“ YA ALLAH..Ika, Jannah!!!”
Nur Iman dan Zulaikha pantas bangun dan berlari ke dapur. Amir, Fauzi dan Razif mengekori di belakang mereka.
Puan Khadijah sedang memangku kepala Jannah yang terkulai di ribanya. Wajahnya pucat lesi seperti mayat. Puan Khadijah sudah mula menangis teresak-esak apabila tangannya tidak merasakan sebarang degupan jantung di dada Jannah. Nur Iman dan Zulaikha menerpa ke arah mereka.
“ Macam mana ni, mi? Kereta abi bawak.”
Nur Iman sudah mula berpeluh-peluh memikirkan keadaan mereka yang sangat cemas itu. Terlupa dia seketika akan kehadiran sahabat-sahabatnya tadi.
“ Iman, angkat Jannah ikut pintu belakang. Aku bawak kereta ke belakang. Kita pergi hospital.”
Nur Iman sekadar menurut arahan Razif. Dia dan Zulaikha mengangkat Jannah ke pintu belakang. Puan Khadijah masih terduduk. Badannya terasa lemah dan tidak berdaya. Amir dan Fauzi menghampirinya.
“ Sabarlah, makcik. InsyaALLAH, Jannah tak apa-apa.”
* * *
“ Keadaan anak puan semakin parah. Dia memerlukan penderma secepat mungkin. Tetapi, pihak kami tidak mempunyai bekalan. Kami sudah menghantarkan laporan kondisi anak puan ke pihak atasan dan insyaALLAH kami akan usahakan untuk mendapatkan penderma secepat yang mungkin. Tetapi, saya agak khuatir sebenarnya kerana kondisinya sangat merbahaya saat ini. Saya harap pihak puan sendiri juga turut berusaha mencari penderma yang sesuai untuk anak puan.”
Nur Iman menggosok-gosok belakang ibunya yang masih lagi menangis sejak saat mereka menjejakkan kaki ke hospital. Mujur keadaan Jannah sudah stabil tetapi berita yang dikhabarkan oleh Doktor Liana sebentar tadi kembali menggugat rasa tenang di hati mereka.
“ Terima kasih, doktor. Kami minta diri dulu.”
Nur Iman besuara bagi pihak ibunya. Dia enggan berlama-lama lagi di situ. Dia ingin segera menjenguk Jannah. Hanya Zulaikha dan Razif sahaja yang berada di wad Jannah saat itu.
Mereka terserempak dengan Amir dan Fauzi yang baru sahaja sampai ke hospital. Amir dan Fauzi terpaksa berjalan kaki ke tempat di mana Amir meninggalkan keretanya sebelum ke rumah Nur Iman menyebabkan mereka lambat tiba di hospital.
“ Macam mana dengan Jannah?”
“ Alhamdulillah, Jannah tak apa-apa. Doktor dah benarkan kita melawat. Marilah..”
* * *
“ Umi, janganlah nangis lagi. Jannah dah ok ni, dah tak ada apa-apa dah. Umi asyik nangis je. Nanti Jannah sakit balik macam mana?”
Jannah menyentuh pipi Puan Khadijah yang penuh dengan air mata. Sentuhan jarinya yang lembut membuatkan Puan Khadijah semakin galak menitiskan air mata.
“ Umi ni..”
Nur Iman sekadar memerhati tingkah ibu dan adiknya itu. Dia tahu mengapa ibunya menangis. Dia sendiri ingin ikut menangis tetapi andai dia juga lemah, siapa lagi yang akan menguatkan ibunya itu? Jannah sama sekali tidak mengetahui tentang kondisi dirinya. Dia tidak diberitahu adalah untuk kebaikannya juga kerana khuatir dirinya akan menjadi lemah dan murung andai kebenarannya diketahui.
“ Kak Iman, abi mana? Abi tak datang ke hari ni?”
“ Abi datang malam ni dengan Ika. Hmm..umi, dah petang sangat ni. Umi baliklah dulu. Biar Iman yang temankan Jannah sampai abi dengan Ika sampai. Dari pagi tadi umi kat sini. Umi baliklah berehat, ya?”
Puan Khadijah sekadar mengangguk lemah. Dia akur dengan arahan lembut anaknya itu. Sejak pagi dia berada di hospital menemani Jannah. Kerjayanya sebagai guru penolong kanan di sebuah sekolah menengah terabai. Dia terpaksa mengambil cuti selama seminggu. Mujur pengetua sekolah tersebut memahami keadaannya. Peranannya sebagai seorang isteri dan ibu juga sedikit terabai. Dia beristighfar perlahan. Berdoa semoga suaminya meredhai setiap perbuatannya. Perlahan-lahan dia bangkit daripada duduknya.
“ Jannah, umi balik dulu, ya? Abi mesti dah tunggu umi kat rumah. Umi balik masak, nanti umi suruh abi bawak lauk untuk Jannah malam ni, ya?”
Jannah mengangguk perlahan. Senyuman kecil terukir di bibirnya. Dia kasihan melihat wajah ibunya yang lesu. Sesungguhnya ibunya itu adalah seorang wanita yang sangat tabah mengharungi apa jua cabaran dan dugaan dalam hidupnya. Tidak pernah dia melihat ibunya itu mengeluh dan menyesali setiap apa yang berlaku dalam kehidupan sehariannya. Dia sangat kagum dan berazam untuk menjadi wanita solehah sehebat ibunya.
“ Jannah..kenapa termenung ni?”
Teguran Nur Iman menyedarkan Jannah yang telah jauh mengembara ke alam khayalannya.
“ Hihi..tak ada apa-apa lah.”
“ Hai..ingat pakwe ke?”
“ Ish..Kak Iman ni, mana lah Jannah ada pakwe. Lainlah akak, berderet tengah beratur nak isi borang. Hihi..”
“ Amboi, ingat akak awak ni apa? Nak main isi-isi borang pulak, ish..”
Perbualan dua beradik itu diganggu oleh bunyi ketukan di pintu.
Tok..tok..tok..
“ Siapa, kak?”
“ Entah, Kak Su kot. Dia je yang tahu Jannah masuk hospital.”
Nur Iman bergegas menghampiri pintu wad dan membukanya perlahan. Kelihatan Suhaila dan Razif tersenyum memandangnya. Amir yang berdiri di belakang Razif sekadar memandang kosong.
“ Assalamu’alaikum.”
“ Wa’alaikumussalam, Su, Razif..masuklah.”
“ Aik..kami berdua je yang kau sebut? Yang kat belakang tu hantu ke? Tak nampak??”
Razif sudah mula mengusik. Pantang melihat ada ruang untuknya, pasti ada yang akan terkena. Nur Imanmembulatkan matanya pada Razif. Razif tersengih.
“ Emm..Amir, masuklah.”
Mereka memasuki ruang wad yang sederhana kecil itu. Jannah melemparkan senyuman manis buat para tetamunya. Dia terharu kerana mereka sudi menziarahinya sedangkan mereka adalah sahabat-sahabat kakaknya sahaja.
“ Nah, bunga yang cantik untuk Cik Jannah yang jelita.”
Suhaila menghulurkan sejambak bunga kepada Jannah sambil mengenyitkan matanya. Jannah menyambutnya dengan sekuntum senyuman yang mekar. Dia menghidunya perlahan.
“ Wanginya, Kak Su. Terima kasih.”
“ Kasihmu diterima. Hihi..”
“ Kau ni, Su..asyik bunga je. Masa Si Iman sakit dulu pun ada bunga jugak. Bawaklah buah ke, biskut ke, ni tak..asyik bunga je. Bukan boleh makan.”
“ Eh, biaq pi lah aku nak bawak apa pun. Dah aku bukak kedai bunga, aku bawaklah bunga untuk dia. Dari kau, tak bawak apa-apa. Bising betul!”
“ Amboi, kau bukak kedai bunga kau bawak bunga. Habis aku ni, bukak kedai kereta kena bawak keretalah, ya? Jannah..nak kereta? Ada lesen, tak? Huhu..”
Bergema ruang wad tersebut dengan tawa mereka mendengar lelucon dari Razif. Razif memang penggamat suasana. Adanya Razif maka adanya ketawa. Jarang sekali keberadaannya di sesuatu tempat itu tidak disusuli dengan jenaka ria.
Suhaila menjeling tajam. Malas melayan. Dia sudah masak benar dengan sikap sahabatnya yang suka loyar buruk itu. Jangan dilayan. Makin dilayan, makin menjadi. Sebaiknya diam sahaja dan usah melawan.
“ Jannah, ni abang bawakkan buah sikit untuk Jannah. Makanlah, ya..”
Amir meletakkan seplastik buah limau mandarin di atas meja di sebelah Jannah.
Gadis manis berusia 14 tahun itu tersenyum dan memandang lama pada Amir. Dia berfikir-fikir di mana dia pernah melihat wajah itu.
“ Terima kasih. Abang ni, siapa? Kawan Kak Iman ke? Jannah rasa macam pernh tengok abang ni tapi tak ingatlah.”
“ Ni..abang Mujahid! Kawan Kak Iman! Kawan baaaaaaik Kak Iman!”
Razif bersuara kuat sambil menepuk-nepuk bahu Amir. Sengaja. Amir menyikunya kasar.
“ Aku belasah kau sat lagi. Tengoklah..”
Razif tersengih-sengih seperti kerang busuk. Nur Iman sengaja menyibukkan diri. Dia benar-benar tidak selesa dengan kehadiran Mujahid di situ. Bibirnya seakan terkunci untuk bersuara. Dia mengambil jambangan bunga di tanagn Jannah dan segera menghampiri pasu bunga yang terletak di tepi jendela.
“ Jannah sakit apa?”
Amir pantas bertanya. Enggan menghiraukan Razif yang masih ingin mengusik.
“ Emm..Jannah ada sakit jantung. Dari kecik lagi Jannah macam ni. Selalu keluar masuk hospital. Tapi, sejak akhir-akhir ni, kerap sangat Jannah masuk hospital. Bulan ni je dah 3 kali. Dah nak mati kot. Jannah tak kisah kalau mati awal. Jannah hidup pun asyik menyusahkan keluarga Jannah je. Umi selalu menangis sebab risaukan Jannah. Kak iman pun selalu abaikan butik dia sebab asyik jaga Jannah. Tengah sakit-sakit ni pun Kak Iman masih kuatkan diri untuk datang hospital. Jannah tau, Kak Iman sakit lagi. Jannah pun tak nak sakit-sakit macam ni. Menyusahkan orang je..”
Suara Jannah yang sayu meruntun jiwa setiap yang mendengarnya. Razif yang tadinya galak mengusik terus terdiam. Amir dan Suhaila turut membatukan diri. Sama sekali mereka tidak menyangka gadis itu menanggung derita yang cukup berat. Tubuhnya yang kecil tidak menggambarkan usianya yang sudah belasan tahun, mungkin kesan daripada penyakit yang dihidapinya. Tetapi, tubuh kecil itulah yang memikul beban yang bukan calang-calang insan yang mampu menanggungnya.
Nur Iman sebak. Dia mengetap bibirnya kuat untuk menahan tangisan yang ingin menghambur keluar. Kata-kata adik bongsunya itu benar-benar menggugah hati hawanya yang lembut. Matanya sudah mula digenangi mutiara jernih yang berasak-asak ingin menghambur keluar. Pantas dia melangkah ke pintu sambil menekup mulutnya. Nur Iman keluar meninggalkan mereka di dalam dan melepaskan tangisannya di luar. Dia enggan Jannah melihat tangisannya. Dia enggan Jannah merasa bersalah kerana dia menagis. Dia sangat menyayangi adiknya itu tetapi apalah dayanya untuk membantu sedangkan dirinya juga hanyalah insan yang lemah tidak berdaya. Dia duduk bersandar di dinding dan menagkupkan wajahnya.
Suhaila pantas bangun dan turut melangkah keluar. Mujur dia tidak melanggar Nur Iman yang terduduk di tepi dinding. Buat seketika dia sekadar memerhati dan membiarkan Nur Iman menangis.
Amir berjalan perlahan ke arah muka pintu. Dia membuka perlahan dan mengintai di celahan pintu. Kedengaran suara Nur Iman teresak-esak. Dia menjengulkan kepalanya keluar dan berpaling ke kanan. Nur Iman masih lagi memeluk lutut dan menyembamkan wajahnya. Suhaila pula sedang berdiri di sebelahnya, kelihatan takut-takut untuk menegur Nur Iman.
Amir menarik semula kepalanya ke dalam dan berdiri membelakangi dinding. Dia membiarkan pintu tersebut terbuka sedikit.
“ Hoi, kau buat apa tu?!”
“ Shuut!”
Amir meletakkan jarinya ke mulut sebagai tanda amaran kepada Razif supaya tidak bising. Razif turut menghampiri Amir. Jannah pula sekadar menjadi pemerhati setia.
Jannah memandang lama wajah Amir. Dia pernah mendengar nama ‘Mujahid’ sebelum ini. Lama dia cuba mengingat kembali detik-detik dia mendengar nama tersebut. Tiba-tiba, dia ternganga..
“ Hah,Mujahid..ni lah Abang Mujahid yang Kak Ika ceritakan pada Abang Fauzi dulu tu. ALLAH~”
Jannah mengeluh perlahan mengingatkan kisah yang didengarinya sewaktu menemani Zulaikha berjumpa Fauzi. Berdasarkan kisah tersebut, dia tahu kakaknya itu masih mengharapkan kasih dari Mujahid.
Amir dan Razif mendiamkan diri dan cuba mendengar perbualan Nur Iman dan Suhaila.
“ Weh..aku tak dengar apa-apalah.”
“ Ish..kau diamlah sikit! Aku tengah dengar ni.”
Razif mengerutkan wajahnya. Geram.
Di luar, Suhaila memberanikan diri untuk menegur Nur Iman. Dia menyentuh bahu Nur Iman yang terhenggut-henggut menahan tangis. Nur Iman mengangkat wajahnya perlahan. Dia bangun dan pantas memeluk Suhaila. Suhaila terkejut dengan tingkah laku Nur Iman yang tiba-tiba itu tetapi perlahan dia membalas pelukan Nur Iman. Dia menggosok lembut kepala sahabatnya itu.
“ Dahlah tu. Jangan menangis, aku ada kat sini. Cuba cerita apa sebenarnya yang berlaku sampai kau menangis macam ni.”
“ Su..adik aku, adik aku..Jannah, Su..”
“ Iya..kenapa dengan Jannah?”
“ Dia sakit teruk, Su.”
“ Bersabarlah, Iman. Banyakkan berdoa. Sakit tu satu petanda bahawa ALLAH masih sayang pada kita. Ikhtiarlah dan minta padaNYA. DIA takkan menghampakan hamba-hambaNYA yang benar-benar dalam kesusahan.”
Nur Iman tersedu. Dia sedaya upaya cuba untuk bersuara.
“ Tapi..tapi, Jannah dah kritikal. Kritikal sangat! Dia perlukan penderma dengan segera.”
“ Penderma? Maksud kau, penderma jantung??”
Nur Iman menarik dirinya dari pelukan Suhaila. Wajahnya penuh dengan air mata. Hidungnya merah. Matanya bengkak. Anak matanya menatap tepat pada mata Suhaila dan perlahan dia mengangguk.
“ Ya, jantung. Dia perlukan jantung baru. Bukan mudah nak dapatkan jantung, Su. Siapalah nak bagi jantung sendiri pada orang lain?”
Amir yang mendengar di sebalik pintu turut dihentam kejutan mendengar kata-kata Nur Iman. Tidak disangka keadaan Jannah seteruk itu.
“ Jantung?? Aku tak faham..maksud kau, jantung sebijik tu??”
“ Ya, jantung sebijik tu lah. Takkan sedozen kot. Ish..”
Dalam kesedihan, Nur Iman masih sempat berlucu. Dia tersenyum melihat wajah Suhaila yang berkerut seribu.
“ Kalau kita bagi jantung kita pada orang lain maknanya kita akan matilah, kan? So, macam mana tu? Tak boleh ke bagi secebis je? Macam orang dermakan hati, tak boleh, ya?”
Nur Iman menggeleng lemah.
“ Kalau derma jantung tu macam derma hati, dah lama aku dermakan jantung aku ni. Tapi jantung tak sama dengan hati. Kalau dermakan hati, cuma perlu dermakan secebis dan hati tu akan membesar tapi jantung tak boleh. Kena betul-betul sebijik jantung tu!”
Amir membuka kopiah yang dipakainya dan meraup rambutnya ke belakang. Dahinya berpeluh.
“ Kenapa?”
Razif pantas bertanya melihat reaksi Amir yang kelihatan seperti baru menerima berita kematian.
“ Jannah..dia perlukan jantung.”
“ Jantung??”
“ Ya..jantung, dan dia akan dapat jantung tu. Aku janji!”
2 comments:
akk, farah menangis baca part ni T_T cepat sambung eheks.
alfun mabruk...
bila anti nak sambung cerpen ni?
semaki menarik jalan ceritanya....
Post a Comment