Friday, May 14, 2010

Anak Derhakakah kita??

"Rambut fesyen apa kau buat ni, Angah??"

Si ibu bertanya apabila melihat kelibat anaknya keluar dari bilik dengan berpakaian kemas dan harum semerbak. Tetapi rambutnya yang panjang dan didandan seperti orang Barat itu cukup menyakitkan pandangan.

Zainal hanya tersengih memandang ibunya. Malas mahu menjawab. Ibunya sekadar menggeleng-gelengkan kepalanya.

Pelik aku dengan budak-budak zaman sekarang ni..fikirnya

* * * * * * * * *
Esoknya juga begitu, kali ini fesyen lain pula. Ala-ala Korea.

Si ibu dan ayah hanya mampu melihat. Sudah acap kali menegur. Sudah acap kali dibebelkan. Mulut sudah berbuih, lidah sudah tergeliat menyebut hal yang sama setiap hari. Bukan melarang anaknya berfesyen tapi biarlah fesyen yang sopan. Bukan fesyen Barat yang diagung-agungkan.

Si bapa sekadar berdehem apabila melihat anaknya seperti itu. Mahu ditegur lagi, bimbang anaknya terasa hati. Bukan dia tidak tahu perangai anaknya itu. Pantang ditegur, mulalah dia mengamuk sendiri.

" Abang, abang tengoklah anak kita tu. Ina risaulah. Sejak dia habis sekolah ni, lain macam je perangai dia. Ke masjid pun dah jarang. Tengoklah rambutnya tu"

Si bapa termenung seketika. Mahu tidak mahu, anaknya itu harus ditegur secara serius dan bersemuka. Bukan lagi teguran biasa.

* * * * * * * * *
" Angah, sini kejap. Ayah nak cakap"
" Alaa..Angah dah lambat ni, ayah. Nak jumpa kawan ni"
" Sekejap je. Tak lari ke mana kawan Angah tu"

Zainal mengalah. Dia menghampiri ayahnya lalu duduk di sebelahnya. Hari ini, rambutnya dibuat ala-ala punk. Tercacak. Cicak jatuh pun mati.

" Ayah tengok, Angah sekarang ni dah jarang ke masjid. Subuh pun selalu terlajak. Kau ada masalah ke, Angah? Ni, rambut Angah ni. Fesyen apa ni?? Dah macam perempuan je ayah tengok"

Zainal diam. Wajahnya kelat.

" Ayah bukan apa. Bukan tak bagi kau berfesyen tapi berpada-padalah. Biarlah kemas, ni ayah tengok macam artis luar negara tu je. Serabut! Mak kamu pun tak suka tengok"

Si ibu pula datang menyampuk.

" Angah, mak ayah tegur ni bukan sebab benci kamu. Tapi untuk kebaikan kamu jugak. Mak tengok, sejak bekerja ni, kamu lain benar. Kamu jangan terikut dengan kawan-kawan kamu yang tak senonoh tu."

Bebelan demi bebelan meyakitkan telinga dan hati Zainal. Darahnya mendidih. Dia paling tidak suka di bebel. Tanpa sepatah kata, dia bangun. Memandang tajam pada kedua orang tuanya lalu masuk ke bilik dan menghempas pintu dengan kuat. Di dalam bilik terdengar bunyi bising. Zainal mengamuk melepaskan perasaan. Tiba-tiba dia keluar sambil mulutnya terkumat-kamit memarahi kedua orang tuanya dan terus menghidupkan motor lalu meninggalkan rumahnya tanpa sepatah kata.

Adik Zainal, Suraya masuk ke bilik abangnya. Barangnya bersepah. Dinding penuh dengan kesan conteng. Kedua orang tua Zainal menjenguk. Mengalir air mata seorang ibu dan ayah. Suraya hanya mampu melihat. Dia juga tidak mampu berkata apa-apa.

* * * * * * * * *

Malam itu..jam 1 pagi

" YA ALLAH!!! Apa dah jadi dengan kau ni, Angah?!"

Si ibu segera meluru ke arah Zainal di pintu pagar. Zainal berlumuran darah. Baju dan seluarnya koyak. Topi keledarnya pecah dan kepalanya berdarah. Dia segera dipapah masuk ke dalam rumah.

Si ibu dan ayah dengan penuh kasih sayang membersihkan luka anaknya. Sudah lupa dengan semua sikap-sikap anaknya sebelum ini. Itulah ibu dan ayah..

* * * * * * * * *

Itu antara serba sedikit kisah tentang anak derhaka pada zaman serba moden ini. Anak derhakakah Zainal? Sedangkan dia tidak memaki atau memukul kedua orang tuanya. Ya, tetapi dia memaki dan memukul hati kedua orang tuanya sehingga mereka mengalirkan air mata kerananya. Dan balasannya, tunai!!! Mujur dia masih selamat. Mujur dia masih diberi peluang untuk bertaubat. Kesalahannya berfesyen cuma kecil tetapi kesalahannya kerana menyakitkan hati kedua orang tuanya itu adalah kesalahan besar. Kisah ini benar-benar berlaku, bukan rekaan semata.

Itu baru mengamuk dan memaki secara senyap. Bagaimana pula dengan anak-anak yang lebih berani? Memukul dan mencaci ibu bapa mereka secara terang-terangan! Astaghfirullahal'azim..

Janganlah kamu mengatakan kepada kedua-duanya (ibu bapa) dengan perkataan ah, dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia...surah Al-isra',ayat 23

Berkata "AH" terhadap mereka pun tidak boleh, inikan pula mencaci dan memaki mereka. Ibu bapa adalah orang yang melahirkan dan menjaga kita sejak kecil Kerana merekalah kita wujud di dunia ini. Kerana merekalah kita menjadi seorang insan. Kerana merekalah kita dapat melihat dunia. Segalanya kerana mereka. Tanpa mereka, siapalah kita?? Dan adakah kita berhak untuk memaki dan mencaci orang yang melahirkan dan menjaga kita??!

Sabda Nabi, yang bermaksud: Semua dosa ditangguhkan oleh Allah (seksaannya) mana-mana yang dikehendaki-Nya sehingga ke hari kiamat, melainkan dosa kerana menderhaka dua ibu bapa. Maka sesungguhnya, Allah akan segerakan seksaan dan a zab ke atas pelakunya ketika hidupnya, sebelum mati. (Hadis riwayat Tabrani dan Hakim)

Lihat kisah tadi. Dia kemalangan setelah mengamuk memarahi kedua orang tuanya. Banyak lagi kisah-kisah lain yang mungkin berlaku tetapi kita tidak tahu. Redha ALLAH terletak pada redha ibu bapa. Berbahagialah kita seandainya ibu bapa kita redha terhadap kita. Balasan menderhaka pada mereka akan dibayar secara tunai di dunia bahkan di akhirat nanti balasan lain sedia menanti.

Sebesar-besar dosa (dosa besar) ialah menyekutukan Allah, membunuh manusia, derhaka kepada ibu bapa dan menjadi saksi palsu. (Hadis riwayat Imam Bukhari).



Sahabat-sahabatku..ingatlah,mungkin kita tidak memaki atau memukul ibu bapa kita. Tetapi, mungkin tanpa kita sedar kita pernah menyakiti hati mereka. Kita insan biasa, begitu juga dengan mereka. Kita punya hati dan perasaan, begitu juga dengan mereka. Janganlah menunggu sehingga mereka tua untuk meminta maaf pada mereka. Selagi mereka masih hidup, berbaktilah pada mereka. Dan apabila mereka tiada, jadilah anak yang soleh dan solehah yang sentiasa mendoakan kedua ibu bapa.

No comments: