Wednesday, December 16, 2009

Asrar Hidup-Bab 1

Setiap insan yang lahir ke dunia mendambakan kebahagiaan dalam hidup mereka. Tetapi, siapalah kita untuk menafikan takdir yang telah ditetapkan olehNya. Sememangnya kehidupan di dunia tidak hanya menjanjikan kebahagiaan tetapi ada sejuta kepahitan yang perlu ditempuhi demi mencari sejalur sinar untuk menyinari liku-liku kehidupan. Adakalanya kita akan berada di atas. Disanjung, dipuja dan disayangi semua. Dan suatu saat nanti kita akan jatuh kerana itulah rencah kehidupan. Akan tetapi, kita juga mampu untuk bangkit semula. Ibarat seperti roda yang sedang berputar, itulah kehidupan. Akan sentiasa berputar sehingga tiba saatnya roh meninggalkan jasad menuju kehidupan yang hakiki.

Airin mengesat peluh yang merenik di dahinya. Wajahnya bermandi keringat. Belakang bajunya sudah dibasahi peluh. Dia mempercepatkan langkahnya meniti batas-batas sawah. Dia harus segera pulang. Dia pasti akan dimarahi andai bapanya tahu dia keluar ke kedai. Pantang sungguh bagi bapanya jika dia keluar dari rumah tanpa kebenaran. Penuh hati-hati kakinya melangkah. Bimbang kalau-kalau terjatuh ke dalam petak sawah. Kalau sekadar bergelumang dengan lumpur, Airin sudah biasa. Tetapi, dalam lumpur sawah ini ada pacat dan lintah. Tidak sanggup rasanya dia bersentuhan kulit dengan amfibia kecil itu.

Matahari semakin tegak di atas ubun-ubun kepala. Ubun-ubun terasa menggelegak. Terasa helah dan lelah menghirup udara panasnya. Bahangnya menyebabkan para pesawah menyerah kalah. Bagaikan sedang disalai di atas bara api. Masing-masing merehatkan diri di pondok dan di bawah pokok. Tidak terdaya meneruskan pekerjaan di bawah teriknya sang suria. Itu panas dunia. Panas yang sedikit itu kita sudah tidak mampu menanggungnya. Apa lagi di akhirat nanti apabila matahari hanya sejengkal di atas kepala. Beruntunglah bagi sesiapa yang berbuat baik semasa hidupnya di dunia.

“Rin! Nak ke mana tergesa-gesa tu?” teriak Pak Ijoi

Airin segera menoleh apabila terdengar namanya dipanggil. Tercari-cari siapa yang memanggilnya.

“Sini!”

Airin ternampak Pak Ijoi yang sedang melambai-lambaikan tangan ke arahnya. Dia serba salah. Dia harus segera pulang ke rumah. Mahu atau tidak kakinya tetap melangkah menghampiri Pak Ijoi. Mahu berteriak dari tempatnya berdiri, dia malu. Ramai pemuda berada di situ. Tidak manis dipandang kalau anak dara terpekik di tengah sawah.

“Kau nak ke mana ni, Airin? Pak Ijoi tengok berjalan macam dikejar rimau je,” tanya Pak Ijoi sebaik sahaja Airin menghampirinya.

Airin tersengih. Malu.

“Takde Pak Ijoi. Rin nak balik rumah ni. Kene cepat. Dapur tak berasap lagi tu. Nanti kesian pulak kat ayah dengan mak kalau diorang balik makanan tak ada Emm..Rin mintak diri dululah ye,Pak Ijoi. Assalamualaikum,” kata Airin dan terus berlalu meninggalkan Pak Ijoi terpinga-pinga.

Pak Ijoi menggeleng-gelengkan kepalanya.

Ada-ada je budak ni..

* * * * *
“Macam mana kerja hari ni,ayah?” Tanya Airin ketika mereka sekeluarga duduk bersama menikmati makan tengahari. Tangannya mencedok kuah ke dalam pinggannya.

“Alhamdulillah,hari ni ada 3 orang yang datang tempah lembu dan kambing dengan ayah. Maklumlah, Aidiladha tak lama lagi. Masing-masing nak buat korbanlah tu,” kata Pak Ramdan sambil menyuapkan nasi ke mulutnya. Berselera sungguh dia makan nasi berlaukkan ikan keli masak lemak cili padi.

“Kau tau apa? Yang kau tau,duduk goyang kaki kat rumah. Kitorang ni yang penat buat kerja tau!” tempelak Marzuki, abang tiri Airin.

“Along..jangan nak mula”, kata Pak Ramdan. Masitah, ibu tiri Airin sekadar mendiamkan diri.

Airin tunduk. Selalu benar dia dimarahi oleh Marzuki. Entah apa silapnya. Ada-ada sahaja perkara yang akan mengundang kemarahan abang tirinya itu. Bukan dia tidak mahu membantu di ladang, ayahnya yang tidak membenarkan. Katanya, anak dara elok duduk di rumah. Buat kerja-kerja rumah. Terhindar dari fitnah. Lambat-lambat tangannya menyuapkan nasi ke dalam mulutnya. Seleranya tiba-tiba hilang. Dia merenung kosong pada nasi di dalam pinggannya.

“Airin..” panggil Pak Ramdan perlahan.

Airin tersentak dari lamunannya. Jauh sungguh dia mengelamun. Sedar-sedar, Marzuki dan Masitah sudah tiada. Yang tinggal hanyalah pinggan kotor mereka. Tanpa dia sedari,ada air jernih yang mengalir keluar dari pelupuk matanya.

“Rin rindukan mak..,” kata Airin perlahan. Pinggan nasi ditolak ke tepi.

Pak Ramdan mencelupkan jarinya ke dalam mangkuk berisi air bersih. Dia mengelap mulut dan jarinya dengan kain lalu terus bangun meninggalkan Airin. Sebelum kakinya memanjat anak tangga ke ruang tamu,dia berpaling ke arah Airin yang masih duduk di meja makan. Dia mengeluh.

“Bagi ayah,mak kau dah mati bila kaki dia melangkah keluar meninggalkan rumah ni..,” ujarnya perlahan seakan berbisik.

Airin teresak sendirian. Setiap kali mulutnya menyebut tentang ibu kandungnya, ayahnya akan segera mengelak. Seolah-olah ada satu rahsia besar yang disimpan oleh ayahnya tentang ibunya itu. Rahsia yang harus disembunyikan darinya.

Dia tidak pernah mengenali atau mengetahui siapa ibu kandungnya. Sejak kecil, dia tinggal bersama ayahnya. Ketika usianya 11 tahun, ayahnya menikah dengan seorang wanita muda bernama Masitah. Itulah ibunya sekarang. Semasa berkahwin dengan ayahnya, wanita itu berusia 24 tahun. Dia mempunyai seorang anak lelaki bernama Marzuki yang pada waktu itu berusia 13 tahun. Kini, usia Airin sudah menjangkau 20 tahun. Dia membesar sebagai anak gadis yang sempurna dari segi akhlak dan agamanya hasil daripada didikan ayahnya.

Airin tersedar daripada lamunannya apabila seseorang berdehem di belakangnya. Tanpa menoleh ke belakang, dia segera bangkit dan membawa pinggan kotornya ke sinki. Dia ingin mengemaskan meja makan pula. Apabila dia berpaling ke belakang, kelihatan seorang gadis manis sedang tersengih-sengih memandangnya.

“Ti! Kau rupanya. Mati-mati aku ingat mak aku yang berdehem tadi. Buat terkejut aku je. Macam mana kau boleh masuk ni, heh?” kata Airin sambil jarinya mencubit lengan sahabatnya, Hayati.

“Sakitlah, makcik! Hmm..perempuan macam tu kau panggil mak? Kalau aku lah,hish..tak kuasa! Kau ni pun satu, berangan sampai tak ingat dunia! Kalau tadi aku duduk sebelah kau, aku dah siap makan pun kau tak sedar agaknya,” kata Hayati sambil menggosok-gosok lengannya yang dicubit halus oleh Airin.

“Banyaklah kau punya berangan. Aku banyak lagi kerja lain nak buat selain daripada berangan tau. Kalau kau lainlah, orang dah ada pakwelah katakan..” kata Airin sambil tangannya ligat mengemaskan meja makan.

“ Jangan nak buat cerita, aku tak ada pakwe tau. I masih anak dara u! Hihi..sebenarnya aku datang ni nak ajak kau temankan aku ke pekan petang ni. Aku nak beli tudung laa. Boleh, ye?” tanya Hayati sambil membantu Airin mengemas.

Airin diam.

“ Bolehlah, Rin. Mak aku kata, dia bagi aku pergi kalau kau ikut sama. Please..,” rayu Hayati.

“ Emm..aku tak taulah. Aku tak berani nak mintak kat ayah aku. Dia mesti tak bagi punya. Kau pun tau kan ayah aku memang tak suka aku keluar ke pekan tu,” kata Airin menerangkan situasinya.

“ Alah, kita bukan nak pergi buat jahat. Takkan pergi beli barang pun tak boleh?” rungut Hayati.

“ Aku..”

“ Macam nilah, biar aku je yang mintak izin untuk kau dari bapak kau. Okey?” usul Hayati apabila melihat Airin yang serba salah. Kasihan juga dia melihat temannya itu.

Tiba-tiba Airin ketawa mengekek.

“ Kih..kih..berani ke??”

“ Hei, tengok kakilah!” kata Hayati sambil mengangkat kain menunjukkan kakinya.

“ Tak senonoh betul makcik ni! Aku dah tengoklah. Wah, berkudis! Menakutkan! Hahaha..,”
Airin tergelak besar.

“ Kuang hajau ye..”

Kedua orang gadis itu ketawa tanpa menyedari ada sepasang mata yang memerhati mereka dengan pandangan jengkel.

“ Hei, ni apa anak dara terpekik terlolong kat dapur ni?!” sergah Masitah.

Terkejut Airin dan Hayati apabila disergah secara tiba-tiba. Hayati terlompat dan terlanggar sebiji pinggan yang terletak dia atas meja.

Pranggg!!!

“ Ya ampun!!! Kau tengok apa kau dah buat?! Kau ingat pinggan tu murah ke, hah?! Kurang ajar betul! Datang rumah aku nak menjahanamkan harta benda aku je!!!” bebel Masitah sambil kakinya pantas menuruni tangga.

“ Ampun, makcik. Saya betul-betul tak sengaja,” kata Hayati lalu segera tunduk mengutip serpihan kaca pinggan di lantai.

“ Memanglah kau tak sengaja. Kalau sengaja, aku patah-patahkan tangan kau tu!” kata Masitah. Tangannya menolak-nolak kepala Hayati.

Hayati hilang sabar. Pantang datuk nenek kalau orang memain-mainkan kepalanya.

“ Eh, makcik. Kepala-kepala tak main aaa..Apa makcik ingat makcik tu bagus sangat ke nak tolak-tolak kepala saya?! Eleh, setakat pinggan ni sebijik saya tak heranlah! Makcik nak berapa?! Saya bagi free je!” Tempelak Hayati. Matanya tajam merenung wajah Masitah. Dia sememangnya tidak pernah menyukai Masitah. Lebih-lebih lagi apabila dia tau Masitah tidak pernah menganggap Airin sebagai anaknya. Semakin benci dia pada wanita itu.

Airin ternganga. Dia tidak menyangka Hayati seberani itu.

“ Budak ni..,” Masitah mengetap bibir. Geram.

Airin segera menghampiri Masitah. Dia khuatir kalau-kalau wanita itu akan menyakiti Hayati.

“ Makcik, sudahlah. Yati tak sengaja tu,” kata Airin lembut. Dia cuba memujuk Masitah yang kelihatan tidak dapat mengawal kemarahannya. Hayati pula tidak menunjukkan reaksi apa-apa.

“ Kau ke tepi, Rin! Biar aku lempang budak ni. Mulut kurang ajar!” Masitah sudah mula mengangkat tangannya apabila tiba-tiba kedengaran satu suara.

“ Itah, oo..Itah,” panggil Pak Ramdan.

Masitah terhenti apabila mendengar namanya dipanggil oleh suaminya. Tangannya dijatuhkan lalu dia segera melangkah pergi. Sebelum melangkah naik, dia menoleh ke arah Airin dan Hayati.

“ Nasib kau baik hari ni. Aku tak nak tengok lagi muka kau ada kat rumah aku, faham?!” kata Masitah lalu terus meninggalkan mereka.

“ Wekk!!!” Hayati menjelirkan lidah. Dia tersengih ke arah Airin yang bulat mata melihatnya.

“ Hish, kau ni. Nasib baik tak kena lempang tau! Berani betul kau cakap macam tu kat mak aku tu. Kalau akulah,ish..tak berani!” kata Airin.

“ Nak takut apa?? Dia manusia jugak. Kalau dia lempang aku, aku lempang dia balik! Hahaha..,” kata Hayati sambil tergelak besar.

“ Sudahlah kau. Cepat! Tolong aku kemas ni,” kata Airin. Dia kembali mengutip serpihan kaca pinggan tadi.

Hayati merenung kosong wajah polos Airin.

“ Kau panggil dia makcik??” soal Hayati perlahan. Bimbang pula kalau Airin terasa hati.

Airin diam. Sebolehnya dia tidak mahu menjawab soalan temannya itu tetapi melihat wajah Hayati yang setia menanti jawapannya, dia akhirnya membuka mulut.

“ Makcik tak suka aku panggil dia mak. Aku cuma boleh gunakan panggilan tu kat depan ayah aku dan orang ramai. Lebih dari tu, aku kena panggil dia makcik,” kata Airin.

“ Makcik memang tak pernah anggap aku anak dia walaupun dah bertahun-tahun kami duduk sebumbung. Aku pun tak tau kenapa,” sambung Airin lagi. Suaranya mula sebak.

“ Ok, tutup cerita sedih. Hihi..jadi ye, Rin? Temankan aku.. Biar aku je cakap kat ayah kau nanti,ye?,” kata Hayati lagi.

Airin tersenyum. Dia tahu Hayati paling tidak suka melihatnya menangis.

“ Hmm..yelah, yelah.. Pandai-pandailah kau bodek bapak aku tu. Kalau kena marah, aku tak tau..”

Hayati tersengih. Dia tahu bagaimana caranya untuk memujuk Pak Ramdan agar membenarkan Airin menemaninya ke pekan nanti.

* * * * *
Matahari pada waktu petang seakan malu untuk memancarkan sinarnya. Kehangatannya terasa tetapi damai dan menenangkan. Angin lembut yang menampar wajah mampu membuai perasaan sesiapa sahaja. Aroma rumput yang baru dipotong memberikan suasana yang nostalgia. Seakan-akan berada di tengah padang rumput sambil menikmati keindahan panorama ciptaanNya. Airin dan Hayati mangayuh basikal perlahan-lahan. Mereka juga seakan-akan terpesona dengan suasana aman di desa itu. Masing-masing mendiamkan diri. Enggan merosakkan suasana yang meyenangkan itu.

Suasana di Pekan Jebor itu hingar-bingar. Suara para pembeli yang cuba tawar-menawar saling bertingkah dengan suara para penjual yang ligat mempromosikan barang dagangan masing-masing. Ada pembeli yang bertelingkah kerana berebut barang yang sama. Ada juga anak kecil yang berteriak di sisi ibunya meminta dibelikan permainan. Kelihatan juga kelibat orang-orang miskin yang cuba meraih simpati manusia untuk mencari sesuap nasi bagi mengisi perut mereka yang kelaparan.

“ Ti, kau cakap apa kat ayah aku sampai dia bagi aku ikut kau ni?” tanya Airin. Dia sedang membelek selendang-selendang fesyen baru yang mula dijual di kedai itu.

Hmm..siapalah yang pandai-pandai cipta fesyen tudung pelik-pelik ni?? Berbelit sana, berpusing sini. Tudung Sitilah, Tudung Ekinlah, Tudung Airin tak ada pulak! Kalau tutup aurat tak apa jugak. Ini tidak, pakai tudung tapi nampak dada. Hei, manusia..manusia..

“ Ti, kau dengar tak aku tanya ni??”

“ Dengar..Rin, kau rasa mana yang sesuai untuk baju aku tu? Yang warna biru ni ke atau biru ni??” tanya Hayati sambil menyuakan 2 helai tudung bawal bidang 60 kepada Airin.

Airin mencapai kedua-dua helai tudung yang dihulurkan oleh Hayati. Dia membelek-beleknya seketika sambil mindanya membayangkan jika tudung-tudung tersebut dipakai dengan baju kurung biru kepunyaan Hayati.

“ Aku rasa, yang ni lagi sesuai kot sebab baju kurung kau tu bercorak bunga penuh. So, tudungnya kenalah kosong. Kalau tak nanti nampak serabut. Tapi, terpulanglah pada kau. Aku cuma bagi pendapat,” kata Airin lalu mengembalikan tudung-tudung tersebut kepada Hayati.
Hayati tersenyum.

“ Ok, aku ambil yang ni. Kak, saya ambil yang ni,” kata Hayati sambil menyerahkan tudung pilihannya kepada seorang gadis Indonesia yang menjadi jurujual di situ.

“ Baik, non. Sebentar, ya?” kata gadis Indonesia itu lalu menghilangkan diri di celahan orang ramai di kedai itu.

“ Kau tak jawab lagi soalan aku,” kata Airin kembali. Dia masih hairan bagaimana bapanya dengan mudah membenarkan dia menemani Hayati ke pekan. Sedangkan sebelum ini, bapanya itu sangat sukar untuk membenarkannya keluar dari rumah.

Hayati tersengih.

“ Ni Yatilah. Mana ada mana-mana lelaki yang tak cair dengan pujukan Yati. Kih, kih..” Hayati ketawa mengekek.

“ Banyaklah kau punya cair”

“ Hihi..aku cakap yang betullah. Aku kata, mak aku cuma bagi aku keluar dengan kau. Lepas tu, aku bodeklah sikit-sikit. Aku kata, kesian kat kau asyik terperap dalam rumah je..ish, ish, ish..,” kata Hayati sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“ Pandai kau bodek, ye?” kata Airin sambil tersengih. Dia juga sebenarnya lega kerana dapat keluar. Bosan asyik terperap di dalam rumah.

“ Non, ini kainnya. RM15, non. Bayarnya pada saya aja. Soalnya, kaunter di depan itu lagi sesak. Banyak orang, non,” kata gadis Indonesia itu sambil menghulurkan sehelai beg plastik berisi tudung yang dipilih oleh Hayati tadi.

“ Kalau macam tu, ni. Cukup RM15”

“ Makasih ya, non. Kapan-kapan nanti ke sini lagi, ya?”

Airin dan Hayati menghadiahkan senyuman kepada gadis Indonesia yang peramah itu. Mereka menghala keluar dari kedai kain itu menuju ke tempat mereka meletakkan basikal.

“ Rin, jom pekena cendol,” usul Hayati.

“ Jomlah, aku pun dah lama tak makan cendol,” kata Airin bersetuju.

Kedua orang gadis itu melangkah ke arah sebuah gerai minuman di tepi jalan. Kebanyakan pelanggan di situ adalah anak-anak muda. Terdapat sekumpulan jejaka yang berpakaian seperti mamat motor. Berjaket hitam dengan rokok di tangan masing-masing. Mereka berborak tanpa mempedulikan pelanggan-pelanggan lain. Suara dan ketawa mereka menyakitkan sesiapa yang mendengar. Airin dan Hayati mengambil tempat duduk yang agak jauh dari mereka.

“ Kak, minum apa kak?” seorang budak lelaki datang menghampiri kedua orang gadis itu sambil tersenyum. Di tangannya terdapat sehelai kertas dan sebatang pen untuk menulis menu yang dipesan para pelanggan.

“ Emm..bagi cendol pulut 2. Yang satu tu, tak payah letak kacang, ye?” kata Hayati.

“ Cendol pulut 2, 1 tak payah kacang. Ok, 5 minit,” kata budak itu lalu pergi meninggalkan mereka.

“ Pandai kau. Tau-tau je aku tak nak kacang”.

Hayati cuma tersenyum. Matanya tajam merenung anak-anak muda di situ.

“ Mata tu jangan gatal sangat, Ti. Dapat dosa free je kau pandang diorang,” kata Airin memahami gelodak di hati Hayati.

Hayati tersengih.

“ Rin, apa rancangan kau lepas ni?” tanya Hayati.

“ Rancangan?? Hmm..balik rumahlah,” jawab Airin selamba.

“ Aku sekeh minah ni kang. Maksud aku, rancangan lepas kita dah habis belajar ni. Kau nak sambung lagi ke atau nak terperap je dalam rumah tu?? Tunggu putera raja masuk meminang!” kata Hayati.

Airin tersengih. Dia termenung memikirkan kata-kata Hayati. Dia tidak pernah merancang apa-apa sebelum ini.

“ Entahlah, kalau ikutkan hati aku memanglah nak sambung belajar. Tapi, aku tak mampulah, Ti. Mungkin aku cuba cari kerja dulu. Aku nak kumpul duit lepas tu baru sambung belajar. Kalau boleh, aku tak nak susahkan ayah aku lagi dah. Cukuplah 20 tahun ni dia tampung hidup aku. Aku nak berdikari,” kata Airin.

“ Niat kau tu memanglah bagus. Tapi, kerja apa je yang kau boleh buat kat kampung ni?? Berapa sangatlah boleh dapat kalau setakat kerja kampung ni. Rugi masa kau je. Result STPM kau bagus. Kalau mohon universiti, mesti dapat! Kalau kau kerja dulu, aku dah grade nanti kau baru nak masuk belajar. Tak syoklah macam tu. Kita kan dah janji nak cari calon suami kat universiti. Hihi..habis belajar je terus nikah! Kau tak nak ke macam tu, Rin??” kata Hayati.

Airin sekadar tersenyum mendengar angan-angan Hayati. Bukan angan-angan Hayati sahaja tetapi angan-angan dia juga. Angan-angan mereka semasa berada di tingkatan 5. Angan-angan anak remaja yang sedang membesar.

Seorang gadis berpakaian ketat muncul menghantarkan cendol yang dipesan oleh mereka. T-shirt lengan pendek dan skirt paras lutut. Sangat menyakitkan pandangan. Jalannya yang lenggang lenggok menyebabkan ada mata-mata nakal yang mencuri pandang.

Patutlah ramai pelanggan. Ada wayang free..

Airin segera beristighfar apabila mindanya memikirkan perkara yang tidak elok tentang gadis itu . Sebagai seorang muslimah, dia harus sentiasa bersangka baik terhadap orang lain.

“ Berapa?” tanya Hayati.

“Dah ada orang yang bayarkan,” kata gadis itu sambil tersenyum manis.

Airin dan Hayati terkejut. Pelik.

“ Siapa?” tanya Airin.

“ Dia tu,” gadis itu menudingkan jarinya ke arah kumpulan jejaka yang berpakaian seperti mamat motor itu.

Serentak Airin dan Hayati menoleh ke arah yang ditunjukkan oleh gadis itu. Pemuda-pemuda itu melambaikan tangan ke arah mereka. Salah seorang daripada pemuda-pemuda itu memandang mereka dengan tajam sambil menghisap rokok. Pantas Airin dan Hayati melarikan pandangan mereka.

“ Tak apa, kak. Kami boleh bayar sendiri. Akak bagi duit ni pada diorang dan tolong bungkus cendol kami, ye?” kata Airin. Wajahnya sudah mula kemerah-merahan. Geram kerana diperlakukan seperti gadis murahan.

“ Rin, kau ok ke?” tanya Hayati.

Airin sekadar mendiamkan diri. Apabila gadis tadi kembali membawa cendol yang telah dibungkus, dia segera mengambilnya dan menarik tangan Hayati untuk segera berlalu dari situ. Dia benar-benar tidak suka dengan situasi yang sedang dihadapinya itu. Baru kini dia mengerti mengapa ayahnya agak sukar untuk membenarkannya keluar dari rumah.

Airin dan Hayati menghentikan langkah mereka apabila melihat kumpulan anak-anak muda tadi sedang berkumpul di tempat mereka meletakkan basikal. Semuanya sedang memandang mereka sambil ketawa sinis. Seronok dapat mempermainkan gadis-gadis itu.

Rizal memandang kedua orang gadis itu dengan tajam. Dialah yang sengaja membayar cendol yang dibeli oleh Airin dan Hayati. Dia sengaja melakukannya untuk melihat reaksi mereka. Dia seronok mempermainkan gadis-gadis yang sopan seperti mereka. Dia dan kawan-kawannya memang gemar mengusik anak-anak gadis. Apa lagi gadis-gadis bertudung labuh. Seronok melihat wajah mereka yang katakutan. Tetapi, kedua orang gadis di hadapannya ini tidak menunjukkan sebarang reaksi. Sekadar berdiri dan merenung tajam ke arahnya. Dia tersenyum lalu menghampiri mereka.

“ Hai, nona manis. Relakslah kejap, kita borak-borak dulu ke. Minum-minum. Emm..ingat aku lagi, Airin Farhana?” kata Rizal sambil tersenyum sinis.

Hayati tersentak. Airin pula sekadar mendiamkan diri. Dia menoleh ke arah lain, enggan memandang wajah Rizal.

“ Kau nak apa?” tanya Airin kasar.

Rizal tergelak besar. Airin Farhana. Gadis pujaannya semasa dia bersekolah dahulu dan sehingga kini dia masih menyimpan hasrat untuk memiliki gadis itu. Hampir 3 tahun dia tidak menemuinya lagi dan hari ini gadis itu sedang berdiri di hadapannya.

“ Airin, Airin..kau masih tak berubah rupanya. Masih lagi dengan tudung besar kau ni. Tak panas ke, hah? Kau tak perlulah nak berlagak baik depan orang ramai. Aku tau siapa kau sebenarnya,” sindir Rizal.

Bayangan peristiwa pahit 3 tahun lalu kembali menerjah ke dalam fikiran Airin. Satu persatu babak di dalam peristiwa itu dimainkan di dalam mindanya. Seolah-olah sebuah filem sedang ditayangkan yang menyaksikan dirinya dan Rizal sebagai watak utama.

“ Abang, mengucap bang. Jangan buat Airin macam ni. Tolonglah, abang..mengucap!” teriak Airin.

Baju sekolah yang dipakainya sudak koyak-rabak. Tudung di kepalanya entah ke mana. Dia teresak-esak di penjuru dinding. Maruahnya kini seakan-akan telur di hujung tanduk. Suasana di dalam stor yang gelap itu menambahkan ketakutan dalam dirinya. Dia hanya mampu berserah kepada Allah. Di saat-saat genting seperti ini, tiada perkara lain yang difikirkan selain daripada Allah dan orang-orang yang disayanginya terutama ayahnya. Di hadapannya Rizal sedang berdiri sambil merenung tubuhnya yang terdedah. Pemuda itu kelihatan seperti harimau yang akan membahamnya pada bila-bila masa. Dia tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan untuk menyedarkan Rizal. Seniornya itu yang selama ini begitu akrab dengannya tiba-tiba berubah daripada seorang yang lelaki yang lembut kepada seorang lelaki yang rakus dan kejam.

Rizal memandang Airin dengan tajam. Akhirnya, dia berjaya memperdaya Airin pada hari ini. Dia sengaja meminta bantuan Airin selepas tamat kelas tambahan untuk pelajar SPM dan STPM pada petang itu. Dia meminta Airin untuk membantunya membawa buku-buku lama ke dalam stor sekolah. Di sana, dia mengunci pintu stor secara diam-diam. Pada mulanya, dia tidak berhasrat untuk berkasar kerana dia menyayangi gadis itu tetapi apabila Airin menolak kemahuannya, dia mula bertindak ganas. Apa pun yang terjadi, dia akan menjadikan Airin miliknya hari ini.

Rizal menghampiri Airin perlahan-lahan. Pandangannya tertumpu pada leher Airin. Nafsunya berkocak. Airin ketakutan. Dia menjerit apabila tangan Rizal memegang bahunya. Tetapi, dia tahu mustahil ada sesiapa yang akan mendengarnya. Pada waktu seperti ini, sekolah sudah sunyi dari kelibat manusia.

Airin tersentak dari lamunannya apabila terasa bahunya disentuh seseorang. Kelihatan Hayati yang sedang memandangnya dengan pandangan yang aneh. Matanya menunjukkan bahawa dia tidak memahami situasi yang sedang berlaku. Rizal masih berdiri di hadapannya sambil menghembuskan asap rokok ke wajahnya. Dia berdehem. Sesak nafas.

“ Jom, kat rumah aku. Aku bayar,” kata Rizal. Selamba.

Airin diam. Terasa darahnya menyerbu naik ke wajahnya. Tangannya menggeletar. Dadanya terasa sesak mendengar kata-kata Rizal. Peluh memercik di dahinya. Terasa maruahnya berada di bawah tapak kaki lelaki itu. Matanya mencerlang memandang Rizal yang sedang menantikan jawapan darinya.

“ Orang macam kau tak layak untuk aku! Orang macam kau cuma sesuai dengan pelacur! Kalau nak yang free, kau kutip je kat tepi jalan tu. Berlambak!” kata Airin sambil tersenyum sinis. Dia tidak peduli lagi. Kata-kata kesat yang keluar dari bibirnya menggambarkan dendam yang tersimpan di hatinya. Dia tidak pernah berkasar tetapi dengan lelaki yang satu ini, dia seolah-olah kehilangan sifat kelembutannya.

Rizal tersentak. Dia menelan air liur. Dia tidak menyangka bahawa Airin akan membalasnya dengan kata-kata seperti itu.

“ Eei, betina! Kau..”

Panngg!!!

“ Apa betina-betina?! Aku perempuan tau tak?! Kau nak apa lagi, hah?! Tak cukup lagi ke apa yang kau dah buat kat aku?! Apa dosa aku pada kau, hah?! Setan!!! teriak Airin. Sebiji penampar diberikan istimewa dari Airin buat seorang lelaki bertopengkan syaitan seperti Rizal. Dia menyinga. Pandangan orang ramai sudah tidak dipedulikan. Dia tidak mampu mengawal perasaannya lagi. Hayati yang berada di sisinya sendiri berasa terkejut dengan perubahan yang ditunjukkan olehnya.

Rizal terkaku di situ. Dia malu. Dia malu kerana ramai orang yang sedang memerhatikan mereka. Dia anak ketua kampung di situ. Pasti hal ini akan segera sampai ke pengetahuan ayahnya.

Habislah aku. Perempuan ni memang tak guna!

Rizal memberi isyarat kepada rakan-rakannya agar mereka segera beredar dari situ.
Kau akan terima balasannya Airin Farhana! Perempuan sial!

Rizal menyumpah di dalam hatinya lalu segera memecut laju meninggalkan kawasan itu. Bunyi deruman motosikal mereka benar-benar melegakan Airin dan Hayati. Airin benar-benar bersyukur kerana Rizal tidak melakukan apa-apa terhadapnya. Dia sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh senekad itu menampar dan menuturkan kata-kata kesat terhadap Rizal. Dia segera beristighfar. Dia tahu dirinya dikuasai syaitan kerana dendam yang masih ada di dalam hatinya. Dan dendam yang sudah menjadi parut itu seakan-akan berdarah semula apabila melihat Rizal pada hari ini. Dia tunduk. Ada air jernih yang mengalir di pipinya.

“ Rin..” panggil Hayati. Lembut.

“ Jom balik,” kata Airin sambil terus melangkah ke arah basikal mereka. Hayati segera membuntutinya. Gadis itu masih lagi tidak mengerti apa sebenarnya yang sedang berlaku tadi.
Awan mendung tiba-tiba berarak datang seolah-olah turut sama merasai kedukaan di hati Airin. Angin yang tadinya lembut kini bertiup kencang. Padi meliuk lentok ditiup angin. Daun-daun kering beterbangan. Ayam dan itik berlari pulang ke reban. Kambing dan lembu berjalan pulang ke kandang. Kayuhan dicepatkan. Guruh sudah mula bernyanyi di langit. Awan yang sedari tadi menakung air, akhirnya mengairi tanah di atas muka bumi. Hujan turun sebaik sahaja 2 orang gadis itu masuk ke kawasan kampung. Hujan yang turun itu datang bersama air mata seorang wanita.

* * * * *
“ Macam tu. Tu sebabnya yang kau tak datang sekolah seminggu masa tu? Kenapa kau tak ceritakan perkara ni pada aku dulu? Kenapa baru sekarang? Dan kenapa kau tak laporkan perkara ni pada pihak polis?” tanya Hayati selepas mengetahui cerita sebenar dari mulut Airin.
Airin sekadar mendiamkan diri. Dia duduk di hadapan cermin sambil mengesat-ngesat rambutnya yang basah. Mereka basah kuyup apabila sampai di rumah Hayati. Hayati memintanya agar berteduh dan membersihkan diri di rumahnya kerana hujan masih lebat pada waktu itu. Dia sudah menghubungi ayahnya kerana dia mungkin akan bermalam di rumah Hayati jika hujan masih belum reda.

“ Kau nak aku laporkan pada polis dan biarkan satu kampung ni tau pasal tu?? Aku malu, Ti..aku malu!” kata Airin. Dia teresak-esak.

Hayati serba-salah. Dia segera menghampiri Airin dan menggosok-gosok bahunya.

“ Dahlah tu. Hmm..pakai tudung tu. Mak aku ajak makan,” kata Hayati sambil menghulurkan sehelai tudungnya pada Airin.

“ Kena pakai tudung ke? Ada siapa?” Airin berasa aneh. Setahunya, Airin tidak mempunyai saudara lelaki.

“ Sepupu aku. Dia dengan kakak dia dah balik,” kata Hayati sambil membuka pintu.

“ Jom.”

* * * * *
“ Rin, pergilah berehat. Biar makcik je yang basuh,” kata Mak Milah, ibu Hayati.
Airin tersenyum.

“ Biarlah dia, Mak Su. Orang perempuan memang kena belajar buat kerja kat dapur. Kan..siapa ek nama awak tadi? Rin..Airin kan??” kata Hafizul sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Hafizul dan kakaknya Haryani merupakan sepupu kepada Hayati. Mereka berdua adalah kembar dan merupakan anak kepada Pak Long dan Mak Longnya tetapi mereka berdua telah meninggal dunia 3 tahun yang lalu dalam kemalangan jalan raya. Kini, Hafizul dan Haryani menetap bersama mereka setelah menghabiskan pelajaran mereka di UPSI.

“ Dah, Abang Zul jangan nak menggatal kat sini. Pergi duduk depan. Sibuk je,” kata Hayati sambil bercekak pinggang.

“ Eleh, Yati jeles! Hahaha..” kata Hafizul sambil ketawa besar.

“ Eee..tak kuasa! Pergi main jauh-jauhlah!”

Hafizul meninggalkan mereka dengan sisa-sisa ketawanya yang masih kedengaran. Mak Milah turut membuntutinya sambil menggeleng-gelengkan kepalanya melihat tingkah laku nakal anak saudaranya itu. Hayati menghampiri Airin yang masih membasuh pinggan di sinki. Dia menuangkan air ke dalam cawan dan minum sambil bersandar di sebelah Airin.

“ Rin, kau masih fikirkan hal tadi ke??” tanya Hayati.

Airin mengeluh. Fikirannya tidak tenteram. Dia masih membayangkan peristiwa yang berlaku di pekan petang tadi.

“ Tak adalah. Aku dah malas nak fikir pasal tu. Buang masa je,” kata Airin berdalih.

Hayati merenung wajah sahabatnya itu. Airin gadis yang baik. Dia seorang yang lemah lembut dan menghormati orang lain. Peristiwa itu tadi bukan gambaran sebenar dirinya. Itu adalah cetusan dari rasa dendam yang tersimpan bertahun lama di dalam hatinya. Dia tahu Airin masih belum melupakan peristiwa itu tetapi dia juga tidak mahu bertanya lagi. Tidak mahu mengusutkan lagi fikiran Airin.

“ Rin, apa pendapat kau tentang Abang Zul?” soal Hayati tiba-tiba.

“ Heh??” berkerut wajah Airin mendengar soalan Hayati. Pelik.

“ Tak adalah, aku tengok Abang Zul tu macam berkenan je kat kau. Dari tadi asyik mengusik kau je. Kau tak berkenan ke??” soal Hayati lagi. Keningnya dimain-mainkan.

“ Ooii, makcik! Baru kenal tadi kau dah tanya berkenan ke tak. Mengarutlah!” kata Airin sambil meneruskan kerjanya.

“ Manalah tau, cinta pandang pertama. Hei, apa main renjis-renjis ni?!” Hayati terjerit apabila Airin merenjiskan air sabun di tangannya.

“ Padan muka!” ejek Airin.

“ Ooo..main kotor, ye? Ambik ni!” kata Hayati sambil merenjiskan air di dalam cawannya pula.
Dua orang gadis itu ketawa mengekek sambil masing-masing merenjiskan air. Riuh serumah dengan ketawa mereka berdua.

“ Ya Allah, budak berdua ni. Akak ingatkan pontianak manalah mengilai malam-malam ni. Apa main renjis-renjis air pulak ni??” bebel Haryani.

Airin dan Hayati tersengih. Malu.

“ Airin, ada budak lelaki datang cari awak tu. Dia tunggu dekat depan rumah. Macam ada hal penting je akak tengok. Pergilah. Biar akak je habiskan basuh pinggan-pinggan ni,” kata Haryani sambil tersenyum memandang Airin.

“ Entah-entah Marzuki tak? Ayah kau suruh balik agaknya,” kata Hayati. Dia turut mengekori Airin yang sudah melangkah pergi.

Apabila Airin menjengukkan kepalanya di muka pintu, kelihatan Hafizul sedang berborak dengan seorang budak lelaki. Mak Limah menghulurkan sehelai kain tuala padanya. Dia basah kuyup.

“ Eh, Mirul. Ada apa cari akak kat sini malam-malam ni? Ayah akak suruh balik ke??” soal Airin.
“ Pak Ramdan, kak. Dia kena hempap pokok tumbang masa balik dari surau. Dia kat hospital sekarang ni,” kata Amirul tercungap-cungap.

“ Ya Allah. Ayah!!!”

Airin terjelepuk jatuh ke lantai.

* * * * *
Manusia mudah alpa dan leka. Terlalu asyik dengan kehidupan dunia sehingga lupa pada Maha Pencipta. Di waktu senang, manusia tidak pernah bersyukur padaNya tetapi di waktu susah, manusia akan mencariNya. Mengadu, merayu dan menangis tanpa rasa malu dan sedar atas kealpaan diri selama ini. Itulah manusia. Makhluk Allah yang tidak pernah sedar bahawa setiap saat dalam kehidupan mereka itu dilimpahi dengan rahmatNya.

Suasana pada malam itu sepi dan sunyi. Unggas yang sering menyanyi pada waktu malam juga turut menyepikan diri. Angin bertiup perlahan. Dahan pokok meliuk-lentok ditiup bayu melahirkan irama sayu. Kedinginan malam sangat mencengkam dan meremangkan bulu roma. Di keheningan malam itu, kedengaran suara halus seorang gadis yang sedang membaca Yassin. Suaranya tersekat-sekat diselang-seli dengan esak tangisnya. Dia sedang duduk di sisi sekujur tubuh yang terbaring kaku di atas katil.

Ya Allah, selamatkanlah ayahku..

* * * * *

Suasana di tanah perkuburan itu sunyi sepi. Tanah basah dan lecak menandakan hujan turun malam semalam. Awan berarak perlahan. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Daun-daun kering berguguran. Bayu petang seakan membawa khabar bahawa hari ini tanah perkuburan itu menerima seorang lagi tetamu. Suasana sayu seakan memahami gelodak jiwa setiap insan yang berkunjung. Wangian daripada bunga kemboja menambahkan syahdu di hati seorang gadis yang sedari tadi berada di situ.

Airin berteleku sambil menadah tangannya. Dia membaca Al-Fatihah buat arwah ayahnya. Dia teresak sendirian. Suaranya serak. Dia benar-benar tidak menyangka ayahnya telah pergi meninggalkannya. Dia tidak menyangka dirinya kini bergelar anak yatim. Matanya bengkak. Semalaman dia tidak tidur dengan harapan ayahnya akan sedar daripada koma dan gembira melihat dirinya. Tetapi, ternyata Allah lebih menyayangi ayahnya. Butiran jernih yang keluar dari matanya seakan tidak mahu berhenti. Jiwanya kosong seolah-olah turut sama dibawa pergi oleh jasad ayahnya yang telah bersemadi di dalam tanah. Hilang sudah tempat untuknya bermanja. Hilang sudah tempat untuknya mengadu. Hilang sudah tempat untuknya bermesra. Dirinya juga turut hilang arah. Tidak tahu apa yang harus dilakukan tanpa ayahnya di sisi.

“ Rin, sudahlah tu. Aku faham perasaan kau. Tak elok menangis dekat kubur macam ni. Tak tenteram ayah kau nanti. Dia mesti tak nak tengok kau bersedih macam ni. Redhalah, Rin. Allah lebih sayangkan ayah kau. Berdoalah, semoga dia ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” kata Hayati. Dia menggosok-gosok bahu Airin dengan lembut. Dia cuba untuk memahami kesedihan sahabatnya itu.

Masitah dan Marzuki telah lama pulang ke rumah. Kedua-dua orang saudara tirinya itu turut bersedih atas pemergian ketua keluarga mereka. Dia apatah lagi. Itu ayah kandungnya. Ayah yang turut menjadi ibu buatnya selama 20 tahun. Belum puas rasanya dia hidup bersama ayahnya. Kini, dia sudah sebatang kara. Di saat-saat seperti ini, keinginannya untuk berjumpa ibunya semakin kuat. Sekurang-kurangnya dia tidak akan berasa keseorangan di dunia ini. Namun, dia segera sedar. Dia tidak pernah berseorangan. Allah sentiasa ada bersamanya. Pasti ada hikmah disebalik setiap ketentuanNya.

“ Rin, kamu janji dengan ayah. Cari mak kamu, nak. Beritahu pada mak kamu bahawa ayah sayangkan dia dan dah pun maafkan dia. Janji pada ayah.”

Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinganya. Itu wasiat ayahnya sebelum dia menghembuskan nafas yang terakhir. Itu janjinya pada ayahnya. Janji yang dia tidak pasti adakah dia mampu untuk menunaikannya.

Airin menyiram air mawar yang masih berbaki di dalam jag. Semerbak haruman bunga itu menyesakkan dada.

Airin mengesat air matanya. Dia menadah tangan dan berdoa sekali lagi agar roh ayahnya ditempatkan di sisi hambaNya yang soleh. Dia bangkit dari duduknya dan tersenyum pada Hayati yang sedang merenungnya.

“ Jom balik.”

4 comments:

vitalite91 said...

salam.nak bace sambungan nya... :-)

Si Pengemis Iman said...

wassalam..
insyaALLAH,akan myusul..
syukran^_^

Anonymous said...

salam
bile dyer punyer smbgn
knp buat cerpen yg laen tp
cerpen nie x abis lg??
hu3

Si Pengemis Iman said...

sbnrnye ini bukan cerpen..
ini novel dan masih dlm proses..hihi