seulas senyuman kecil terukir di bibirnya. Nur Iman malu sendiri apabila memikirkan mimpinya itu.

Mimpinya menerbangkan ingatannya kepada Mujahid atau Amir yang kini masih dalam keadaan koma sejak 3 hari yang lepas. Pemuda itu terbaring lemah dan tidak berdaya. Dia bergantung hidup sepenuhnya kepada mesin bantuan pernafasan.

ALLAHUAKBAR ALLAHUAKBAR..

“ Dah subuh..”

Nur Iman bangkit dan melangkah keluar dari kamarnya menuju ke kamar mandi. Telefon bimbitnya tiba-tiba berdering.

Istikharah cinta memanggilku..

“ Assalamu’alaikum..apa? Mujahid dah sedar? Alhamdulillah..ya, ya..insyaALLAH aku datang melawat pagi ni. Wa’alaikumussalam.”

Ada air jernih yang mengalir keluar dari kelopak matanya. Panggilan dari Razif itu benar-benar menggembirakan hatinya. Tidak sia-sia doanya setiap hari untuk pejuang islam itu. Betapa tinggi harapannya setiap hari agar pemuda itu membuka kelopak matanya dan kembali berjuang sebagai khalifah islam. ALLAH telah pun memakbulkan doanya.

‘ Terima kasih, YA ALLAH..’

* * *

“ Sampai hati kau tak bagitahu aku yang kau sakit, kan?”

Amir tersenyum mendengar kata-kata Fauzi. Fauzi sengaja memasamkan wajahnya.

“ Dah kau tak tanya, aku tak bagitahulah.”

“ Laa..takkan kau nak aku tanya, Mir..kau ada barah ke?? Hish..tak pernah dibuat orang.”

Bergema ketawa Amir di dalam wad tersebut. Dalam keadaan tubuhnya yang masih lemah, dia masih mampu ketawa. Sesungguhnya itulah sikap orang-orang yang sabar. Ikhlas dalam menerima ujian kerana yakin ada ganjaran pahala yang sangat besar menanti di syurga.

Fauzi tersenyum kelat. Lawaknya sendiri tidak membuatkan dia ketawa bahkan dia terasa ingin menghamburkan tangisan di hadapan sahabatnya itu. Lawaknya itu sekadar topeng yang menyembunyikan rasa hatinya yang sebenar. Betapa hatinya pilu melihat keadaan Amir yang lemah. Rambutnya hampir tinggal separuh. Tubuhnya kurus dan matanya cengkung.

Razif menyendiri di tepi dinding. Matanya tajam menatap Amir yang masih galak ketawa. Hatinya hiba. Dia tidak seceria hari-hari biasa. Kebiasaannya dialah yang menjadi penghibur suasana tetapi hari ini dirinya sedang berduka.

Dia teringat perbualannya sebentar tadi dengan doktor yang merawat Amir selama ini merangkap sahabat mereka berdua, Doktor Hafiz.

“ Semangat dialah yang membuat dia mampu bertahan sampai ke hari ini. Aku cuma boleh katakan, terpulang kepada dia sendiri nak bertahan sampai bila. Penyakitnya dah pun berada di tahap terakhir selama lebih kurang setahun. Ia memang satu keajaiban dari ALLAH. Jarang ada kes macam ni. Aku tak syorkan pembedahan. Risikonya terlalu tinggi. Barah dah merebak dan kalau dibedah juga, mungkin dia akan pergi lebih awal. Berdoalah pada DIA.”

“ Zif..”

Razif tersentak daripada lamunannya. Amir sedang menatapnya sambil tersenyum.

“ Kau kenapa? Aku tengok macam ayam berak kapur je.”

Razif sekadar berdehem. Dia membuang pandang ke luar jendela. Hatinya terusik. Bibirnya ingin menuturkan sesuatu tetapi tiada bicara yang terluah. Dia menahan sebak.

“ Relaxlah, Zif. Aku belum nak mati lagilah.”

Amir cuba bergurau. Ternyata gurauannya disambut hambar. Dia tahu, Razif sedang bersedih. Dia memahami sikap sahabatnya itu.

“ Kakak kau dah on the way balik Malaysia. Flight dia malam tadi.”

Amir mengangguk perlahan mendengar kata-kata Razif yang tidak bernada itu. Lama benar dia tidak bertemu muka dengan kakaknya. Sejak menyambung pelajaran di Australia, hanya sekali sahaja kakaknya itu pulang ke Malaysia.

“ Assalamu’alaikum..”

Suara orang memberi salam menghidupkan suasana hambar di dalam wad tersebut. Encik Zaki sekeluarga datang melawat.

“ Wa’alaikumussalam.”

Encik Zaki menghampiri katil Amir dan menghulurkan tangannya untuk bersalam. Puan Khadijah dan Zulaikha sekadar memerhati. Nur Iman menyonsong perlahan kerusi roda yang diduduki Jannah menghampiri mereka. Adiknya itu masih tidak kuat untuk berjalan selepas pengsan dan masuk wad sebelum ini.

“ Sihat, pakcik?”

Amir mencium tangan Encik Zaki. Syahdu.

“ Ish..kamu ni, patut pakcik yang tanya kamu sihat ke tak. Ada pulak kamu yang tanya pakcik.”

“ Hihi..saya ni dah sah-sahlah sakit, pakcik. Tengok pun dah tahu. Kepala pun nak botak dah.”

Amir berlucu sambil memegang kepalanya yang hampir botak. Beberapa helai rambut gugur lagi. Amir sekadar tersenyum memerhatikan helaian rambut dalam genggamannya.

“ Kamu sakit apa, Mir?”

“ Tak ada sakit apalah. Sakit biasa-biasa je. “

“ Biasa-biasa apa sampai 3 hari kamu tak sedarkan diri.”

Puan Khadijah turut mencelah.

“ Cuba cerita pada kami, mana tahu kalau-kalau kami boleh tolong.”

Amir menggeleng perlahan.

“ Betul pakcik, makcik. Saya tak apa-apa. Saya dah biasa dah sakit macam ni. Tak lama lagi boleh keluar wad. Jangan risau.”

Razif yang sedari tadi mendiamkan diri tiba-tiba bersuara.

“ Mujahid, sudah-sudahlah. Cukuplah berbohong pada kami. Sampai bila kau nak sembunyikan penyakit kau ni??”

Suara Razif yang tinggi mengejutkan semua yang berada di situ. Semua mata tertumpu pada Razif yang kelihatan sedang menahan sebak. Dadanya berombak keras. Amir sekadar tunduk.

“ Dia sakit barah otak. Dah peringkat akhir. Doktor kata, terpulang pada dia sama ada nak bertahan atau nak berputus asa. Selama ni, semangat dialah yang membuatkan kita masih dapat tengok dia pada hari ini.

Bagaikan halilintar menyambar bumi saat Razif mengkhabarkan perkra tersebut. Masing-masing terkejut. Nur Iman memegang kemas kerusi roda Jannah. Bibirnya diketap menahan tangis. Zulaikha menghampirinya lalu menggenggam tangannya perlahan.

“ Maafkan saya sebab sembunyikan perkara ni. Maafkan saya..”

Suasana hiba dan pilu menyelubungi wad kecil tersebut. Masing-masing mendiamkan diri. Sesungguhnya setiap ujian itu adalah petanda ALLAH masih ingat dan sayang kepada kita. Ujian itu pahit kerana syurga itu manis. Hanya mereka yang benar-benar bertaqwa yang dapat merasai kemanisan syurga itu.

* * *

“ Maafkan aku, Zi. Aku tak berniat nak sembunyikan perkara ni daripada kau. Memang ada sejarah antara aku dan Iman. Tapi, perkara tu dah lama berlalu. Kami cuma sahabat je sekarang. Tak ada apa yang lain. Dia tunangan kau. Tak mungkin aku nak rampas tunang sahabat aku sendiri.”

Fauzi menghembus nafas perlahan. Hari ini terluah segala apa yang dipendamkan olehnya terhadap Amir. Dia tidak berniat untuk menyalahkan Amir lebih-lebih lagi dalam keadaan Amir yang sakit.dia cuma ingin meleraikan kekusutan dalam jiwanya. Selepas mengetahui kebenaran tentang identiti Mujahid, dia membuat sebuah perancangan demi melihat sahabat baiknya itu bahagia.

“ Hmm..dahlah, kita lupakan hal ni. Aku cuma nak tahu je. Aku tak salahkan kau. Biasalah, setip orang ada sejarah hidup masing-masing.”

Fauzi menolak perlahan kerusi roda yang diduduki oleh Amir. Mereka berjalan-jalan di taman yang berada di dalam kawasan hospital tersebut. Ramai pesakit lain yang turut mengambil peluang menghirup udara segar pada waktu petang setelah seharian terperuk di dalam wad. Bayu petang terasa lembut mengusap wajah. Daun-daun pokok menari mengikut irama angin yang berlagu tenang. Kicauan burung turut menghiasi suasanana petang nan indah itu.

“ Amir, kau..nak kahwin tak?”

Amir ketawa kecil mendengar solan daripada Fauzi.

“ Kahwin? Dalam keadaan aku macam ni, buat naya anak dara orang je kalau jadi isteri aku. tak sampai seminggu dah jadi janda berhias. Haha..”

Amir ketawa sendiri dengan kata-katanya.

“ Tak kelakarlah. Aku tanya betul-betul ni, kau nak kahwin tak?”

“ Zi, aku ni tunggu masa je nak jumpa dia. Tak mungkin aku akan kahwin dalam keadaan aku macam ni. Jangan nak mengarutlah. Lagipun, manalah ada anak dara yang nak kat aku ni. Kepala pun dah botak licin dah ni.”

Fauzi menggosok-gosok kepala Amir sambil ketawa.

“ Haha..tak licin lagi. Ada sikit lagi rambut ni.”

Mereka berdua ketawa besar. Hakikatnya masing-masing berpura-pura. Ketawa dalam duka. Masing-masing cuba menyembunyikan tangisan yang berlagu di dalam hati.

“ Macam mana dengan Iman?”

“ Iman? Kenapa?”

“ Buat-buat tak tahu pulak.”

Fauzi menolak kerusi roda Amir menghampiri sebuah bangku kayu di bawah sebatang pokok yang rendang. Dia melabuhkan punggungnya di situ. Kerusi roda Amir dipusing menghadapnya.

“ Kau macam mana? Kau sayangkan dia, kan? Kau impikan dia untuk jadi sayap kiri dalam perjuangan kau, kan?”

Soalan bertalu-talu daripada Amir hanya dijawab dengan sebuah keluhan oleh Fauzi. Dia menggeleng lemah.

“ Aku..dah tak simpan harapan apa-apa lagi pada Iman. Mungkin jodoh kami hanyalah sekadar sebagai sahabat saja. Aku redha. Walaupun dia kata cuma nak tangguhkan majlis pernikahan kami, aku tak yakin dia ada niat nak menikah dengan aku. aku sendiri cakap pada orang tua aku yang kami nak batalkan pernikahan. Sepatutnya keluarga aku datang rumah dia minggu lepas. Tapi, macam-macam hal yang berlaku. Akhirnya, terbatal macam ni je lah.”

Amir sekadar mendiamkan diri. Tiada kata yang terluah. Tiada bicara yang terucap.

“ Aku tahu, dia masih mengharapkan kau. Zulaikha sendiri ceritakan pada aku. aku yakin, dia mengimpikan seorang ‘Mujahid’ seperti kau.”

“ Hmm..apalah yang ada pada seorang ‘Mujahid’ yang dah patah sayapnya ni? Srikandi seperti Iman berhak mendapat seorang suami yang lebih baik daripada aku. aku tak nak menganiayai dia. Masa aku dag suntuk, Zi.”

“ Jangan cakap macam tu.”

“ Aku tahu setakat mana aku boleh bertahan.”

“ Kau akan bertahan! Mir, jujur..dalam hati kau, masih ada Nur Iman ataupun tidak?”

Fauzi merenung tepat ke dalam anak mata Amir. Pantas Amir melarikan pandangannya. Dia merenung jauh ke hadapan. Cuba membayangkan masa depannya yang tidak pasti. Wajah Nur Iman menari-nari dalam matanya. Hanya satu yang dia harapkan, Nur Iman akan menjadi ketua bidadari buatnya di syurga nanti.

Fauzi menatap lama pada sahabatnya itu. Dalam benak fikirannya, dia berjanji bahawa dia akan membahagiakan saat-saat terakhir hayat sahabatnya itu.

‘ Mir, aku janji..kau akan ‘pergi’ dengan bahagia.’

* * *

“ Kak Ju, itulah Nur Iman. Yang pakai tudung labuh biru tu.”

Juliana, kakak sulung Amir mencari-cari gadis yang dikatakan oleh Fauzi dan Razif itu. Pandangannya menangkap kelibat seorang gadis bertudung biru yang sedang berjalan ke arahnya.

“ Betul ni, Fauzi? Kamu dah fikir masak-masak? Tak menyesal?”

“ InsyaALLAH, kak. Inilah yang terbaik.”

Juliana mengangguk perlahan.

“ Assalamu’alaikum semua.”

“ Wa’alaikumussalam.”

Nur Iman memberi salam dan menyalami Juliana.

“ Ni..”

“ Saya Juliana. Kakak pada Amir. Panggil je Kak Ju. Ni Iman ke?”

“ Ohh..Kak Ju, ah..ye, saya Iman. Emm..macam mana dengan Amir hari ni?”

“ Alhamdulillah, dia tengah tidur. Baru lepas makan ubat.”

Razif dan Fauzi sekadar memerhatikan perbualan dua orang muslimah itu.

“ Emm..kalau macam tu, saya mintak diri dululah. Ni ada sikit buah tangan untuk Amir.”

“ Aii..dengar Amir tidur je terus nak blah ea?”

Razif mula mengusik. Pantang nampak peluang.

“ Ish..bukanlah. aku nak pergi tengok Jannah pulak.”

“ Jannah??”

Nur Iman tersenyum.

“ Adik saya, Kak Ju. Dia pun pesakit kat hospital ni.”

“ Oh, macam tu. Boleh akak melawat sekali?”

“ Boleh sangat, hihi..”

“ Korang berdua tunggu Amir kat sini, ya? Akak nak ikut Iman.”

“ Baik, mem!”

Juliana ketawa mendengar jawapan dari mulut Razif. Ada-ada saja idea pemuda itu untuk menceriakan suasana.

Nur Iman dan Juliana menapak menuju ke arah lif. Juliana memerhati Nur Iman. Bicaranya, senyumannya dan sikapnya memikat hati. Wajarlah jika adiknya itu jatuh cinta dengan gadis bernama Nur Iman ini.

“ Iman, akak ada sesuatu nak bincangkan dengan awak sebenarnya.”

“ Apa dia, kak? Macam serius je bunyinya?”

“ Kita duduk dulu, boleh?”

“ Emm..kalau macam tu, kita ke tamanlah. Lepas bincang hal yang akak cakap tu, saya bawak akak pergi ke wad adik saya.”

Juliana menganggu tanda bersetuju. Mereka seiringan menuju ke taman di kawasan hospital tersebut. Sebuah bangku kosong menjadi pilihan untuk mereka duduk.

“ Apa dia yang akak nak bincangkan dengan saya?”

“ Sebelum tu, akak minta maaf banyak-banyak dan akak harap Iman tak salah faham dengan apa yang bakal akak perkatakan ni.”

“ InsyaALLAH, kak..”

“ Emm..Iman tau kan yang adik akak, Amir sekarang ni sakit dia dah tenat sangat?”

“ Tau, kak.”

“ Dan sebagai kakak kepada Amir, akak berharap sangat yang dia akan bahagia di saat-saat terakhir hayatnya. Selama ni, Amir selalu hidup berseorangan. Kami kehilangan orang tua dalam usia yang sangat muda dan bagi Amir kehilangan tu adalah satu memori yang sangat memeritkan dalam hidup dia. Dia terlalu muda pada waktu tu untuk memahami erti sebuah kehilangan. Lepas tu, kami tinggal dengan nenek. Setahun lepas tu, nenek meninggal dan akak pulak pergi ke asrama penuh. Umur dia masa tu 11 tahun. Masa tu lah dia disahkan mengidap barah otak. Terlalu banyak episod duka dalam hidup Amir.”

Nur Iman menahan sebak mendengar kata-kata Juliana. Dia mengetap bibirnya perlahan.

“Akak dapat rasakan masa dia dah suntuk. Dia asyik bercakap tentang mati pada akak. Akak betul-betul nak dia bahagia. Iman boleh tolong akak bahagiakan Amir?”

“ Maksud akak??”

Juliana berdehem. Berat hatinya ingin meluahkan hasratnya itu namun demi melihat Amir bahagia dia akan mencuba yang terbaik.

“ Iman masih sayangkan Amir, kan??”

“ Saya..saya..”

Juliana mencapai tangan Nur Iman dan menggenggamnya perlahan.

“ Akak tau Amir masih sayangkan Nur Iman. Satu-satunya novel yang dia hasilkan adalah tentang Iman. Tentang kisah awak berdua. Masa akak di Australia, dia pernah suarakan hasratnya supaya akak meminang Iman untuk dia. Tapi masa tu akak ada masalah di sana dan akak tak sempat balik ke Malaysia.”

“ Dia mintak akak masuk meminang saya?”

“ Ya, tapi tup-tup dia dapat tau Iman dah bertunang dengan Fauzi. Jadi dia batalkanlah.”

“ Kami dah putus.”

“ Akak tau, sebab tu akak ceritakan semua ni pada Iman. Iman..kalau Amir melamar Iman sekarang, Iman akan terima??”

“ Saya..saya..tak tahu.”

“ Iman, fikirkanlah apa yang akak katakan tadi. Akak tahu, keadaan Amir yang serba tak sempurna sekarang ni mungkin membuat Iman ragu-ragu. Akak tak memaksa.”

Nur Iman kelu. Dia tidak pasti apakah perasaannya saat itu. Debaran jantungyang berirama dalam dirinya menyesakkan nafas. Sesaat bunga-bunga bahagia kembang mekar di dalam hatinya tetapi sesaat bunga itu layu apabila mengingatkan keadaan Amir pada masa itu. Dia keliru.

“ Iman..Iman tak apa-apa?”

Nur Iman tersentak. Pantas seulas senyuman diukir di bibirnya.

“ Saya ok. Jomlah, kak..saya bawa akak melawat adik saya.”

* * *

“ Kak Ju! Apa akak mengarut ni?? Menganiayai orang namanya tu. Mir tak naklah!”

Amir memegang perlahan kepalanya. Sakit. Bertambah sakit lagi apabila mendengar kata-kata kakaknya.

“ Akak tak mengarutlah. Apa salahnya Mir menikah dengan Iman sekarang ni?? Selama ni Mir memang nak dia jadi isteri Mir, kan? Akak dah cakap pada dia. Dia setuju kalau Mir masuk melamar dia.”

“ Iman setuju??”

“ Ya, dia setuju. Dia dah berbincang dengan orang tua dia. Mereka pun dah setuju. Jadi sekarang ni cuma kamulah yang nak perlu melamar Iman secara rasmi. Hari tu akak cakap guna air liur je.”

Amir menggeleng-gelengkan kepalanya.

“ Tak mungkin, kak. Akak tengoklah keadaan Amir sekarang ni. Nak berjalan pun tak berdaya. Entah esok atau lusa Amir dah tak ada. Betul, memang Mir nak Iman jadi isteri Mir tapi bukan dalam keadaan Mir macam ni. Dia akan merana nanti, kak. Mir redha kalau memang kami tak ada jodoh di dunia ni. Mir harap dia jodoh Mir di syurga nanti.”

“ Mir, akak nak tengok Mir bahagia.”

“ Mir takkan bahagia kalau tengok Iman terseksa, kak.”

“ Dia takkan! Dia sayangkan kamu.”

“ Saya pun sayangkan dia dan saya nak dia dapat suami yang lebih baik dari saya. Yang boleh jaga dia dan bahagiakan hidup dia. Bukan yang melarat macam saya ni. Saya tak sanggup dia menangis bila saya dah tak ada nanti.”

“ Jangan cakap macam tu, dik.”

“ Saya tahu kudrat saya setakat mana boleh bertahan, kak.”

“ Ajal maut di tangan ALLAH, Mir.”

Amir membuang pandang ke luar jendela. Tiba-tiba pintu wad ditolak perlahan dari luar. Kelibat Nur Iman kelihatan. Wajahnya sembap menandakan dia baru sahaja menangis.

“ Kalau ana yang melamar enta, enta terima??”


Read more...