Friday, February 24, 2012

WARKAH TERAKHIR AYAH


21 Oktober 2009

Warkah buat isteriku

Isteriku..

Saat-saat pertemuan pertama kita masih segar di ingatanku

Keayuan dan kelembutan wajahmu mendamaikan hatiku

Sopan atur bicaramu mengikat hati ini untuk mengenalimu

Anggun gaya langkahmu membuat hatiku tertunduk malu

Ah,,indahnya saat itu


Isteriku..

43 tahun kita hidup bersama

Melakar sejarah dan kenangan indah

Terasa masa yang berlalu sekejap cuma

Terasa bagaikan baru semalam kita bersua

Terasa bagaikan baru semalam dikau sah menjadi isteriku

Terasa bagaikan semalam dikau menghadiahkanku permata dari rahimmu

Terasa segala-galanya bagaikan baru sahaja berlalu

Ternyata kita telah pun berada di usia senja

Tidak terasa semua itu

Bagiku..kau tetap seperti dulu


Isteriku..

Tidak pernah aku menyangka aku akan sendirian di kamar cinta kita

Tidak pernah aku menyangka di saat fajar menjelma, tiada lagi jemari dan suaramu membangunkanku dari lena

Tidak pernah aku menyangka, hari-hariku tanpa senyum dan tawamu

Tidak pernah aku menyangka, aku akan sendirian melangkah ke rumah ALLAH

Tidak pernah aku menyangka, kau akan pergi dahulu sebelumku

Lewat setiap sujud ku sering memohon agar aku pergi dahulu sebelummu

Namun takdir ALLAH mengatasi segala-galanya

Kau pergi meninggalkanku sendirian

Terasa sepi sekali hidup tanpa dirimu di sisiku


Nur Iman menyeka air mata yang mengalir di pipinya. Menatap warkah terakhir yang dinukilkan oleh bapanya itu mengundang rasa sebak yang tidak tertanggung. Diari itu kelihatan kotor kesan terkena air hujan. Tulisannya juga sudah kurang jelas tapi masih lagi mampu dibaca. Diusap-usapnya perlahan. Terhenggut-henggut bahunya menahan sendu yang ingin bertamu.


Diari lusuh bapanya itu dipeluk kejap di dada. Hangat terasa bagaikan dia memeluk tubuh bapanya. Diari itulah yang menjadi saksi percintaan kedua orang tuanya. ‘Warkah buat isteriku’ itu merupakan coretan terakhir bapanya sebelum dia turut mengikut jejak langkah ibunya bertemu Yang Maha Esa. Diari lusuh itu ada di sampingnya saat dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Hanya sebulan maut memisahkan mereka dan mereka dipertemukan kembali oleh ALLAH di syurga. Bapanya selamat dikebumikan bersebelahan kubur ibunya yang masih merah pada pagi itu.

Nur Iman kembali menatap diari lusuh bapanya itu. Dia menghela nafas perlahan. Kini hanya diari itu sahajalah yang menjadi pengubat rindu mereka adik-beradik. Tiada lagi ibu tempat bermanja. Tiada lagi ayah tempat mengadu duka.

“ Kak Iman..”

Nur Iman pantas berpaling apabila mendengar namanya dipanggil Adiknya, Imran sedang berdiri di muka pintu dengan pandangan yang mengandungi 1001 makna di sebaliknya. Dia sekadar menghadiahkan sebuah senyuman hambar buat satu-satunya adiknya itu.

“ Akak dah siap kemas bilik ni?”

Nur Iman menggeleng-gelengkan kepalanya.

“ Akak tak tahu apa yang nak dikemaskan, Im. Semuanya berharga bagi akak. Akak tak sampai hati nak buang barang-barang ibu dengan ayah ni. Kita biarkan jelah semuanya dalam bilik ni, ya?”

Imran menghampiri kakaknya itu lalu duduk bersimpuh di sebelahnya.

“ Diari ayah ke tu?”

Nur Iman mengangguk perlahan.

“ Setiap peristiwa penting yang berlaku dalam hidup ayah, ayah catatkan dalam ni bermula daripada pertemuan ayah dengan ibu sampailah ke hari-hari terakhirnya. Selepas ibu pergi, ayah sentiasa bawa diari ni ke mana sahaja dia pergi bahkan bila ke masjid pun dia bawa jugak. Tapi..tak ada apa-apa yang ayah coretkan selain daripada warkah ni, sehari selepas pemergian ibu. Ini yang terakhir.”

Nur Iman membuka lipatan coretan terakhir di dalam diari tersebut. Dia mengusapnya perlahan. Nur Iman menyerahkan diari tersebut ke tangan Imran. Imran menatapnya sayu.

“ Sejak ibu pergi, ayah dah tak macam dulu. Ayah dah tak pandai bergurau dan dah tak banyak bercakap macam masa ibu ada. Seolah-olah semangat ayah turut pergi bersama ibu. Ayah masih tunaikan kewajipannya sebagai siak masjid. Tiap-tiap hari sebelum masuk waktu solat, ayah akan berjalan kaki ke masjid yang hanya 100 meter dari rumah. Walaupun ayah dah tua tapi kudrat ayah masih kuat. Masa ibu ada, mereka akan berjalan berdua. Selepas ibu pergi, ayah cuma bersendirian. Bila akak kata akak nak temankan, dia melarang. Dia suruh akak duduk kat rumah untuk siapkan sarapan pagi.”

Nur Iman mula sebak. Matanya mula bergenang dengan mutiara jernih. Hanya dia yang berada di samping bapanya selepas pemergian ibunya. Dia sanggup berhenti kerja untuk tinggal di kampung dan menjaga bapanya itu. Imran pula pada saat itu masih belajar di sebuah universiti tempatan. Sebulan dia memendam perasaan sayu dan sedih melihat keadaan bapanya yang telah kehilangan sayap kirinya itu. Hari ini dia ingin meluahkan segala-galanya.

Imran membiarkan sahaja kakaknya bercerita. Dia tahu, kakaknya itu menanggung rasa hiba yang teramat sangat selepas pemergian kedua orang tua mereka. Dan dia tidak pernah berada di samping kakaknya itu saat dia diperlukan. Saat ibu mereka meninggal dunia, hanya kakaknya yang berada di sisi ayahnya. Kakaknya itulah yang menjadi penguat semangat walhal kakaknya itu sendiri tidak kuat tetapi dipaksa dirinya demi bapa tersayang. Saat-saat bapanya pergi juga kakaknya bersendirian menguruskan segala hal. Dan setiap kali itulah, dia terlambat. Kepulangannya untuk kali-kali yang terakhir itu hanya disambut oleh jenazah yang telah terbujur kaku.

“ Setiap hari, akak akan sediakan sarapan untuk ayah. Ayah akan jamah juga walaupun selama ini ibu yang menyediakan sarapan untuk ayah. Akak tahu, ayah tak nak akak kecil hati. Tapi, melihat ayah menelan setiap masakan akak menyebabkan hati akak terasa pedih. Akak dapat lihat penderitaan kehilangan ibu di mata ayah. Ayah tak betah hidup tanpa ibu.”

Nur Iman menarik nafas lalu dihembus perlahan.

“ Lepas sarapan, ayah akan bersiap-siap untuk ke pasar. Akak pernah melarang ayah ke pasar tapi ayah degil. Dia berkeras tak mahu akak pergi. Katanya akak tak tahu peniaga mana yang bagus, peniaga mana yang jual dengan harga yang murah tetapi berkualiti. Akak tak boleh buat apa-apa. Tiap-tiap hari macam tu lah. Akak akan tunggu ayah balik daripada pasar. Lepas tu, ayah akan duduk di halaman rumah sambil membaca surat khabar atau mengaji sementara menunggu makan tengahari. Dan lepas tu ayah akan berada di masjid sampailah ke waktu Isyak. Sebulan ayah macam tu. Akak rasa penat sangat. ”

Nur Iman sudah teresak-esak. Dia duduk memeluk lutut. Imran sebak melihat kakaknya seperti itu. Lalu dia memeluk bahu kakaknya. Dibiarkan bajunya dibasahi air mata satu-satunya insan kesayangannya yang masih ada di sisinya.

Nur Iman menghamburkan seluruh tangisnya ke dada Imran. Tidak tertahan lagi dia menanggung kesedihan itu.

“ Diari tu tak pernah lekang dari ayah. Ayah sentiasa membawanya ke mana-mana. Tapi akak tak pernah lagi nampak ayah membuka diari tu. Suatu malam, akak pernah cuba untuk mengajak ayah bercerita. Akak nak kurangkan rasa sedih di hati ayah. Tapi..ayah tak mahu. Akak masih ingat lagi kata-katanya pada akak.”

“ Iman..setiap yang hidup tu memang akan mati. Dan kita yang hidup ni mestilah terus kuat. Rasulullah SAW bersabda, kalau kamu semua memperbanyakkan mengingati perkara yang melenyapkan kelazatan dunia, nescaya kamu akan menjadi sibuk dengan beribadat sepertimana aku melihat kematian. Iman..dah tak ada apa-apa di dunia ini yang mampu memberikan kelazatan dan kegembiraan pada ayah. Biarlah ayah begini sehingga ALLAH datang menjemput ayah untuk bertemunya.”

“ Akak akur dengan permintaan ayah. Akak biarkan ayah sebagaimana yang dia inginkan walaupun terselit rasa risau bila melihat ayah berjalan sendirian setiap hari. Akak risau sesuatu yang tak baik akan berlaku. Ayah dah tua.”

Nur Iman mengesat wajahnya yang penuh dengan air mata. Matanya merenung jauh ke hadapan.

“ Apa yang akak risaukan akhirnya berlaku. Pada hari pemergian ayah, segala-galanya berjalan seperti mana biasa. Ayah bangun pada awal pagi tapi dia berpesan pada akak yang dia tak akan pulang ke rumah hari ini. Dia pesan pada akak supaya memasak untuk diri akak je. Akak tak syak apa-apa. Akak tak sangka maksud ayah untuk tak pulang itu adalah utnuk selama-lamanya.”

“ Tengahari tu, akak ke masjid. Lepas solat berjemaah, akak cari ayah. Akak bawakkan makanan tengahari untuk dia. Akak nampak ayah tengah baca diari pada masa tu. Akak tegur ayah. Pertama kali selepas pemergian ibu, ayah tersenyum pada akak. Senyuman yang tak mungkin akak lupakan sampai bila-bila.”

“ Iman..susah-susah je kamu bawak makanan untuk ayah. Ayah dah makan tadi. Ni ayah tengah baca diari ayah. Rasa rindu pula pada ibu kamu tu. Semua kisah ayah dengan ibu kamu ada ayah catitkan dalam diari ni. Satu hari nanti, ayah nak kamu dan Imran baca, Ya nak?”

“ Akak rasa nak menangis pada masa tu. Dah lama ayah tak senyum dan bercakap semesra tu pada akak. Akak nak temankan ayah tapi ayah suruh akak balik. Dia kata malam nanti dia balik. Jadi akak pun baliklah.”

“ Jam 10 malam, ayah masih tak balik-balik. Akak dah rasa risau sangat masa tu. Biasanya, jam 9.30 malam ayah dah sampai ke rumah. Akak telefon ke rumah jiran-jiran tapi semua orang tak tahu ayah ke mana. Diorang kata, lepas solat isyak ayah terus keluar daripada masjid.”

Imran menggenggam jari-jemari Nur Iman. Kakaknya itu kelihatan sedikit menngeletar pada waktu itu.

“ Masa tu hujan lebat sangat. Akak risau sungguh. Akak sebenarnya takut nak keluar pada masa tu tapi bila fikirkan keselamatan ayah, akak kuatkan hati. Akak redah hujan pergi ke masjid tapi tak ada sesiapa dah kat situ. Akak tak tahu nak cari ayah ke mana.Ada 2 3 orang kampung yang ikut sama tolong akak pada masa tu.”

Nur Iman menelan air liurnya.

“ Akak teringat yang ayah kata ayah rindukan ibu. Hati akak kuat mengatakan yang ayah ada di tanah perkuburan. Akak berlari ke sana. Mengingatkan ayah seorang diri dan basah kuyup buat akak rasa takut. Akak takut sesuatu yang buruk terjadi pada ayah.”

“ Tapi..ALLAH lebih sayangkan ayah daripada kita sayangkan ayah, Im. Bila akak sampai, akak nampak ayah tengah peluk batu nisan emak dalam keadaan kepalanya menyembam tanah kubur. Akak berlari dan terus peluk ayah. Akak tahu ayah dah pun tinggalkan kita pada masa tu. Diari ayah pun ada dalam pelukan ayah pada masa tu.”

“ Malam tu juga orang-orang kampung sempurnakan jenazah ayah. Akak dah tak mampu buat apa-apa pada masa tu. Akak cuma peluk diari ayah sampailah Im sampai tengah malam tu.”

“ Maafkan Im sebab lambat, kak. Sepatutnya Im ada di sisi akak dan ayah pada masa tu. Maafkan, Im.”

“Sudahlah, Im. Tak guna menyalahkan diri. Ini takdir ALLAH. ALLAH tahu apa yang terbaik untuk kita semua. Akak yakin, ayah lebih gembira sekarang ni. Akak sendiri tak sanggup tengok ayah teruskan kehidupannya macam tu. Kalau memang kematian itu lebih baik, kita harus redha.”

Imran mengangguk kepalanya perlahan. Dia menyeka air mata yang masih bersisa di wajahnya. Sekilas dia membaca warkah terakhir bapanya itu. Walaupun sudah kotor terkena lumpur, tulisannya masih dapat dibaca. Terasa begitu mendalam cinta bapanya terhadap ibunya yang diluahkan melalui warkah tersebut.

“ Akak nak ke dapur sekejap kemaskan apa-apa yang patut. Kamu bacalah diari tu.”

Nur Iman bangkit dari duduknya. Imran membuka halaman selepas warkah tersebut. Terdapat sedikit coretan di bahagian belakang kertas yang tertulis warkah terakhir bapanya itu.

Isteriku..

Aku sangat menyayangimu

Tiada galang ganti kehadiranmu dalam setiap nafasku

Tunggu aku di syurga

Aku akan menyusulmu

22 November 2009

“ Akak..”

Nur Iman yang baru sahaja ingin melangkah keluar daripada kamar tersebut berhenti di muka pintu apabila Imran memanggilnya.

“ Tengok ni..”

Nur Iman menghampiri Imran. Imran menunjukkan coretan ringkas tersebut kepada Nur Iman. Nur Iman menekup mulut dengan telapak tangannya saat dia membaca coretan tersebut.

“ ALLAH..ayah sedar yang dia akan pergi, Im.”



4 comments:

Muhammad Afifi said...

inin ske berangan ^_^

Si Pengemis Iman said...

ape berangan plak..haish~

Anonymous said...

100 meter kot...

Si Pengemis Iman said...

eh,ha'ahlaa..
xpasan lgsung
huhu..mekasih tegur