Saturday, April 17, 2010

Aku berjalan..


Saat aku berjalan di sebuah taman, aku benar-benar terpesona dengan keindahan ciptaan ILLAHI ini. Bunga-bunga berkembang mekar..burung-burung berterbangan bebas..dedaunan jatuh berguguran ditiup angin semilir yang lembut menapar wajah. Aku menarik nafas..dalam. Subhanallah..adakah masih ada peluang untukku menikmati ciptaanMU ini lagi?



Aku berjalan dan terus berjalan..mataku menangkap kelibat anak-anak kecil yang sedang berlari mengejar si rama-rama. Spontan bibirku mengukir senyuman. Comel sungguh anak-anak ini. Wajah mereka suci tanpa dosa dan noda. Berhampiran mereka, ada 2 orang insan yang ku kira orang tua mereka yang sedang leka memerhatikan anak-anak kecil itu bermain.

Aku teruskan perjalananku. Aku berjalan dengan sangat perlahan. Aku ingin menikmati suasana indah ini. Tiba-tiba..pandanganku tertumpu pada sepasang anak muda yang sedang duduk berdua dibelakang sebuah pohon rendang. Agak tersorok dari pandangan orang ramai. Kakiku masih terus melangkah. Semakin lama semakin menghampiri mereka. Dan..astaghfirullahal'azim! Segera ku alihkan pandanganku. Aku terkesima. Kakiku kaku. Lidahku kelu. Adakah ini bakal pewaris masa hadapan? Adakah anak-anak muda yang sedang leka diulit impi indah dunia ini yang akan memimpin negara dan AGAMA?? ALLAH~ Sesak nafasku seketika. Mereka masih tidak sedar akan kehadiranku. Masih asyik dengan drama mereka. Aku cuba bersangka baik. Mungkin mereka suami isteri. Tetapi, walaupun sudah menjadi suami isteri tidak sepatutnya perilaku-perilaku seperti itu dilakukan di kawasan umum. Apa yang harus aku lakukan? Untuk menegur, aku tidak punya cukup kekuatan. Aku hanya mampu membentak di dalam hati. Dan akhirnya aku berlalu sabil berdehem dengan sekuat hatiku. Sengaja. Harapanku agar mereka tersedar. Dan ya..mereka tersedar. Lantas terus terhenti dan menoleh padaku. Dan hadiah yang ku terima dari mereka adalah sebuah perlian dari si jejaka.


"Assalamu'alaikum ustazah..nak join??"





Aku berjalan lagi..kali ini langkahku pantas. Aku ingin segera pulang. Dan sekali lagi langkahku terhenti.Telingaku menangkap bunyi muzik yang kasar dan keras. Aku mengangkat wajahku dan memandang ke hadapan. Sekali lagi aku beristighfar. Apa yang sedang anak-anak muda ini lakukan? Sekumpulan anak-anak muda berpakaian aneh sedang berkumpul dalam sebuah bulatan. Si jejaka dengan rambut terpacak berwarna-warni dan tatu penuh di badan. Si gadis tidak mahu kalah. Pakaian ketat dan sendat menampakkan aurat dengan subang ditindik di merata tubuh badan. Fesyen apakah ini? Mereka sedang terkinja-kinja menari mengikut tarian muzik yang membingitkan telinga. Tarian apa? Aku juga tidak pasti. Mereka seakan-akan tidak sedar dengan suasana sekeliling. Pergaulan mereka tiada batasan. Hampir air mataku menitis melihat anak-anak muda ini. Segera aku berlalu meninggalakan mereka.

Aku teruskan perjalananku pulang ke rumah. Ingin rasanya aku berlari. Aku tidak mahu melihat suasana-suasana itu lagi kerana aku hanya mampu melihat! Aku tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengubahnya. Aku berjalan dan melalui sekumpulan lagi anak-anak muda. Tersentap jantungku. Hampir gugur. Inilah manusia akhir zaman. Yang lelaki berubah menjadi perempuan dan begitulah sebaliknya. Betapa hatiku merintih melihat mereka. Dunia benar-benar sudah terbalik. Segalanya telah menjadi songsang. Mereka menyapaku dengan ramah. Wajahku kelat. Aku seakan-akan terlupa bagaimana caranya untuk senyum. Pantas kakiku melangkah meninggalkan dunia mereka.


Aku berjalan..langkahku kembali perlahan. Penat dan lelah dalam perjalanan. Dari kejauhan kelihatan bumbung ruahku. Aku mempercepatkan langkah. Ada sebuah kereta dihadapan rumahku dan aku tahu siapa pemiliknya. 4 orang insan yang ku sayangi keluar dari perut kereta. Sepasang suami isteri warga emas dan seorang jejaka bersama seorang gadis kecil yang manis. Si manis itu tiba-tiba menoleh ke belakang.

" Kak Laili!!!"


Si manis itu terus berlari ingin mendapatkanku. Dilepaskan tangan kecilnya dari si jejaka. Si jejaka tersentak dan turut menoleh ke arahku. Dia turut tersenyum melihat si manis itu kini sudah berada di dalam dakapanku. Itulah Rizal, tunangku yang segak dengan kopiah putihnya.

" Kak Laili pergi mana?"
" Jalan-jalan"
" Baru balik kerja ye?"
" Ye, sayang"

Aku memandang lembut wajah tulus itu. Terbayang suasana-suasana dalam perjalananku tadi. Aku benar-benar mengharap agar gadis kecil ini membesar sebagai wanita solehah. Aku memimpin tangannya masuk ke rumah. Mataku enangkap kelibat Rizal sedang bermesra dengan keluargaku. Dalam diam aku berdoa.

Akhi Rizal, harapanku kau akan memimpin tanganku untuk aku meneruskan perjalanan yang penuh berliku ini. Aku ingin kita berjalan di atas jalanNYA..bersama.

Aku akan terus berjalan sehingga sampai ke jalan untuk bertemuNYA..

6 comments:

atiqasyahira said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Si Pengemis Iman said...
This comment has been removed by the author.
Muhammad Afifi said...

eeeuuw..hak3...imagine3..hehehe

Si Pengemis Iman said...

Akhi afifi..jgn overimagine>_<

Mabuk! said...

rase cam prnh bace cite nie tpi pelik c0z mengapa nama jejaka ditukar?

Si Pengemis Iman said...

akhi mabuk..bce katne??
mne de tukar..
tollaa rizal ngn laili^_^