Thursday, June 9, 2011

Pencari Aris

Bismillahirrahmanirrahim..

Di bawah ini adalah karya seorang gadis, percubaan pertamanya untuk bergelar seorang penulis. Sedang mencari kekuatan untuk menghantar karyanya kepada penerbit, jadi dia memerlukan sedikit komen dan pandangan dari sahabat-sahabat semua. Harap sahabat-sahabat boleh baca prolog novel bertajuk Pencari Aris ini dan tinggalkan sedikit komen serta pendapat. Syukran kathir..

* * *

Gang!!

Pintu yang dihempas kasar memaksa Ayahanda mengangkat wajahnya. Seorang gadis tinggi lampai menyapa pandangannya. Pen yang tadi terpegang kemas di jari diletak perlahan menindih kertas. Segaris senyuman ikhlas menghiasi bibir nipisnya.

“Ada apa..” Tangannya mengurut lembut janggut hitam pekatnya yang sudah mencecah dada. “.., boleh Ayahanda tolong, Ain?” Lembut tutur bicaranya semanis senyumannya.

Ain yang berdiri bertentangan dengan Pengetua barunya menghembus nafas kasar. Hanya sebuah meja yang memisahkan mereka di pejabat sederhana besar ini. Tiada satu bunyi pun berani bersuara seolah-olah memahami situasi tegang ini. Mata dipejam untuk mengawal kemarahan yang kian menyala.

Mata yang tadi terpejam dibuka mempamerkan sepasang mata coklat hazel yang sedikit sempit menandakan empunya masih tersenyum, menunggu butir bicara yang bakal terluah darinya. Mata Ain tidak berkelip melihatkan keikhlasan yang terpamer di mata itu.

“Kau ni siapa?” Tutur Ain tenang.

Ayahanda membetulkan tempat duduk kopiah putihnya di kepala. “Ana, Ayahanda kepada Pencari ARIS..”

Ain tersenyum sinis. Ayahanda konon.. “Kau dengar sini. Aku tak nak cakap benda ni banyak kali.” Ujar Ain tegas. Panggilan ‘Ayahanda’ dan ‘Ana’ hilang begitu sahaja ditelan penipuan di balik manusia bertopengkan malaikat ini. Gigi diketap. “Aku tak kesah kau ni siapa atau apa, tapi jangan harap kitorang akan tunduk..” Nafas dihela kasar. “..dekat permainan bodoh kau ni.”

Habis sahaja ayat itu dituturkan, Ain memalingkan wajahnya. Risau sekiranya penumbuknya melayang tanpa disedari.

“Ain..” Suara garau itu menghentikan langkahnya.

Ain hanya berdiri kaku membelakangi empunya suara itu. Tangannya bergetar menggenggam baju.

“Permainan dah bermula..”

HAMPIR setiap pasang mata membulat melihatkan sekujur tubuh yang sedang mundar-mandir di hadapan mereka. Ada yang ternganga malahan ada juga yang menggigit jari, benar-benar tidak percaya dengan imej yang meniti di mata mereka tika ini.

“How do I look?” Ujar lelaki yang dulu mereka kenali sebagai Ayahanda. Keningnya diangkat sebelah manakala bibirnya menguntum senyuman nakal yang dihadiahkan khas untuk empat puluh satu orang muridnya. Matanya sempat mengerling wajah tenang Mir.

“Mulai hari ni.., korang boleh panggil aku Moosa.” Ujarnya lelaki itu lagi sambil mengusap dagunya yang sudah dicukur licin.

Insyi masih menekup mulutnya manakala Shira sudah memegang dahinya yang terasa panas. Masakan tidak, Ayahanda mereka sudah bertukar rupa! Dari wajah yang diibaratkan bak malaikat bertukar ke wajah syaitannirrojim! Janggut hitam pekatnya, kopiah yang sentiasa tergantung di kepala, jubah yang tersarung di tubuh, senyuman ikhlas yang sentiasa menghiasi wajah putih bersih itu.., semuanya hilang ibarat debu. Yang berdiri kini di hadapan mereka, seorang pemuda berambut panjang dengan gaya ala-ala pelakon jepun dengan subang mengelilingi cuping telinga, rantai dan gelang besi membalut tangan dan leher, dan seluar yang koyak di bahagian lutut.

Marhamah menelan air liur menyaksikan keajaiban alam itu. Matanya langsung tidak berkelip. Jika dulu apabila melihat wajah Pengetuanya itu, dia akan teringat Tok Wannya di kampung, tetapi kini dia akan terbayangkan wajah peragut, perogol, penyangak versi bawah umur..

“Lekla.., takyahlah takjub sangat..” Teguran Moosa mengejutkan lamunan Marhamah diikuti tawanya bergema meredah langit.

“Ok, ok..” Moosa berdehem. Jari kiri diangkat ke udara dan serentak itu, orang berkot hitam yang tadi hanya berdiri kaku mengelilingi mereka, bergerak menghampiri pelajar puteri.

Setiap pelajar puteri diberikan plastik kecil berisi kain putih. Izzati cuak menyebabkan plastik di tangannya terlepas jatuh sekaligus menyingkap isi di dalamnya. Mir menunduk membantu Izzati yang sudahpun kelihatan pucat itu. Kain putih yang tersadai di tanah diambil.

Mir mengangkat kening. “Ni kan.., tudung?” Gumam Mir sendiri sementara orang berkot masih cekap menjalankan tugas mereka. Mir menyengetkan kepalanya. Ada sesuatu yang berbeza dengan tudung yang kini tergantung di tangannya. Mata dikelip beberapa kali. Wajah yang tadi hairan berubah bengis. Matanya diangkat menikam wajah Moosa yang sedang mencangkung. Tak guna!!

“From today onwards, aku nak korang..” Mata liarnya mengerling wajah tegang Mir sebelum beralih ke wajah lain. “..cabut selimut tu.”

1 comment:

Jay Saja said...

subhanAllah, menariknya prolog! lain daripada yang lain dan tak dapat nak dibayangkan jalan ceritanya. semoga dipermudahkan laluan ye? :)

tak ada versi softcopy ke? kut2 la nak kongsi. menarik!