Sepasang burung pipit sedang memadu kasih sambil melagukan zikir cinta kepadaNYA. Ditemani sang bayu yang menghembus lembut membawa aroma rindu pada ILLAHI. Nur Iman leka menikmati keindahan ciptaanNYA itu. Dia sedang duduk sendirian di taman mini di halaman rumahnya. Suasana petang itu benar-benar menghadirkan ketenangan ke dalam dirinya.
3 hari yang lepas dia dibenarkan pulang ke rumah. Kecederaannya juga sudah hampir pulih tetapi dia masih perlu berhati-hati dan tidak melakukan apa-apa pekerjaan berat yang akan membantutkan proses penyembuhannya. Mujurlah dia bekerja sendiri, maka tidak menjadi masalah buatnya untuk bercuti lama. Urusan butiknya diserahkan kepada pekerjanya buat sementara waktu.
“ Assalamu’alaikum..”
“ Wa’alaikumussalam..”
Nur Iman menoleh ke arah pagar utama rumahnya. Kelihatan sebuah kereta di hadapan rumahnya dan Fauzi sedang tercegat memandang dan tersenyum ke arahnya. Bibirnya mengukir senyuman nipis buat tunangnya itu. Di dalam kereta, dia dapat menangkap kelibat seseorang yang turut memandang ke arahnya. Pantas pandangannya dilarikan. Pagar rumah terbuka secara automatik. Kelihatan ayahnya sedang tersenyum ke arah Fauzi di pintu rumahnya. Pantas Nur Iman melangkahkan kakinya masuk ke dalam rumah.
Fauzi sekadar mampu memandang sikap dingin Nur Iman terhadap kedatangannya. Hati lelakinya terusik. Berapa lama lagi dia harus menunggu untuk Nur Iman menerima kehadiran dirinya sebagai sebahagian daripada hidup Nur Iman. Kadangkala nafsu menguasai dirinya, meminta hatinya agar membatalkan pertunangan mereka dan mencari wanita lain yang ingin menerima dirinya. Tetapi, hati kecilnya menegah, meminta dirinya bersabar dan yakin bahawa sikap Nur Iman akan berubah setelah mereka menikah. Buat seketika tadi, hatinya berbunga-bunga menerima sekuntum senyuman mesra dari Nur Iman tetapi ianya sekejap cuma kerana dengan segera Nur Iman melarikan dirinya. Dia buntu. Apa lagi yang harus dia lakukan untuk mengikat hati mujahidah agama itu dengannya.
“ Zi, kenapa tercegat lagi kat luar tu? Marilah masuk.”
Fauzi tersedar dari monolognya. Pantas sebuah senyuman diukir lalu dia melangkah masuk ke dalam rumah bakal mertuanya itu.
“ Assalamu’alaikum, pakcik. Pakcik apa khabar?”
“ Alhamdulillah, nak. Pakcik sihat? Eh, kawan kamu tu nak ke mana? Tak masuk dulu?”
Fauzi menoleh lalu mengangkat tangannya ke arah Amir yang berada di dalam kereta. Encik Zaki turut mengangkat tangannya. Perlahan kereta tersebut mengundur dan menghilang dari pandangan mereka.
“ Tu Amir. Dia tak sempat nak singgah. Ada kerja katanya. Dia kirim salam pada pakcik sekeluarga.”
Nur Iman muncul sambil menatang dulang berisi jag air, gelas dan sepiring karipap.
“ Abi, Fauzi, kot iye pun nak berborak, duduklah. Macam dah tak ada kerusi je nak duduk.”
Encik Zaki dan Fauzi tersenyum mendengar ulah Nur Iman.
“ Iyelah, Zi. Pakcik pun lupa dah. Hah, jemputlah duduk. Iman, kamu pun duduk sekali dengan kami.”
Nur Iman sekadar menurut arahan ayahnya. Sememangnya ada sesuatu yang ingin dia bincangkan dengan tunangnya itu. Rancak sekali perbualan antara ayahnya dan Fauzi. Seolah-olah dirinya tidak wujud di situ. Dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk mencelah perbualan mereka. Sudahnya, dia sekadar menjadi pemerhati dan pendengar setia.
“ Iman, hai..kamu ni diam je. Biasanya mulut kamu tu yang paling banyak berceloteh dalam rumah ni. Si Fauzi ni datang kamu jadi bisu, ya?”
Nur Iman sekadar tersengih.
“ Mana ada, abi ni..Emm, abi..Iman ada benda nak bincang dengan Fauzi kejap.”
Encik Zaki tersenyum tawar. Mengerti maksud anak kesayangannya itu. Semalam, Nur Iman telah pun mengkhabarkan hasratnya itu. Anaknya itu sudah dewasa. Dia enggan melarang keinginan anaknya itu. Yakin bahawa Nur Iman mampu membuat keputusan yang terbaik.
“ Iyelah, kamu berdua berbincanglah. Zi, pakcik masuk dalam dululah, ya.”
Encik Zaki mengangkat punggung dari bangku yang didudukinya. Sekilas dia memandang Nur Iman dan bakal menantunya, Fauzi. Wajah tua itu berkerut seribu. Sejak dulu, dia seakan tidak dapat melihat keserasian antara mereka berdua tetapi dia akur apabila Nur Iman akhirnya menerima pinangan Fauzi. Kakinya melangkah masuk meninggalkan mereka.
Suasana sepi. Fauzi kekok apabila ditinggalkan berdua dengan Nur Iman. Nur Iman pula tidak tahu bagaimana untuk dia memulakan bicara.
“ Ana..”
Serentak bibir mereka meluahkan kata yang serupa. Sekali lagi, suasana sepi. Nur Iman enggan lagi membuka mulutnya. Membiarkan Fauzi yang memulakan bicara antara mereka.
“ Emm..Iman sihat? Macam mana dengan kecederaan Iman?”
“ Alhamdulillah, ana sihat. Kecederaan ana pun dah nak pulih. Cuma ana tak mampu buat kerja berat lagi sekarang ni. Takut bagi kesan pada proses pemulihan.”
Fauzi mengangguk. Kata ganti diri ‘ana’ yang digunakan oleh Nur Iman itu membuatnya terasa jauh dengan Nur Iman. Tetapi itu permintaan Nur Iman agar sebelum mereka menikah, kata ganti diri ‘abang’ dan ‘Iman’ tidak perlu digunakan. Dia akur tetapi dia tetap memanggil Nur Iman dengan namanya.
“ Emm..tadi Iman kata ada sesuatu yang nak dibincangkan dengan ana. Apa dia?”
Nur Iman menelan air liur. Kerongkongnya seakan tersekat. Dia berasa ragu sama ada ianya harus diluahkan ataupun tidak. Dia tidak ingin melukakan hati pria yang berada di hadapannya itu. Fauzi terlalu baik untuk disakiti hatinya. Tetapi, dia tetap harus mengkhabarkannya. Dia butuh waktu yang lebih panjang untuk menenangkan hatinya sebelum hari pernikahan mereka.
“ Emm..ana, ana..”
Fauzi tersenyum melihat Nur Iman yang gugup di hadapannya.
“ Kenapa ni, Iman?”
Bergetar hati Nur Iman mendengar pertanyaan lembut dari Fauzi. Sungguh! Fauzi lelaki yang sangat baik. Tidak sanggup rasanya untuk dia mengkhabarkan perkara tersebut. Nur Iman berdehem perlahan. Mencari ketenangan di sebalik keresahan hatinya.
“ Ana harap, akhi tak tersinggung dengan permintaan ana. Ana tak ada niat nak lukakan hati akhi. Tapi, ana rasa inilah yang terbaik untuk kita buat masa ni. Ana harap akhi boleh terima apa yang bakal ana katakan ni.”
“ InsyaALLAH, ana bersedia. Katakanlah..”
Nur Iman menarik nafas panjang mencari kekuatan untuk meneruskan bicaranya. Tangannya saling menggenggam untuk menyembunyikan keresahannya.
“ Ana nak tangguhkan pernikahan kita!”
Tersentak Fauzi dengan permintaan Nur Iman itu. Hatinya bagaikan ditoreh dengan sebilah pisau yang tajam. Disiat-siat menjadi kepingan-kepingan kecil. Nurani lelakinya tersentuh. Sungguh dia tidak menyangka Nur Iman akan membuat permintaan sedemikian. Pantas bibirnya melagukan istighfar. Disabarkan hatinya yang kecewa. Ditenangkan jiwanya yang merana. Gadis di hadapannya itu tunduk memandang lantai.
“ Kenapa?”
Nur Iman mengangkat wajahnya mendengar pertanyaan Fauzi. Pertanyaan itu sepatah cuma. Cukup untuk menggambarkan betapa hati Fauzi terluka dengan permintaannya. Tetapi dia tetap tekad. Dia tidak ingin membina sebuah mahligai kasih yang disulami dengan rasa tidak ikhlas dan terpaksa. Dia tidak ingin mereka menyesal di kemudian hari.
“ Maafkan ana. Ana bukan sengaja melukakan hati akhi. Tapi, ana perlu menenangkan diri ana lebih-lebih lagi selepas insiden ini. Ana perlukan waktu. Ana tak ingin rumah tangga yang bakal kita bina nanti terasa hambar. Ana.. ana bukan nak batalkan pernikahan kita. Ana cuma minta untuk ditangguhkan je.”
Fauzi melepaskan keluhan.
“ Dah beritahu pada keluarga Iman?”
Nur Iman mengangguk. Dia berasa gerun mendengar suara Fauzi yang tegas. Tiada lagi kelembutan dan tiada lagi senyuman untuk dirinya.
“ Baiklah, ana terima keputusan Iman kalau itu yang Iman mahukan. Ana akan khabarkan pada orang tua ana nanti. Ana minta diri dulu. Assalamu’alaikum.”
Belum sempat Nur Iman menjawab salamnya, Fauzi terlebih dahulu melangkah kakinya keluar. Tidak sanggup lagi rasanya dia berlama-lama di rumah itu. Khuatir dia tidak dapat menahan rasa kecewa dan terluka di hatinya.
Nur Iman hanya mampu memandang kosong ke arah Fauzi. Ada rasa bersalah yang bersarang di hatinya kini. Hati wanitanya yang mudah tersentuh menyebabkan ada mutiara jernih yang mengalir keluar dari kelopak matanya.
“ Wa’alaikumussalam..maafkan Iman, Fauzi.”
* * *
“ Dah selesai ke?”
Doktor Zulkifli mengangguk dan tersenyum kepada pesakitnya itu. Di tangannya terdapat sebuah fail yang mengandungi segala maklumat peribadi dan maklumat tentang penyakit yang dihidapi oleh pesakitnya merangkap sahabat baiknya itu.
“ Alhamdulillah, dah selesai. Kita akan tahu keputusannya dalam masa 3 hari. Berdoalah kepadaNYA. Semoga keadaan kau akan bertambah baik.”
Amir tersenyum hambar. Sudah beberapa kali dia menjalani diagnosis di hospital sahabat baiknya itu semasa belajar di USIM dahulu. Setiap kali juga, keputusan yang diterima menunjukkan kondisi dirinya semakin buruk. Penyakit barah otak yang dihidapi sejak kecil itu kini telah mula menyerang secara serius.
“ Aku ada berapa bulan lagi, Zul?”
Doktor Zulkifli terdiam mendengar pertanyaan Amir. Sebagai doktor pakar dalam menangani pesakit barah, dia sangat mengerti kondisi sahabatnya itu. Penyakit barah otak yang dihadapi oleh Amir sudah pun berada di tahap terakhir. Berdasarkan pengalamannya, pesakit barah tahap terakhir hanya mampu bertahan selama beberapa bulan sahaja. Tetapi, dia sangat kagum dengan semangat dan tekad sahabatnya itu. Sejak mengetahui kondisi dirinya, Amir telah bertahan selama setahun, lebih daripada jangkaannya.
“ ALLAH yang menentukan hidup mati hambaNYA. Bertawakallah kepadaNYA.”
Amir beristighfar. Menyedari kekhilafan dirinya yang menyandarkan sesuatu yang tidak pasti di tangan seorang yang bergelar insan. Dia redha dan pasrah dengan takdir yang menimpa dirinya itu. Dia mencuba sedaya upayanya untuk merasa ikhlas dengan dugaan yang diterimanya.
Dia lah permata yang dicari selama ini baru ku temui..
Pantas Amir mengangkat panggilan telefon yang diterimanya. Dia terlupa untuk menukarkan telefon bimbitnya ke mode senyap ketika berada di dalam kawasan hospital.
“ Wa’alaikumussalam, hah..Zi? Kenapa? Balik dah? Ohh..ok, kau tunggu aku kat sana? Dalam 15 minit lagi aku sampai.”
Suara Fauzi yang kedengaran lemah dan tidak bersemangat itu menghairankan Amir. Baru sebentar tadi dia menghantar sahabatnya itu ke rumah bakal mertuanya dan Fauzi kelihatan sangat gembira dan bersemangat.
“ Amir, kau perlu banyak bersabar. Aku sebagai sahabat kau akan cuba sedaya upaya untuk membantu kau. Kes macam kau ni jarang berlaku. Jarang sekali ada pesakit barah tahap terakhir yang berjaya bertahan lebih daripada setahun. It’s a miracle aku masih boleh berborak dengan kau hari ni.”
“ Manusia hanya merancang kan? Tak apalah, aku nak minta diri dulu. Ada hal lagi lepas ni. Apa-apa pun, terima kasih banyak-banyak. Kau dah banyak bantu aku. 3 hari lagi, insyaALLAH aku datang. Assalamu’alaikum.”
“ Wa’alaikumussalam.”
Doktor Zulkifli memandang sayu ke arah Amir. Sahabatnya itu kini kelihatan semakin susut tubuhnya mungkin kesan dari penyakit yang dihidapinya. Wajahnya juga kelihatan pucat tetapi ada cahaya semangat di wajah itu. Dia akan memberikan yang terbaik untuk membantu Amir.
* * *
“ Minta tangguh?? Sebab??”
Fauzi menggeleng lemah. Sebak hatinya sudah tidak tertahan. Dia menceritakan segala-galanya kepada Amir. Dia tak tertanggung lagi rasa kecewa itu sendirian.
“ Aku pun tak tahu kenapa dia tiba-tiba buat keputusan macam tu. Apa salah aku?? Kenapa dia buat aku macam ni? Lama aku tunggu dia, Mir.”
Amir memegang kuat kepalanya. Sakit kepala terasa mencengkam. Perasaan bersalah menguasai dirinya. Dirasakan dirinya menjadi punca kepada keputusan yang diambil oleh Nur Iman. Kemunculannya semula ke dalam hidup gadis itu membawa kesan yang buruk kepada sahabatnya sendiri.
“ Kau tak cuba pujuk dia?”
“ Pujuk macam mana? Dia dah buat keputusan. Aku pun tak nak paksa-paksa dia. Dia ada hak untuk memilih. Lagipun, aku memang tahu selama ni dalam hatinya ada pemuda lain. Tapi aku yang tetap berdegil untuk cuba memikat hati mujahidahnya tu.”
“ Bersabarlah..insyaALLAH ada hikmah di sebalik setiap apa yang berlaku ni. Mungkin inilah peluang kau dan dia untuk sama-sama muhasabah diri.”
Amir menepuk-nepuk belakang sahabatnya itu. Dalam benak fikirannya mula merencana sesuatu agar hubungan Fauzi dan Iman kembali bersatu. Dia akan pergi, ya..dia akan pergi jauh dari mereka.
1 comment:
Assalamu'alaikum.. menanti episod seterusnya..moga ALLAH memberi idea buat ukhti meneruskan cerpen..
Post a Comment