Thursday, April 21, 2011

Menjaga Hati

Bukan 'Menjaga Hati' nyanyian Yovie dan Nuno ye tapi 'Jagalah Hati' nyanyian kumpulan nasyid Snada. Hihi..(^_^)

Jagalah hati jangan kau kotori
Jagalah hati lentera hidup ini
Jagalah hati jangan kau nodai
Jagalah hati cahaya illahi

Bila hati kian bersih, pikiran pun kian jernih
Semangat hidup kan gigih, prestasi mudah diraih
Namun bila hati busuk, pikiran jahat merasuk
Ahlak kian terpuruk, jadi mahluk terkutuk

Bila hati kian suci, tak ada yang tersakiti
Pribadi menawan hati, ciri mukmin sejati
Namun bila hati keruh, batin selalu gemuruh
Seakan dikejar musuh, dengan Allah kian jauh

Bila hati kian lapang, hidup sempit tetap senang
Walau kesulitan datang, dihadapi dengan tenang
Tapi bila hati sempit, segalanya makin rumit
Seakan hidup terhimpit, lahir batin terasa sakit


Meniti setiap bait lirik lagu ini membuat saya terfikir tentang keadaan hati saya sendiri? Apa khabarmu wahai hatiku? Adakah kau sakit atau sihat? Adakah cukup makanan rohani yang aku berikan untukmu? Bagaimana dengan hati anda??



Rasulullah bersabda:

"Sesungguhnya dalam diri setiap manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggotanya. Dan jika daging itu rosak maka rosaklah seluruh anggotanya. Daging yang dimaksudkan ini adalah HATI" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut para ulama', hati terbahagi kepada 3 jenis:

1. Hati yang sahih (qalbun sahih)
Bermaksud hati yang suci, bersih dan bebas daripada segala gangguan yang menyebabkan terhalangnya manusia melaksanakan perintah Allah s.w.t

2. Hati yang mati (qalbun mayyit)
Bermaksud mereka yang memiliki hati yang degil dan ego untuk menyembah Allah Taala. Manusia jenis ini bekerjasama atau sekutu bagi syaitan dan nafsu.

3. Hati yang sakit (qalbun maridh)
Bermaksud hati yang masih mempunyai kehidupan tetapi hatinya ada benih-benih penyakit. Kadangkala mereka hidup sihat berpandukan iman tetapi ada kalanya mereka mengutamakan nafsu yang menggila.

Yang mana satu hati anda??(^_^)

Apa yang terjadi kepada hati yang telah rosak??

Hati yang rosak akan dihinggapi pelbagai jenis penyakit dan virus yang perlu diubati dengan segera. Bukan hanya wajah dan tubuh badan yang memerlukan penjagaan yang rapi bahkan hati juga memerlukan ubat, foundation dan segala macam mekap untuk memperindahkannya.

Hati yang rosak akan menyebabkan kita tidak merasa bersalah melakukan dosa bahkan seronok! Dosa yang dilakukan seolah-olah sesuatu yang biasa dan normal bahkan lidah dan anggota lain menjadi peguam bela buat dosa yang dilakukan seandainya ada insan yang menegur.


Kata Sheikh Ibn Ata'illah:

"Sebahagian daripada tanda matinya hati iaitu jika tidak berasa sedih kerana tertinggalnya suatu amalan kebaikan, juga tidak menyesal jika berbuat sesuatu dosa"


" Kau nak tahu, budak tu kan gini gini gini. Dahlah gitu gitu"
(mengumpat macam makan nasi)

"Eh, apsal kau sibuk fasal aku? Bukannya aku tak menutup aurat. Ni tengok..aku pakai tudung, baju lengan panjang, legging pun panjang! So, apa masalahnya??"
( ish3..lidah membela dosa yang sengaja dilakukan)

Bila hati seronok melakukan dosa, ianya petanda hati sedang sakit. Lalu bagaimana untuk mengubatinya?? Kalau batuk, makan ubat batuk cap Ibu dan Anak. Kalau pening, telan Panadol. Kalau muka berjerawat, tonyoh mekap. Kalau hati sakit??

Kata Iman Ghazali:

"Carilah hatimu di 3 tempat. Cari hatimu sewaktu membaca al-quran. Jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui,juga carilah hatimu ketika kau duduk bertafakur mengingati mati. Jika tidak kau temui juga, maka berdoalah kepada ALLAH, mintalah hati yang baru kerana hakikatnya pada masa itu kau tidak lagi mempunyai hati."

Itulah kaedah yang diajar oleh Imam Ghazali. Jom kita tela'ah bersama.

-Membaca Al Quran

"Diturunkan kepadamu al-quran sebagai petunjuk dan rahmat serta penawar....." ( al-isra' ayat 82 )



ALLAH berdialog dengan kita melalui al-quran. DIA sendiri yang mengkhabarkan kepada kita bahawa al-quran itu adalah penawar. Maka, bacalah al-quran dan hayatilah nasihat-nasihat ALLAH kepada kita. Bila kita mempunyai masalah, kita mencari sahabat, kita mencari ayah dan ibu, kita mencari kaunselor untuk mendengar masalah kita dan membantu serta menasihati kita. Jadi, tidak salah jika hati kita yang bermasalah ini menerima nasihat dari ALLAH iaitu sahabat, ibu dan ayah serta kaunselor terhebat seantero dunia.

Al-quran itu umpama telefon bimbit kita. Sehari tak tengok telefon, tak tengok mesej, tak telefon kawan..porak-peranda dunia kita. Resah semacam. Segala macam kerja tak boleh buat. Begitulah juga sepatutnya sikap kita terhadap al-quran.

-Mendirikan solat

Jika al-quran merupakan dialog ALLAH kepada kita, maka solat merupakan dialog kita kepada ALLAH. Kata seorang ulama' bernama Al-Hakim:

" Jika kamu ingin ALLAH bercakap denganmu, maka bacalah al-quran kerana al-quran ialah ayat-ayat ALLAH yang ditujukan kepadamu. Dan jika kau pula ingin bercakap denganNYA, maka dirikanlah solat kerana hakikatnya solat itu adalah doa, pengaduan, pujian dan rintihan seorang hamba kepada ALLAH"



Solat adalah doa. Doa adalah permintaan. Maka mintalah pada ALLAH agar DIA menyembuhkan hatimu. Hati yang sakit akan sembuh dan tenang apabila ianya disandarkan pada satu kuasa. Ibarat kita sakit perut, kita akan mengaduh. Siapa yang kita sebut? ALLAH bukan?

"YA ALLAH..sakitnya perut aku"

Walaupun sakit perut tak hilang tetapi rasa lega itu ada kerana DIA mendengar. Contoh lain, apabila bermasalah kita memerlukan seorang insan untuk mendengar masalah kita. Begitulah juga dengan hati yang memerlukan ALLAH untuk menghadapi masalahnya.

-Mengingati mati

Mengingati mati adalah satu cara yang membawa hati kita kembali kepada fitrahnya iaitu mencintai kebaikan. Ini kerana dengan mengingati mati, hati kita akan menangis kerana takut dan gerun serta menyesal dengan dosa-dosa yang pernah dilakukan.



Insan yang tidak menangis saat dirinya dihidangkan dengan suasana maut adalah insan yang tidak lagi mempunyai hati nurani. Dia ada seketul hati tetapi nuraninya tidak lagi bernyawa kerana diselubingi dengan gelapnya dosa. Nauzibillah..semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang mempunyai hati yang suci dan bersih. Amin..(^_^)




1 comment:

Anonymous said...

Macam mana pulak kalau orang muslim tu baik je, takdekla ngumpat hasad dengki ke ape. Tapi dia tak solat. Hmmm