Sunday, June 5, 2011

Mahar Cinta Seutas Tasbih ( bahagian 9 )


“ Bersabarlah..insyaALLAH ada hikmah di sebalik setiap apa yang berlaku ni. Mungkin inilah peluang kau dan dia untuk sama-sama muhasabah diri.”

Amir menepuk-nepuk belakang sahabatnya itu. Dalam benak fikirannya mula merencana sesuatu agar hubungan Fauzi dan Iman kembali bersatu. Dia akan pergi, ya..dia akan pergi jauh dari mereka.

“ Dahla tu, jom..kita pergi makan. Aku belanja. Jangan risau, kalau Iman bukan jodoh kau..aku akan carikan mujahidah agama yang lebih hebat lagi dari Iman untuk kau. Hihi..meletup gitu!”

Fauzi tersenyum mendengar ulah Amir yang cube menceriakan hatinya. Sahabatnya itu memang baik. Sentiasa ada bersamanya samada di saat susah mahupun senang. Dia bersyukur kerana dikurniakan seorang sahabat seperti Amir.

“ Jomlah, kau belanja tau.”

Fauzi dan Amir beriringan melangkah menghampiri kereta Amir yang diparkir di tepi jalan. Tiba-tiba sebuah kereta Myvi hijau berhenti di sebelah kereta Amir. Amir dan Fauzi berpandangan sesama sendiri. Hairan. Siapa gerangannya yang berhenti dan menghalang laluan itu? Cermin keretanya gelap. Wajah pemandu kelihatan samar-samar sahaja.

Amir menghampiri kereta tersebut lalu mengetuk perlahan cermin bahagian pemandu. Si pemandu perlahan-lahan menurunkan cermin kereta.

“ YA ALLAH, Razif!!!”

Amir menjerit kecil apabila melihat wajah Razif yang tersengih-sengih di dalam kereta tersebut. Bertahun lamanya dia tidak bersua dengan sahabatnya itu dan hari ini ALLAH mempertemukan mereka tanpa diduga. Subhanallah..

Razif segera membuka pintu kereta. Pantas dua sahabat itu berpelukan meleraikan rasa rindu yang terpendam selama bertahun-tahun. Tidak mampu digambarkan rasa hati mereka saat ini. Betapa mereka sangat bersyukur kerana kembali dipertemukan setelah lama terpisah. Perpisahan yang tiba-tiba tanpa khabar berita dan kini pertemuan semula tidak terduga. Hebat sekali percaturanNYA.

Fauzi sekadar melihat adegan pertemuan dua orang sahabat itu. Dia tersenyum. Dia mengerti perasaan mereka kerana perasaan itu jugalah yang dirasai saat dia bertemu semula dengan Amir. Hidup di dunia ini, apalah ertinya tanpa sahabat sejati di sisi.

“ Subhanallah, Razif..aku tak sangka dapat jumpa kau kat sini. Amboi, dah gemuk kau sekarang. Dah ada orang rumah ke? Hihi..”

“ Adoi, kau ni memanglah Mujahid. Mana ada aku gemuk. Tak nampak ke aku lagi hensem dari dulu? Hensem sangat sampai sekarang pun tak ada orang nak. Haha..saja tadi aku berhenti sebelah kereta kau. Lama dah aku perhatikan kau dari jauh, nak terus terkam takut salah orang. Haha..kang aku pulak yang malu. Nasib baik betul. Huish..kau apa cerita sekarang? Kau menghilang dulu tu, kau pergi mana, hah??”

Amir menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia tersengih-sengih melihat wajah Razif yang setia menanti jawapannya.

“ Kisah lama tak usah dikenangkan, kisah sekarang yang perlu kau tanyakan. Chewah! Haha..menjadi jugak pantun 2 kerat aku. Hmm..kisah lama dah, Zif. Tak payahlah kau ambil tau lagi.”

“ Lama tak lama, aku tetap nak tau! Mujahid..Mujahid, hilang dah lah tak bagitau apa-apa. Tinggalkan kami terpinga-pinga kat sini. Iman tu, merana sebab kau tau! Kau ada jumpa dia tak? Tau tak dia kemalangan??”

Fauzi tersentak mendengar sepotong nama yang disebut-sebut oleh sahabat Amir itu. Dia pasti bahawa telinganya tidak tersalah dengar. ‘Mujahid’, ya..itu nama lelaki yang diceritakan oleh Zulaikha kepadanya. Amir adalah Mujahid?? Mustahil! Dan ‘Iman’..ya, nama Iman juga turut disebut-sebut. Apa kaitan pemuda ini dengan tunangnya itu??

“ Dahlah, Zif. Ni aku nak kenalkan sahabat aku masa aku belajar di Mesir, Fauzi. Fauzi, ini sahabat aku masa aku sekolah dulu, Razif.”

Razif menghulurkan tangannya kepada Fauzi dan disambut perlahan oleh Fauzi tanpa segaris senyuman. Benaknya masih memikirkan adakah benar apa yang didengarnya sebentar tadi.

Razif mengangkat sebelah keningnya. Hairan dengan sikap Fauzi yang kelihatannya tidak mesra. Sebentar tadi dia dapat melihat senyuman di wajah Fauzi saat dia berdakapan dengan Mujahid tetapi kini senyuman itu seolah-olah diterbangkan oleh sang angin. Hilang. Malah wajahnya seolah-olah tersimpan persoalan yang tidak terluah.

“ Hmm..Id, kenapa kawan kau ni? Tersampuk ke?? Pucat je aku tengok.”

“ Woi, mulut cabullah kau, Zif!”

Mujahid menyiku perlahan pinggang Razif. Razif mengaduh.

“ Fauzi? Kenapa dengan kau ni? Tiba-tiba je muka kau pucat. Tak sihat ke? Kalau kau rasa tak sihat, kita boleh pergi klinik sekarang. Jomlah..”

Fauzi masih lagi mendiamkan diri. Dia ingin bertanya tetapi tidak tahu bagaimana harus dia memulakannya. Dia tersenyum, cuba menyembunyikan gelojak hatinya.

“ Eh, tak..tak ada apa-apa. Err..Encik Razif ada urusan apa-apa ke datang ke sini? Saya tak pernah nampak pun sebelum ni.”

“ Oloh..skemanya kawan kau ni, Id. Fauzi, tak payahlah panggil aku macam tu. Malulah..haha, panggil Razif je. Aku datang sini nak melawat kawan aku yang kemalangan hari tu. Dia baru keluar hospital. Emm..alang-alang dah berjumpa korang ni, apa kata korang temankan aku melawat dia? Segan jugak sebenarnya nak pergi melawat dia seorang-seorang. Hihi..”

“ Tak apalah, tadi Fauzi baru..”

“ Tak apa, kami temankan.”

Belum sempat Amir menghabiskan kata-katanya, Fauzi terlebih dahulu memintas. Amir menatapnya hairan. Hairan kerana tadi baru sahaja Fauzi melawat Nur Iman dan menerima sebuah berita yang mengecewakan dan sekarang dia tiba-tiba menawarkan diri untuk menemani Razif berziarah ke rumah Nur Iman..

“ Zi, kau ni betul ke?”

“ Betullah, aku ada benda nak tanyakan pada Iman.”

Razif menggaru-garu bawah dagunya yang ditumbuhi janggut nipis. Lama matanya menatap wajah Fauzi.

“ Haish..confuse aku. Fauzi ni kenal Iman jugak ke??”

“ Apsal pulak tak kenal? Ni lah tunang Iman!”

“ Subhanallah..yeke? Tak sangka, akhirnya..bertemu jugak aku dengan tunang Si Iman ni. Bersusah payah dia cuba sembunyikan dari aku. Haha..sepandai-pandai Iman menyorok, akhirnya kantoi juga di tangan Razif!”

Tiga mujahid agama itu serentak ketawa. Terasa kehangatan hubungan antara mereka. Walau baru sebentar bertemu, Razif bijak sekali mengambil hati sahabat barunya, Fauzi. Fauzi pula mula berasa senang hati menerima sahabat seperti Razif. Walau dia masih tertanya-tanya tentang identiti Mujahid itu, dia tidak mempunyai alasan untuk menolak ukhuwah antaranya dan Razif. Amir pula senang hati melihat dua orang sahabat baiknya berada di sisinya.

“ Dah, dah..jom kita pergi. Naik kereta aku je.”

Razif mengajak mereka ke rumah Nur Iman dengan menaiki keretanya. Pintu kereta segera dibuka. Fauzi duduk di tempat duduk belakang. Sewaktu Amir ingin melangkah ke tempat duduk sebelah pemandu, Razif menahannya.

“ Kau tak apa-apa?”

Amir mengangkat keningnya tanda tidak mengerti maksud soalan Razif.

“ Fauzi..Iman, kau ok?”

Amir sekadar tersenyum dan segera melangkah dan masuk ke dalam kereta. Razif melepaskan keluhan. Dia dapat merasakan Mujahid masih menyimpan perasaan terhadap Nur Iman. Dia sanagt mengenali sahabatnya itu. Sinar matanya sahaja sudah cukup membuktikan betapa dirinya sedang bermujahadah dengan hati nuraninya. Dia melangkah masuk ke dalam kereta dan meneruskan perjalanan ke rumah Nur Iman.

* * *

“ Jannah, Jannah kan tak sihat. Pergilah masuk dalam. Tak elok Jannah berpanas kat sini. Nanti pengsan siapa susah? Ish..”

Jannah memasamkan mukanya. Seringkali dia dianggap seperti anak kecil. Di dalam rumah, Nur Iman tidak membenarkannya membantu di dapur. Di luar rumah pula, Zulaikha melarangnya membantu menyiram pokok-pokok bunga. Bosan. Penyakit lemah jantung yang dihidapinya sejak kecil itulah yang selama ini membataskan pergerakannya.

Zulaikha ketawa kecil melihat Jannah masuk dengan muka yang masam. Dia sangat menyayangi adiknya itu sehinggakan dia hanya ingin adiknya berehat sahaja sepanjang hidupnya. Dia menyanyi kecil sambil menyiram pokok-pokok bunga di halaman rumahnya.

“Duhai kasih cuba kau dengarkan..Isi hati penuh kejujuran..”

“ Assalamu’alaikum, Ika!”

“ Oh, mak kau kasih, hah..kau dengar ni, jujur!”

Zulaikha melatah kuat mendengar salam yang sengaja dilaungkan dengan lantang oleh Razif. Dia berpaling ke arah pagar rumahnya dengan muka yang marah. Razif ketawa terbahak-bahak sambil diperhatikan oleh Amir dan Fauzi yang berkerut wajahnya kerana menahan ketawa. Darah terasa menyerbu naik ke muka. Malu! Kalau diikutkan hatinya yang baran itu, habis basah kuyup dia kerjakan Si Razif itu. Dia menutup paip air dan melangkah masuk ke dalam rumah dengan kasar tanpa mempedulikan mereka. Dia berpaling ke arah mereka sebelum kakinya melangkah masuk.

“ Maaflah, saya tak nak beli karpet-karpet abang bangla tu. Pergilah jual kat tempat lain.”

Zulaikha menjeling tajam lalu melangkah masuk dan menutup pintu dengan kasar. Amir, Fauzi dan Razif yang sedang berdiri menunggu terpinga-pinga apabila digelar ‘abang Bangla’ oleh Zulaikha. Gadis itu marah sungguh nampaknya.

“ Tengok! Kaulah ni, Zif! Yang kau pergi usik dia tu, kenapa?? Dah tak dapat masuk.”

Amir menepuk kuat belakang Razif yang masih berdiri sambil memegang pagar rumah. Lagaknya tak ubah seperti banduan di dalam penjara.

“ Aduh, sakitlah! Mana aku tau dia nak marah macam tu. Biasa aku usik dia melawan sikit je. Huhu..”

Fauzi menggeleng-gelengkan kepalanya. Kesal dengan sikap Razif yang agak melampaui batas. Dia sendiri tidak menyangka Zulaikha yang selama ini dikenalinya sebagai gadis yang lemah lembut itu bersikap sedasyat itu apabila marah. Wajarlah mereka diperlakukan seperti itu. Pasti sikapnya begitu kerana berasa malu dengan mereka.

Tiba-tiba pintu rumah terbuka perlahan. Seorang wanita separuh usia keluar menyambut mereka.

“ YA ALLAH, makcik minta maaflah ya dengan perangai Si Zulaikha tu. Ada ke patut dia biar tetamu berpanas macam ni kat luar. Ish..tak senonoh punya budak. Maafkan makcik ya, nak. Marilah masuk.”

Puan Khadijah segera membuka pintu pagar untuk 3 orang anak muda itu. Masing-masing melangkah masuk sambil tersengih-sengih lebih-lebih lagi Razif, si pembuat kacau.

“ Tak adalah, makcik. Ika tu tak salah pun. Saya usik dia tadi. Dia marahlah tu sampai tak bagi saya masuk.”

Puan Khadijah menggeleng-geleng kepalanya.

“ Kamu ni memanglah, Zif. Suka benar mengusik anak makcik tu. Makcik taulah kamu tu berkenan dekat dia tapi janganlah mengorat dia macam tu. Nanti dia terus tak suka kamu macam mana? Melepas..”

“ Hihi..makcik ni, malu saya.”

“ Dahlah, mari masuk berbual kat dalam. Kamu duduklah dulu, makcik buatkan air.”

“ Aii, makcik..kan makcik ramai anak dara, suruhlah diorang yang buatkan air. Teringin saya nak rasa air anak dara, haha.”

Ulah nakal Razif membuatkan Puan Khadijah ketawa kecil sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“ Gatal eh kau ni, Zif. Aku pulak yang jadi malu. Menyesal aku teman kau.”

Razif ketawa melihat Amir yang berpura-pura malu menutup wajahnya dengan tapak tangannya. Fauzi juga ikut ketawa.

“ Poyolah kau! Aku pun tak tahulah nak kata macam mana. Tapi, dengan keluarga Si Iman ni, aku memang jadi muka tak tahu malulah. Eh, dengan orang lain aku baik tau. Hihi..”

Di dapur pula, Zulaikha dan Jannah sedang bertekak kecil. Masing-masing enggan menghantarkan minuman kepada tetamu yang sedang menunggu.

“ Apa Jannah pulak? Kak Ikalah pergi hantar. Tu kan kawan akak.”

“ Ish, kawan Kak Imanlah. Alah, Jannah pergilah hantar kejap. Kak Iman tengah goreng pisang tu. Tadi Jannah nak sangat buat kerja, kan? Hah, ni kerjalah ni.”

“ Amboi, pandailah akak. Bila kerja segan-segan macam ni baru nak bagi kat Jannah, kan? Eee..Jannah tak naklah, segan!”

Nur Iman ketawa kecil melihat kedua adiknya bertengkar mulut. Dia sendiri mengelak untuk menghantarkan minuman pada mereka, kerana itulah dia sengaja menyibukkan diri dengan menggoreng pisang.

“ Uuuii..kesian dekat abang-abang kat depan tu. Cepatlah pergi hantar. Dah, tak payah nak berebut. Jannah, hantar air. Ika, hantar pisang goreng ni.”

“ Kak Iman??”

Serentak 2 orang gadis kecil itu menyoal Nur Iman. Nur Iman ternganga. Pantas dia mencari helah untuk mengelat.

“ Err..akak..hah, akak nak pergi angkat kain kat belakang.”

Zulaikha dan Jannah mencebik. Puan Khadijah membiarkan sahaja anak-anak gadisnya itu. Malas melayan lalu dia melangkah ke ruang tamu menemani tetamunya. Encik Zaki pula sedang solat di bilik.

“ Kak Iman mengelat, tak aci.”

Jannah mengejek sambil membawa dulang minuman ke ruang tamu. Zulaikha mengekorinya di belakang dengan sepinggan pisang goreng.

3 orang jejaka itu mendiamkan diri apabila melihat kelibat 2 orang gadis tersebut. Razif menahan dirinya dari mengusik. Enggan lagi menaikkan kemarahan gadis manis itu. Amir dan Fauzi pula menahan ketawa melihat Razif yang teragak-agak ingin menyatakan sesuatu. Jannah dan Zulaikha segera melangkah pergi selepas meletakkan hidangan di atas meja. Puan Khadijah ingin ketawa melihat anak-anaknya itu.

“ Err..Ika.”

Langkah Zulaikha terhenti apabila mendengar namanya dipanggil. Spontan dia menarik tangan Jannah yang berjalan di hadapannya.

“ Kenapa?”

Jannah berbisik perlahan. Hairan. Dia enggan berlama-lama di situ.

“ Kejaplah, teman akak. Razif panggil.”

“ Ish, umi kan ada tu. Jannah sakit dada. Nak ambil ubat.”

Zulaikha melepaskan pegangan tangannya lalu berpusing menghadap para tetamunya. Tidak tentu arah rasanya diperhatikan oleh 4 pasang mata seperti itu.

“ Ika, duduk sebelah umi ni. Jannah, panggil kakak kamu duduk sini sekali.”

Zulaikha mengangguk lalu menghampiri Puan Khadijah dan duduk di sebelahnya.

Razif menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“ Hah, Razif. Cepatlah, tadi macam nak cakap sesuatu kat anak makcik ni.”

“ Err..ana, ana mintak maaf pasal tadi. Tak sengaja, hihi..”

“ Banyaklah enta punya tak sengaja. Buat malu orang je!”

Zulaikha mula menghamburkan kemarahannya. Rasa marah dan malu masih bersisa di dalam hatinya.

“ Mana ada, betullah tak sengaja. Dah tu, enti tu syok sangat menyiram pokok sampai kami datang pun tak sedar. Ana pun bagilah salam kuat-kuat.”

“ Alah, Razif..macam aku tak tau perangai kau. Kau memang suka mengusik adik aku ni, kan? Kalau syok kat dia tu cakap je lah, ni asyik cari gaduh macam dalam drama je. Hihi..”

Nur Iman menyampuk dari dapur. Dia datang dengan semangkuk sambal kicap buat pencecah pisang goreng yang masih hangat itu.

“ Akak..”

Zulaikha memberi amaran. Geram kerana kakaknya bersekongkol dengan mereka. Nur Iman mengambil tempat di sebelah Zulaikha lalu meletakkan sambal kicap tersebut di ats meja.

“ Jemputlah maa..kan.”

Berderau darah Nur Iman apabila menyedari salah seorang tetamunya adalah Amir. Amir sekadar menundukkan pandangannya. Sememangnya dia merasa tidak mampu untuk berhadapan dengan gadis itu. Rasa sayang dan kecewa terasa mencengkam ulu hatinya. Sakit kepala turut menambah rasa beban di dalam dirinya.

Nur Iman beristighfar perlahan. Debaran yang dirasakan seakan tidak terkawal. Lebih-lebih lagi apabila Fauzi turut berada di situ. Walaupun Fauzi tidak mengetahui bahawa Amir adalah Mujahid, perasaan bersalah kerana mengecewakan serta memusnahkan harapan lelaki itu tetap hadir jua di dalam dirinya.

Razif menyedari ketegangan suasana saat itu. Reaksi Nur Iman terhadap Amir sudah dijangka. Semenjak zaman persekolahan mereka lagi, Nur Iman seringkali mengelak bertemu muka dengan Amir kerana khuatir hatinya dikotori dengan rasa rindu atau sayang yang belum menjadi hak mereka.

“ Emm..pisang dengan air ni untuk makan ke untuk tengok je? Boleh saya makan? Hihi..”

Razif memecahkan keheningan suasana dengan sikap lucunya. Masing-masing tersenyum lucu. Nur Iman dan Amir yang terkaku sebentar juga turut tersenyum dan kembali berpijak di alam nyata. Hanya Fauzi sahaja yang masih mendiamkan diri. Dia menyedari perubahan pada wajah Nur Iman saat bertemu mata dengan Amir. Adegan itu semakin menambahkan keyakinan dan rasa ingin tahunya tentang identiti Mujahid yang sebenarnya. Adakah benar ianya Amir?

“ Eh, ramai rupanya tetamu petang ni.”

Encik Zaki keluar dari bilik sambil membetulkan kopiah di kepalanya. Dia tersenyum kepada para tetamu rumahnya petang itu.

“ Eh, bang..nak pergi surau dah ke? Awal lagi nak masuk maghrib. Ada apa-apa ke kat surau?”

“ Tadi Soleh baru telefon abang. Katanya Haji Muaz baru meninggal tadi. Sakit jantung katanya. Ijah pun taulah kan, haji tu bukan ada siapa-siapa kat sini. Tu lah abang nak pergi tengok-tengok, bantu apa yang patut.”

“ Innalillahiwainnailaihiroji’un..Kami ikut, pakcik.”

Pantas Amir menawarkan diri untuk membantu sekaligus mewakili sahabat-sahabatnya.

“ Eh, tak payahlah. Kamu pun baru sampai, kan? Pisang pun tak sempat jamah lagi. Duduklah. InsyaALLAH, dah ramai yang menguruskan jenazah. Kalau nanti ada apa-apa yang memerlukan kamu, pakcik telefon. Pergi dululah ya, assalamu’alaikum.”

“ Wa’alaikumussalam..”

6 pasang mata itu menghantar pemergian Encik Zaki ke muka pintu. Masing-masing mendiamkan diri. Berita kematian yang baru sahaja diketahui itu sedikit sebanyak memusnahkan keceriaan mereka sebentar tadi. Sesengguhnya, kematian itu tidak akan cepat atau lambat walau sesaat. Apabila tiba masanya, yang hidup tetap akan pergi jua akhirnya. Maka, sementara umur masih ada, sementara roh masih bernyawa, segerakanlah bertaubat dan melaksanakan amal-amal soleh. Kita tidak tahu bilakah giliran kita pula yang akan menghadapNYA. Entahkan esok, entahkan lusa.

“ Makcik ke dapur dulu, ya. Nak tengok Si Jannah tu. Senyap je kat dapur seorang-seorang. Risau makcik dibuatnya. Kamu berbuallah, ya.”

Puan Khadijah memecahkan kesunyian suasana yang melanda mereka. Dia segera melangkah meninggalkan mereka berlima di ruang tamu. Masih belum ada yang menuturkan walau sepatah kata. Bibir seakan terkunci. Bicara seakan terhenti. Mata Razif mula melilau ke kiri dan ke kanan.

“ Ok, conform sekarang aku bukan kat tempat yang tak sepatutnya. Adoi..awatlah diam ni?? Aku rasa nak tercekik dah ni! Tolonglah bising..”

Zulaikha menjeling dan merengus kasar. Lelaki yang satu ini memang mudah membuat darahnya mendidih. Fauzi, Amir dan Nur Iman masih mendiamkan diri.

“ Ehem..”

Deheman Fauzi membuatkan semua mata memandangnya. Matanya masih menunduk ke lantai. Hatinya berbolak-balik samada dia patut bertanyakan pada mereka perihal pemuda bernama Mujahid itu. Dia tidak ingin bertanya tetapi dia benar-benar memerlukan jawapan yang pasti. Dia khuatir seandainya pertanyaan yang bakal diutarakan itu akan mengundang sesuatu yang kurang baik antara mereka.

“ Emm..ana nak tanyakan pada antum semua tentang sesuatu. Tentang lelaki bernama Muja..”

Belum sempat Fauzi mengahbiskan kata-katanya, kedengaran suara Puan Khadijah berteriak dari dapur.

“ Iman, Ika!!! Adik kamu ni!!!”

“ YA ALLAH..Ika, Jannah!!!”

No comments: