“ Nak, pakcik tengok muka awak ni lebam-lebam. Kenapa? Anak nak pakcik hantarkan ke klinik dulu tak?”
“ Tak apalah pakcik. Pakcik hantarkan saya ke alamat yang saya bagi tu je. Lagipun, dah lewat malam. Mana ada klinik buka lagi waktu-waktu macam ni.”
“ Baiklah, nak.”
Nur Iman Zawani memandang ke luar tingkap. Pandangannya segelap langit malam yang hitam pekat. Kepalanya disandarkan ke tingkap. Perlahan-lahan matanya tertutup rapat.
‘ Dia penat sangat agaknya. Kenapalah dengan budak ni??’
********************
“ Kau takkan terlepas dari aku, Winnie! Aku akan buru kau ke mana saja kau pergi! Hahaha!!!”
“Tidak!!!!”
Nur Iman Zawani terjaga dari tidurnya. Matanya terbeliak luas. Wajahnya berkeringat. Dadanya turun naik dengan pantas. Nafas dihembus kasar. Mimpinya itu sangat menakutkan. Wajah bengis Duan di dalam mimpinya membuat jantungnya berdegup kencang, hilang rentak yang tenang.
“ Kenapa nak??”
Tiba-tiba muncul seorang wanita tua lalu mengusap rambutnya penuh kasih sayang. Barulah dia tersedar bahawa dirinya berada di sebuah tempat yang sangat asing bagi dirinya. Sebuah kamar kecil yang hanya menempatkan sebuah katil bujang dan sebuah meja. Dindingnya dihiasi dengan bingkai-bingkai berupa ukiran ayat-ayat suci al-quran. Hatinya mula terasa tenang.
Nur Iman Zawani menatap wanita tua yang masih lagi mengusap-usap rambutnya. Wanita itu memandangnya penuh kasih dan simpati.
“ Makcik ni siapa? Saya kat mana ni?”
Mak Semah melemparkan sekuntum senyuman mendengar suara Nur Iman yang terketar-ketar. Sudah lama dia tidak tersenyum seperti itu. Sejak kematian anaknya 5 tahun lalu kerana dirogol dan dibunuh, hidupnya seakan tiada erti. Senyum dan tawa bagai hilang dan pergi bersama jasad anaknya. Dan hari ini, gadis di hadapannya itu membuatnya tersenyum semula.
“ Jangan takut nak, makcik takkan apa-apakan kamu. Kamu kat rumah makcik sekarang ni. Suami makcik yang bawak kamu ke sini semalam.”
“ Suami makcik??”
“ Ya, pemandu teksi yang kamu naik teksinya semalam. Ingat??”
Minda Nur Iman Zawani bekerja keras mengingat semula kejadian semalam. Berkerut-kerut wajahnya.
“ Ingat..tapi kenapa pakcik bawak saya ke sini? Kenapa pakcik tak bawak saya ke alamat yang saya bagi tu??”
“ Sabar, nak. Pakcik bukan sengaja bawak kamu ke sini.”
Nur Iman Zawani terkejut mendengar suara seorang lelaki di belakangnya. Pemandu teksi semalam itu sedang berdiri di muka pintu sambil memandangnya. Pantas tangannya memegang kepalanya. Dia menarik nafas lega apabila sedar dirinya masih bertudung.
“ Masa kamu dah tertidur semalam, pakcik nak hisap rokok. Jadi, pakcik bukakla tingkap. Tak sangka pulak kertas tu terbang sebaik saja pakcik bukak tingkap. Takkanlah pakcik nak berhenti semata-mata nak ambil kertas tu. Kereta banyak kat belakang. Pakcik panggil kamu tapi kamu langsung tak menyahut. Jadi, pakcik ambil keputusan bawak kamu ke rumah pakcik. Lagipun, pakcik tengok kamu macam cedera je. Risau juga pakcik dibuatnya.”
Panjang lebar Pak Sudir menerangkan pada gadis di hadapannya itu. Khuatir andai dirinya disalah ertikan.
Nur Iman Zawani terdiam mendengar kata-kata Pak Sudir. Dirinya kini entah di mana. Hendak ke mana dia sekarang? Ke mana lagi arah tujuannya kini? Pulang? Tidak mungkin! Dia tidak mahu lagi melihat syaitan yang meragut kesuciannya itu. Apa yang harus dilakukannya sekarang?? Alamat Kak Dijah juga kini tidak lagi berada di tangannya. Bantu aku, YA ALLAH..
“ Anak ni, nama siapa?”
“ Iman, makcik.”
“ Iman..sedap nama tu.”
“ Iman nak ke mana sebenarnya ni? Ni..muka Iman ni, kenapa lebam-lebam??”
Nur Iman Zawani mendiamkan diri. Dia tidak tahu adakah dia harus berbohong pada kedua insan di hadapannya itu.
“ Tak apalah. Iman pergi mandi dulu. Makcik akan sediakan pakaian dan sarapan untuk Iman. Masa makan nanti, Iman ceritalah pada kami apa yang terjadi. Lepas tu, suami makcik akan hantar Iman ke tempat Iman nak pergi tu. Ye?”
Nur Iman Zawani mengangguk perlahan. Dia buntu kini. Entah apa yang bakal terjadi nanti.
********************
“ Pakcik hantar saya kat masjid depan tu je. Nanti kawan saya datang ambil saya kat situ.”
Nur Iman Zawani berasa bersalah atas pembohongannya itu. Kawan mana yang akan datang mengambilnya? Dia tidak mempunyai kawan. Tetapi dia tidak sanggup untuk menyusahkan dua beranak itu. Keadaan daif keluarga mereka tidak memungkinkan buat dirinya menumpang lama.
“ Betul ni kat sini? Iman yakin kawan Iman datang ambil Iman kat sini?”
Mak Semah memegang erat tangan Nur Iman Zawani. Seakan tidak mahu dilepaskan lagi. Dia sudah jatuh sayang pada anak itu. Ingin sahaja dia meminta Nur Iman tinggal bersamanya.
Nur Iman Zawani tersenyum. Tangan kurus Mak Semah dikucup perlahan. Matanya mula berlinangan.
“ Mak Semah, Pak Sudir..terima kasih banyak-banyak sebab tolong saya. Saya tak mampu nak balas dengan apa-apa. Ni saja yang saya ada. Selebihnya kalau terkurang, hanya ALLAH yang dapat membalasnya.”
Nur Iman Zawani mengeluarkan not RM100 dari dalam beg sekolahnya. Mujur sebelum keluar rumah dia ada membawa sedikit wang saku. Tetapi, hanya itu yang dia ada. Dia nekad untuk memberikan wang tersebut kepada mereka. Bagaimana dirinya selepas itu, dia akan fikirkan kemudian.
“ Eh, tak payahlah susah-susah nak. Kami ikhlas nak bantu kamu. Simpanlah buat belanja.”
Mak Semah menolak lembut pemberian Nur Iman Zawani. Pak Sudir sekadar memerhati.
“ Ambillah Mak Semah. Buat beli makanan. Kalau Mak Semah tak ambil, sampai mati saya rasa bersalah dan terhutang budi. Tolonglah..”
Nur Iman Zawani merayu. Mak Semah serba-salah untuk mengambil wang yang dihulurkan. Namun, melihat wajah sayu Nur Iman itu dia tidak tergamak untuk menghampakan perasaannya.
“ Baiklah, saya pergi dulu. Terima kasih sekali lagi. Assalamu’alaikum.”
“ Wa’alaikumussalam.”
Nur Iman Zawani melangkah keluar dari perut kereta. Perlahan-lahan kereta itu bergerak meninggalkan perkarangan masjid. Rasa sayu mengetuk tangkai hatinya. Walau Cuma sebentar mengenali mereka, ada rasa saying yang mula bercambah di hati. Nur Iman Zawani menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia memandang ke langit. Nun tinggi menjulang tersergam kubah masjid berwarna kuning. Dia nekad untuk menumpang di masjid itu sehinggalah dia bertemu jalan keluar lain. Jalan keluar. Ya, mungkin..ada jalan keluar.
********************
Hampir 2 minggu Nur Iman Zawani menjadi gelandangan di masjid itu. Bahkan pak imam dan beberapa orang penduduk kampong mengetahui tentang kewujudan dirinya yang menumpang makan dan tidur di situ. Bukan tidak pernah dipelawa tinggal di rumah mereka, tetapi Nur Iman Zawani tetap berkeras untuk tinggal di masjid itu sahaja. Tidak mahu menyusahkan katanya. Mujur masjid itu besar dan banyak aktiviti hariannya. Setiap hari ada sahaja insan-insan dermawan yang akan menderma makanan untuk diagihkan. Pendek kata, Nur Iman Zawani tidak pernah berlapar sepanjang tinggal di situ. Bahkan dia mempunyai sebuah bilik kecil untuk dirinya berehat di malam hari. Pada waktu siang, dia mengikuti pelbagai pengajian yang disediakan dan turut membantu mengemas kawasan masjid itu.
Nur Iman Zawani kini sudah mampu membaca muqaddam. Walaupun masih bertatih dan sebutannya juga kurang tepat, dia puas hati kerana akhirnya bisa belajar fardhu ain di masjid itu. Setiap hari, kelas fardhu ain akan diadakan selepas maghrib. Hanya dia satu-satunya orang dewasa yang mengikuti kelas tersebut namun dia tidak peduli semua itu. Asalkan dirinya mampu membaca al-quran satu hari nanti.
“ Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.”
Nur Iman Zawani menggumam perlahan tafsiran daripada surah al-asr itu. Baru kini dia menyedari betapa pentingnya masa itu. Baru kini dia menyedari betapa sia-sia masa lalunya yang selama ini penuh dengan dosa dan noda. Dan baru kini dia menyedari betapa berertinya masa yang diberikan oleh ALLAH kepadanya untuk bertaubat dan mencari kebenaran. Dia mengeluh. Terngiang-ngiang di telinganya bait-bait bicara seorang ustaz dalam sebuah ceramah di masjid itu.
“ Masa itu ibarat pedang. Masa tidak akan pernah menunggu kita. Masa itu harus dikejar kerana ia akan sentiasa berlalu meninggalkan kita. Betapa sia-sianya setiap saat dalam hidup kita ini andai tidak dimanfaatkan untuk kebenaran. Betapa ruginya manusia yang menggunakan masanya untuk melakukan kejahatan. Syeikh Ibnu ‘Athaillah berkata: apa yang telah luput dari umurmu itu tidak akan ada ganti baginya dan apa yang telah berjaya bagimu daripada umurmu itu tidak ternilai harganya.”
“ Iman..”
Nur Iman Zawani tersedar dari lamunannya apabila mendengar namanya dipanggil seseorang. Pantas dia menoleh. Pak Hasyim yang merupakan iman besar masjid itu tersenyum memandangnya.
“ Ye, pak imam.”
“ Malam ni, ada pengajian untuk orang-orang pencen kat masjid ni. Jadi, pakcik nak Iman tolong bantu makcik-makcik tu memasak petang ni. Boleh ye?”
“ Boleh, pak imam. InsyaALLAH.”
“ Pakcik nak keluar beli barang dulu. Assalamu’alaikum.”
“ Wa’alaikumussalam.”
********************
“ Iman, tolong akak kacau gulai nangka ni sekejap. Akak nak ke tandas. Tak tahan sangat dah ni!”
Nur Iman Zawani segera berhenti mengupas bawang lalu segera menghampiri Kak Sumayyah yang tadinya sedang memasak gulai lemak nangka. Wanita beranak 3 itu sudah meninggalkan kerjanya untuk ke tandas. Nur Iman Zawani mengambil senduk lalu gulai yang sedang menggelegak itu dikacau perlahan. Aromanya terasa menusuk ke hidung. Bau cili api membuatkannya ingin terbersin. Tekaknya tiba-tiba terasa loya melihat dan menghidu bau gulai tersebut. Perutnya mual. Dia menutup mulut dan hidungnya. Mungkin kerana selama ini dia tidak pernah terdedah dengan masakan sebegini.
“ Huh, lega. Hihi..eh, Iman..kamu ni kenapa? Pucat semacam je akak tengok. Penat? Kalau penat pergilah berehat dulu.”
Nur Iman Zawani berpaling menatap Kak Sumayyah. Wanita itu tidak berkelip mata memandangnya.
“ Tak adalah, kak. Iman ok je. Iman pergi sambung kerja Iman balik ye.”
Nur Iman Zawani tersenyum lalu melangkah pergi. Langkahnya perlahan dan tidak seimbang. Dunianya terasa berputar. Kakinya seakan tidak berpijak di bumi. Sayup-sayup dia mendengar suara melaungkan namanya.
“ YA ALLAH! Iman!!!”
3 comments:
1st reader..1st comment ;)
penulisan yang baik, ada bkat..
tp adoyai... banyak sgt la palk.. malas nk baca.. hm...
btw.. penulisan yg baik..
uuh ^_^ k iman,
biar sekadar taipan pink,
penulisan k iman benar mmbawa k dalam citer ni...
bezt 5 star..
lagi2..next..
Post a Comment