Friday, July 20, 2012

Catatan Ramadhan 2012(1)

Malam 1Ramadhan 1433H


" Uuuiikk..da penuhla parking!Baru je azan." Intan mengomel sendirian.

" Biasalah tu, hari pertama." Kata si ayah. " Dah, jom."

Si ayah bersama-sama 4 orang anak gadisnya itu sama-sama membuka pintu kereta. Masing-masing sudah siap bertelekung.

" Eh, solat dah mulalah. Cepat-cepat!"

Berlari-lari anak sekeluarga itu menuju ke surau kecil di taman perumahan mereka. Kelihatan ramai yang baru sampai tetapi saf sudah penuh bahkan ada yang terpaksa solat di luar. Subhanallah..inilah fenomena hari pertama di bulan Ramadhan.

" Kak Iman,penuhlah. Macam mana nak solat ni?" Si kecil Insyirah bertanya sambil menggaru-garu kepalanya.

" Tak apa lah,kita solat kat luar je."

Masing-masing tidak membantah bicara Iman. Mereka solat di luar surau. Terasa sejuk di dahi saat bersentuhan dengan lantai marmar tanpa berlapik sejadah.

" Assalamu'alaikum warahmatullah, assalamu'alaikum warahmatullah."

Alhamdulillah..selesai sudah solat isyak pertama di bulan Ramadhan tahun ini. Sebaik sahaja selesai solat, berpusu-pusu anak-anak kecil keluar daripada saf. Tidak sempat menunggu imam membaca doa. Masing-masing sudah ada perancangan lain di luar surau untuk bermain bersama teman-teman mereka. Ibu-ibu dan bapa-bapa yang hadir sekadar menggelengkan kepala. Tidak mampu melarang. Memang begitulah suasananya di surau pada bulan Ramadhan. Meriah dengan anak-anak kecil yang asyik bermain di luar surau.

Saat solat tarawih dimulakan, anak-anak kecil yang asyik bermain itu segera masuk semula ke dalam saf. Alhamdulillah, biarpun masih kecil mereka punya keinginan untuk solat. Semoga mereka semua menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. 

Setelah solat terawih sebanyak 4 rakaat yang pertama, sebahagian kecil jemaah terus pulang. Mungkin ada hal lain yang lebih mendesak. Tok iman megambil tempat untuk memulakan tazkirah.

Iman dan adik-adiknya yang berada di luar asyik menjenguk-jenguk ke dalam mencari ruang utnuk masuk. Ternyata masih penuh. Mereka sekadar duduk di luar. Suasana di luar surau sangat riuh rendah. Ada yang bermain police entry, ada yang bermain gasing dan macam-macam lagi.

" Tak dengarlah, Kak Iman duduk luar ni. Tak boleh fokus. Budak-budak ni bising sangat." Intan mengomel lagi.

" Nak buat macam aman. Dah penuh. Lain kali kita datang awal sikitla. Duduk je lah kat luar hari ni."

Tok imam memulakan tazkirah dengan kata-kata pujian kepada ALLAH. Mereka yang berada di luar surau kehilangan fokus. Terlalu bising. 

Iman duduk memeluk lutut di sebelah adik-adiknya. Matanya fokus menatap si penceramah tetapi hati dan pemikirannya tidak dapat memberi fokus sepenuhnya lantaran suasanan yang terlalu bising. Dia mengeluh perlahan.Sedikit sahaja yang dapat diambil daripada tazkirah malam itu.

Tazkirah malam pertama Ramadhan berkisar sikap-sikap orang melayu Islam yang terlampau taksub dengan solat terawikh padahal solat fardhu mereka itu banyak yang berlubang di sana sini. Padahal solat fardhu itu wajib dan solat terawikh itu sunat. Yang wajib mereka tinggalkan, yang sunat mereka sibuk tunaikan. Tetapi, memang itulah yang kerap terjadi di bulan Ramadhan. Solat fardhu sering mereka lupakan tetapi solat terawikh wajib di masjid! 
Selesai tazkirah, solat terawikh disambung semula dan diikuti solat witir 3 rakaat. Alhamdulillah, selesai sudah solat terawikh pertama untuk Ramadhan 1433H.

No comments: