Tuesday, February 26, 2013

Muslimah tapi terdedah

Bismillahirrahmanirrahim..

Kini..adalah zaman di mana teknologi ada di mana-mana, bak kata orang dunia di hujung jari. Maklumat begitu mudah didapati, tidak perlu lagi berlama-lama di perpustakaan. Akses ke internet, dan tanya Uncle Google. Mudah, kan? Zaman ini juga merupakan zaman di mana manusia berlumba-lumba mengejar kekayaan dan kejayaan, berlumba-lumba membina bangunan mencakar langit.

Hebat~

Tapi, bagi saya..semakin moden dan berteknologi sesuatu zaman itu, maka semakin besar dan semakin hebatlah cabaran serta fitnah yang perlu saya hadapi. Betul, tak?







Dan pastinya tidak ketinggalan, kemajuan dan kemodenan dalam berpakaian. Perkembangan fesyen pada masa kini begitu pantas sekali. Setiap hari, ada sahaja fesyen terbaru yang akan dipertonjolkan. Dan pastinya yang paling menarik perhatian saya adalah perkembangan fesyen Muslimah.

Alhamdulillah..saya bersyukur sangat sebab saya dapat melihat bahawa wanita pada masa kini sudah mula ada kesedaran untuk mengamalkan ajaran islam yakni bertudung. Kita dapat lihat ramai artis-artis yang dahulunya tidak bertudung, kini sudah bertudung. Syukur, Alhamdulillah.

 Tetapi, hakikatnya..adakah benar perubahan-perubahan itu adalah kerana ALLAH? Adakah perubahan yang kita laksanakan itu benar-benar selari dengan syariat Islam?? Atau adakah kerana ianya kerana mengikut trend semasa?? Sama-sama kita muhasabah dan koreksi diri kita.


Saya bukanlah seorang gadis yang menentang kemajuan berfesyen. Tidak sama sekali. Selagi mana fesyen itu menepati apa yang diajarkan dalam Islam, maka silakan. Tetapi, fesyen muslimah pada masa kini bagi saya bukan sahaja tidak menepat ajaran Islam bahkan pada pendapat saya seolah-olah menghina dan menyindir ajaran berfesyen dalam Islam! Kenapa saya kata begitu??

Baik~ 

Dalam Islam, kedudukan seorang wanita itu teramatlah tinggi dan mulia sekali. Kerana ingin memelihara maruah dan kehormatan seorang wanita itu, maka wanita itu diwajibkan untuk menutup aurat. Menutup aurat yang bagaimana?? Menutup aurat yakni menutup seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan, memakai pakaian yang tidak menarik perhatian, tidak ketat dan tidak jarang.

Tetapi..bagaimana pula dengan fesyen muslimah yang sering dipertontonkan di kaca tv? Syarat 1 iaitu menutup seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan, lulus! Tetapi..syarat lain?? Fesyen Muslimah yang sering saya lihat di kaca tv adalah terlalu menarik perhatian, terlalu ketat dan jarang!

Wahai gadis-gadis Muslimah..jangan menghina dan menyindir Islam dengan berpakaian atas nama Islam tetapi diadun-adun sesuka hatimu dengan alasan mengikut peredaran zaman, kononya Islam itu sesuai untuk semua zaman. Memang betul Islam sesuai dengan semua zaman tetapi ianya bukan bererti kita boleh mengubah-ubah apa yang Islam ajarkan pada kita agar sesuai dengan kehendak semasa. Sebaliknya, kitalah yang perlu menyesuaikan diri kita dengan ajaran Islam. Jangan jadikan alasan untuk tidak mahu kelihatan kolot, lantas kita sarungkan pakaian yang entah apa-apa ke tubuh badan kita.

“Ish..Iman,kau ni. Asyik pakai tudung selempang camtu je. Cubalah buat gaya lain sikit. Pin atas kepala ke, kat pipi ke, tak pun pakai selendang ke. Barulah fashionista~Hihi..” 


“Amboi..banyaklah kau punya fashionista. Kira ok lah ni aku sarung tudung bidang 60 tau. Kalau ikut hati aku, aku pakai je tudung labuh tu pergi office tau. Huhu..” 


Bila ada gadis-gadis yang membaca entry saya ni, mesti ada yang berfikir yang Si Pengemis Iman ni anti-fesyen. Oh,tidak. Saya tak anti pun. Cuma anti pada fesyen yang Muslimah tapi terdedah iaitu pakaian Muslimah tetapi dihiasi dengan gaya yang mendedahkan kecantikan seorang wanita.


Saya ada membaca di Majalah SOLUSI tentang fesyen muslimah kini yang membuang masa. Saya setuju tu. Mana taknya, kalau dah menghadap cermin berjam-jam sebab nak membelit selendang dengan gaya-gaya di majalah. Haish~Kan bagus kalau masa yang digunakan untuk membelit-belit tudung tu digunakan untuk melakukan perkara lain yang lebih bermanfaat.

Saya bukanlah ingin melarang sahabat-sahabat untuk berfesyen tetapi sekadar mengingatkan agar kita semua tidak berlebih-lebihan dalam berfesyen dan kita perlulah mengikhlaskan niat bahawa kita menutup aurat adalah kerana ALLAH dan bukan kerana ingin mengikut trend semasa.

Wallahu’alam..




Read more...