Monday, November 7, 2011

Mahar Cinta Seutas Tasbih ( bahagian akhir )


Pagi itu, seperti biasa. Bayu dhuha menghembus lembut mengalunkan melodi pagi nan merdu. Dedaunan meliuk-lentok menari mengikut rentak irama sang bayu. Burung-burung riang menyanyi sambil mencari rezeki di bumiNYA. Indahnya alam ciptaan ALLAH bagi mereka yang menghayatinya. Di sebalik keriangan itu, sebuah peristiwa bersejarah sedang berlaku dalam sebuah keluarga sakinah.

“ Aku terima nikahnya Nur Iman Binti Ahmad Zaki dengan mas kahwinnya RM80 dan seutas tasbih, tunai.”

“ Sah?”

“ Sah.”

“ Sah.”

“ Sah.”

“ Alhamdulillah.”

Semua menadah tangan dan mengaminkan doa yang dibaca oleh tok kadi. Nur Iman menitiskan air mata bahagia. Hari ini, dia selamat bergelar isteri kepada pemuda bernama Amir Hazwan.

“ Amin..”

Nur Iman menghampiri Amir yang terbaring di atas katil. Amir menghulurkan tangannya dan disambut oleh Nur Iman. Cincin cinta mereka disarungkan ke jari manisnya. Nur Iman menyalami tangan suaminya dan mengucupnya perlahan. Amir dengan penuh rasa cinta mengucup dahi Nur Iman yang telah sah menjadi isterinya. Suasana di dalam wad itu terasa syahdu. Syahdu tetapi bahagia. Sama ada Amir ataupun Nur Iman, kedua-duanya tidak menyangka bahawa akhirnya mereka akan disatukan dalam sebuah ikatan pernikahan. Walaupun pernikahan mereka tidak seperti pasangan-pasangan lain, mereka bahagia.

Fauzi tersenyum melihat pasangan pengantin baru itu. Dadanya terasa lapang. Beban yang selama ini memberat di bahunya terasa ringan. Dia ikhlas. Dia benar-benar ikhlas untuk membahagiakan sahabatnya itu. Dia lega kerana rancangannya itu menyatukan Amir dan Nur Iman direstuiNYA.

Puan Khadijah menghampiri Nur Iman dan memeluknya. Nur Iman tersedu di dalam pelukan ibunya.

“ Iman, kamu dah jadi isteri orang. Kamu jaga baik-baik suami kamu, taat pada dia..ingat tu?”

“ InsyaALLAH, Iman ingat semua tu.”

Suhaila menitiskan air mata. Zulaikha juga. Mereka turut berkongsi rasa bahagia melihat wajah ceria yang terpamer pada Amir dan Nur Iman. Keadaan Amir semakin tenat dari hari ke hari. Tetapi, hari ini dia kelihatan segar sesuai dengan statusnya sebagai pengantin baru.

“ Hah, Mir! Kau dah jadi suami orang sekarang. Besar tanggungjawab tu. Cepat-cepatlah sihat tau! Anak bini kau ni nak kena bagi makan nanti.”

Razif seperti biasa cuba membawa suasana ceria buat insan-insan di sekelilingnya. Amir hanya mampu tersenyum kelat. Matanya menatap wajah Nur Iman yang telah pun sah menjadi isterinya. Dia rasa bagaikan bermimpi. Mimpi yang sangat indah. Mimpi yang membuatnya tidak ingin bangun lagi.

Namun, semua itu bukan mimpi. Bahkan ia adalah kenyataan yang harus dia terima. Dirinya kini adalah suami kepada Nur Iman, gadis yang selama ini didambakan untuk menjadi sayap perjuangannya.

Sebuah keluhan terlepas dari bibirnya.

‘ YA ALLAH, mampukah aku memikul tanggungjawab ini???’

* * *

“ Cukuplah ni, abang dah kenyang.”

Amir menolak perlahan tangan Nur Iman yang ingin menyuapnya makan. Perutnya terasa sebu. Tidak mampu lagi rasanya untuk diisi walaupun tadi sekadar menerima 2 suapan dari Nur Iman.

Nur Iman menyuakan gelas ke bibir Amir. Amir meminumnya perlahan. Tangan Amir cuba untuk memegang gelas tersebut namun ia hanya sebentar. Segera tangannya terjatuh kehilangan kudrat. Nur Iman mengetap bibir menahan tangis yang ingin menghambur keluar.

“ Sikit sangat abang makan.”

Nur Iman berbicara lembut sambil menyapu sisa-sisa makanan di bibir Amir.

“ Tu je yang abang mampu terima. Nak termuntah dah rasanya.”

“ Emm..Iman pergi basuh bekas sekejap.”

Nur Iman bangkit sambil menatang bekas makanan. Sedaya mungkin dia cuba menyembunyikan kesedihannya. Kolam air mata yang bertakung sedari tadi tidak mampu lagi dibendung.

“ Iman, tunggu sekejap. Abang ada sesuatu nak cakap.”

Nur Iman kembali duduk sambil menundukkan kepalanya.

“ Iman menangis?”

Pantas Iman menggeleng-gelengkan kepalanya.

“ Pandang abang, sayang.”

Perlahan Nur Iman mengangkat kepalanya. Mata mereka bertemu. Suasana sepi. Hanya mata mereka yang berbicara meluahkan perasaan masing-masing.

Amir mengangkat tangannya perlahan. Cuba untuk memegang wajah isteri kesayangannya. Tangis Nur Iman tidak lagi mampu ditahan. Pantas dia mencapai jemari Amir dan mengucupnya penuh kasih. Diletakkan jari Amir di wajahnya.

“ Kenapa menangis ni? Baru sehari menikah, isteri abang ni dah menangis. Suami apalah abang ni yang buat isteri dia menangis masa malam pertama. Maafkan abang ya, sayang?”

Semakin kuat tangisan Nur Iman mendengar kata-kata yang terluah dari bibir Amir.

“ Iman, abang bukanlah suami yang baik. Abang dah tak mampu lagi nak jadi Mujahid yang selalu Iman inginkan. Abang tak mampu, sayang. Apa yang abang boleh bagi untuk Iman adalah sekadar sebuah kasih sayang dan cinta keranaNYA. Abang tak mampu nak tunaikan tanggungjawab abang sebagai seorang suami sepenuhnya. Sanggup ke Iman teruskan hidup dengan insan yang tak sempurna macam abang ni?”

“ Abang..tolong, jangan cakap macam tu.”

Air mata Amir mengalir laju di wajahnya. Ini malam pertama mereka. Dan dia ingin mereka berterus-terang tentang hati dan perasaan mereka selama ini.

“ Sayangku Iman, sayang tak menyesal jadi isteri abang?”

Pantas Nur Iman menggeleng-gelengkan kepalanya. Wajahnya basah dengan air mata.

“ Sayang, abang mungkin tak mampu membahagiakan sayang di dunia ni tapi abang harap abang dapat jadi suami sayang di akhirat nanti. Sudi tak sayang jadi ketua bidadari abang di syurga nanti?”

Nur Iman pantas menganggukkan kepalanya. Amir tersenyum manis. Perlahan jarinya menyapu air mata di wajah Nur Iman.

“ Abang, Iman tak pernah meyesal jadi isteri abang. Inilah anugerah terbaik dari ALLAH yang pernah Iman terima. Iman bahagia sangat, abang!”

“ Terima kasih, sayang. Sayang, abang rasa mengantuk sangat. Abang nak tidur. Nanti kita bangun tahajud sama-sama, ya? Maafkan abang atas segala salah silap abang pada sayang, ya?”

“ Abang tak salah. Maafkan Iman kalau Iman tak jadi isteri yang baik untuk abang.”

Perlahan Amir memegang kepala Nur Iman.

“ Abang halalkan segala perbuatan sayang pada abang sepanjang kita bergelar suami isteri. Abang redha pada sayang.”

“ Terima kasih, abang.”

Nur Iman mengambil tangan Amir di mengambil tangan Amir di kepalanya lalu dia mengucupnya perlahan. Dia membetulkan kedudukan Amir agar dia tidur dalam keadaan yang selesa. Selembut mungkin dia memperlakukan suaminya itu agar tidak menyakitinya. Tangan Amir disilangkan seperti orang sedang membaca al-fatihah dalam solat lalu diselimutkan. Perlahan dia mengucup dahi suaminya.

“ Selamat malam, abang.”

* * *

Jam berbunyi 4 kali menandakan waktu sudah menganjak ke jam 4 pagi. Nur Iman bangkit dari kerusi. Dia menggosok-gosok lehernya yang terasa lenguh kerana tidur dalam keadaan duduk. Dia menghampiri Amir yang masih lena.

“ Abang..bangun. Kita tahajud sama-sama. Abang..”

Nur Iman menggerak-gerakkan tubuh Amir perlahan. Tiada reaksi. Wajah Amir masih lagi tenang dalm perbaringannya.

Nur Iman kaget. Degupan jantungnya mula berubah rentak. Gementar. Fikirannya mula membayangkan sesuatu telah pun terjadi kepada suaminya itu. Takut-takut dia menyentuh dahi Amir. Sejuk.

“ Abang…”

Jari telunjuknya didekatkan pada hidung Amir. Terketar-ketar tubuhnya saat mendapati tiada lagi hembusan nafas yang keluar dari hidung Amir. Tubuhnya terasa lembik. Pantas dia berpaut pada birai katil.

“ ALLAH..ALLAH..ALLAH..abang,innalillahiwainnailaihiraji’un..”

* * *

Nur Iman berteleku di sisi kubur suaminya. Wajahnya tenang. Tiada lagi air mata yang menjadi teman. Dia redha dengan pemergian Amir. Walaupun hanya sehari mereka bergelar suami isteri, itu sudah cukup menjadi kenangan yang tersemat di hatinya buat selamanya.

Dia bersyukur urusan pengebumian suaminya berjalan dengan lancar. Sebelum Zohor, segalanya telah pun selesai.

Arwah Amir dikebumikan di taman perkuburan berhampiran rumah kedua orang tuanya. Kakinya terasa lenguh kerana terlalu lama duduk berteleku di sisi kubur arwah suaminya itu. Kitab surah Yassin di tangannya dikucup perlahan. Dia bangkit dari duduknya lalu berjalan menghampiri keretanya yang diparkir di luar kawasan tanah perkuburan.

Istikharah cinta memanggilku..

Telefon bimbit yang berbunyi di dalam tas tangannya segera dicapai.

“ Assalamu’alaikum. Ya, umi? Dah ada? Alhamdulillah. Ok, ok..Iman pergi sekarang.”

Langkah kakinya semakin laju menghampiri kereta.

“ YA ALLAH..terima kasih.”

* * *

“ Alhamdulillah, pembedahan sangat berjaya. Jannah berada dalam keadaan stabil sekarang. Kami akan pindahkan dia ke wad biasa sekejap lagi.”

Serentak ucapan syukur terbit dari bibir insan-insan yang selama ini mengharapkan kesembuhan Nur Jannah. Spontan Encik Zaki melakukan sujud syukur setelah mendengar khabar gembira tersebut. Nur Iman pantas memeluk Puan Khadijah. Tangisan air mata gembira bersahut-sahutan. Zulaikha dan Suhaila turut berpelukan. Fauzi dan Razif yang turut berada di situ juga gagal menahan tangis gembira mereka. Semuanya bersyukur dengan kurniaanNYA Yang Maha Pengasih.

* * *

“ Iman, boleh saya bercakap dengan awak sekejap?”

Doktor Hafiz memanggil Nur Iman yang baru sahaja selesai menyiapkan Jannah untuk solat zohor. Dia menganggukkan kepalanya perlahan.

“ Kita bercakap di luar.”

Doktor Hafiz melangkah keluar didikuti oleh Nur Iman. Dia menutup pintu wad perlahan, tidak ingin menganggu Jannah yang sedang mendirikan solat zohor.

“ Ya, ada apa-apa yang saya boleh tolong?”

“ Ehem, saya Hafiz..doktor yang selama ni merawat arwah Amir. Sebelum meninggal, Amir menitipkan amanah untuk saya dan alhamdulillah amanah itu telah pun sempurna saya laksananakan. Dan dia juga turut mengamanahkan saya untuk menyerahkan surat ini pada puan.”

Doktor Hafiz menyerahkan sepucuk surat bersampul merah jambu kepada Nur Iman. Nur Iman menyambutnya perlahan. Terketar-ketar tangannya saat membuka surat tersebut. Doktor Hafiz melangkah perlahan meninggalkannya sendirian.

Assalamu’alaikum

Buat isteriku tersayang, hiasan terindah di dunia..

Sayang apa khabar? Saat surat ini sayang terima, itu bererti abang sudah pun pergi menghadap Yang Maha Esa. Sayang rindukan abang tak? Abang tunggu sayang di syurga, ya? Haa..tu kenapa mata dah merah tu? Jangan menangis, abang tak suka.

Pantas Nur Iman menyeka air matanya. Dia menyambung semula pembacaannya.

Sayang, tanpa pengetahuan sesiapa selain Doktor Hafiz, abang dah pun tandatangan surat kebenaran untuk mendermakan organ abang setelah abang meninggal dunia. Jangan terkejut, sayang. Abang dermakan jantung abang kepada Jannah. Abang harap, jantung abang sesuai untuk Jannah. Abang ikhlas. Sayang jangan marah pada Jannah, ya? Kalau sayang rindukan abang, peluklah Jannah. Sebahagian dari diri abang ada pada dia. Abang harap, Jannah dapat membesar sempurna macam gadis-gadis lain. Sayang jaga dan didik dia tau, supaya jadi srikandi agama macam sayang.

Sayang, sayang isteri terbaik di dunia ni. Abang tak mampu tunaikan kewajipan abang sebagai suami pada sayang. Abang redha kalau sayang menikah setelah abang meninggal dunia. Abang tunggu sayang di syurga.

Salam sayang dari Mujahidmu..

Nur Iman jatuh terduduk. Surat dari arwah Amir dipeluk kemas di dadanya. Bahunya terhenggut-henggut menahan tangis. Permainan takdir ini sangat menguji ketabahan hatinya. Kesembuhan adiknya adalah penderitaan suaminya. Kegembiraannya melihat adiknya sihat adalah di atas kedukaan kerana pemergian suaminya.

“ YA ALLAH, aku berlindung dari perasaan sangka buruk terhadapMU. Aku yakin dengan ketentuanMU. Tabahkan hatiku, ALLAH..”

Nur Iman melangkah menuju ke wad adiknya. Kelihatan Jannah baru sahaja selesai mendirikan solat Zohor. Dia memandang penuh kasih pada adik bongsunya itu.

“ Mana mungkin aku membenci adik kandungku sendiri. Abang, terima kasih. Tunggu sayang di syurga nanti.”

* * *

“ Adoi, Farhan, degil ya? Cubit kang..”

Nur Iman menjerit kecil apabila si kecil Farhan yang berusia 5 tahun itu menganggunya yang sedang menumbuk bawang di dapur. Anak kecil itu sengaja menghampirinya lalu menarik rambutnya yang disanggul.

“ Nak kena tau budak ni. Jagalah..”

Nur Iman pantas bangun lalu melangkah ke ruang tamu. Kelihatan Farhan sedang menyorok di belakang Zulaikha.

“ Haa..Farhan ni memang nak kena tau.”

Nur Iman mengacahnya. Terkekeh-kekeh Farhan ketawa mempamerkan giginya yang baru tumbuh dua. Zulaikha yang berada di antara mereka menggeleng-gelengkan kepala.

“ Haish..Kak Iman ni macam budak-budak je. Haa..anak umi kacau Mak Long, ya? Tak baik tau. Mak Long tengah masak tu. Dah, jom kita pergi main dengan Mak Cu.”

Zulaikha memimpin tangan Farhan ke luar. Nur Iman memandang sayu ke arah mereka. Jauh di sudut hatinya betapa dia berharap dia mampu mempunyai zuriatnya sendiri. Matanya mula berkaca-kaca.

“ Iman..”

Nur Iman tersentak. Pantas dia menyeka air mata yang ingin mengalir keluar. Razif memandangnya tanpa berkelip.

“ Kau nangis, ke?”

“ Mana ada. Tengah tumbuk bawang tadi. Pedihlaa..”

“ Eleh, tipu. Ayat macam dalam novel. Piirah..”

Nur Iman tersengih. Jarinya masih mengusap-usap matanya perlahan. Sengaja. Cuba untuk menyembunyikan hakikat. Kakinya segera melangkah ke dapur untuk menyambung semula kerjanya yang tergendala. Razif mengekorinya dari belakang.

“ Kau dah kenapa ikut aku ke dapur? Nak tolong aku masak ke?”

“ Hihi..boleh jugak nak suruh aku tolong, tapi tolong tengok je la..”

Nur Iman menjeling tajam. Sahabatnya itu, walau sudah bergelar suami namun sifat kenak-anakannya masih ada.

“ Iman..kau tak nak menikah lagi, ke? Fauzi masih tunggu kau tau.”

Nur Iman berdehem mendengar nama Fauzi disebut-sebut.

“ Apa kau-kau? Kak Imanlah. Sedar sikit yang awak tu adik ipar saya.”

Razif mencebikkan bibirnya.

“ Tak kuasa I panggil u kakak. Eeeuuwww~ Pleaselah..”

Nur Iman ketawa kecil melihat reaksi Razif.

“ Abang, oo..abang”

Suara Zulaikha yang separuh berteriak memanggil Razif membantutkan perbualan mereka. Segera Razif melangkah ke ruang tamu. Nur Iman sekadar menghadiahkan sekuntum senyuman apabila rasa menunjukkan wajah bahawa dia tidak berpuas hati dan bakal kembali bertanya nanti.

Nur Iman mengeluh kecil. Persoalan yang ditimbulkan oleh Razif dibiarkan berlalu begitu sahaja. Sedikit pun tidak mampu mengubah pendiriannya.

* * *

Nur Iman menghadiahkan bacaan surah al-fatihah kepada arwah suaminya. Dia membersihkan daun-daun kering yang berguguran di atas tanah perkuburan arwah Amir. Sayu rasa hatinya. Sudah hampir 5 tahun pemergian arwah Amir dan dia masih lagi pengunjung setia perkuburan itu.

“ Abang..Fauzi masih tunggu sayang. Dia baru habiskan Master dia di UKM. Sayang ingat dia akan jumpa jodoh dia kat sana. Tak sangka dia masih belum berpunya lagi. Dia masih menunggu sayang. Tapi, sayang tak bolehlah abang. Abang pernah suruh sayang kahwin lagi, kan? Sayang bukan tak nak tapi sayang tak boleh. Sayang tak mampu lupakan abang. Walaupun kita cuma bersama sekejap tapi kesan yang abang tinggalkan terlalu kuat. Sayang tak mampu terima lelaki lain dalam hidup sayang. Abang tak marah kan sayang macam ni? Sayang bahagia sendiri, bang. Abang tunggu sayang di syurga, ya? Abang bina mahligai yang paling indah untuk sayang kat sana tau. Abang, sayang harap abang bahagia berada di sisiNYA. Tunggu sayang…”

THE END..

p/s: Mahar Cinta Seutas Tasbih(FULL) DI SINI- 1, 2, 3

7 comments:

Muhammad Afifi said...

sy nangeh la inin...uhuk2..awk jaat Y_Y

InsanBiasa said...

ko dah kenapa? hu2...mcm pnh dgr ayat ni, tp kat mane yer..

it's me~ Ana said...

sedihnya..tp best.

lavenderlover said...

sedih, sayu & so setianya iman..nice story..really i do cry..
ada citer len? nk bc..hehe..awak tulis sendr kan? bgusnyer..by the way, bl click yg 1,2,3 tu x der pon..nape ye?

Si Pengemis Iman said...

fifi: haha..nangeh ea?means cite ni mnjadi la kn :P

insan biasa: hihi..tiru ayt org 2~

nur qin: hihi..mekasih~

lavender: hihi..nangeh ye?alhamdulillah..ada lg, bleh tgk kat bhgian karya cinta-cerpen
xleh bukak ye yg full? xpe..awk bleh tgk kat fb sy,nme si pengemis iman gak

Sasha Secheana said...

best sgt2 karya akak..
teruskan usaha akn menghasilkan karya yg indah2 spt ini..
:)

arein addin said...

assalamualaikum akk .
subhanallah Allah jadikn akk sntuh haty mnusia lain mcm ny . truskn prjuangn coz Allah ea . syg akq fillah