Saturday, July 24, 2010

Dilema Seorang Mualaf ( bahagian 3 )

sambungan cerpen ' Dilema Seorang Mualaf', bahagian 1 dan 2

Bayu petang bertiup kencang diiringi tarian sang hujan yang menari megikut rentak si angin. Melodi dari guruh dan kilat tutur menghias suasana petang yang pilu itu. Waktu baru sahaja menunjukkan jam 5 petang tetapi suasananya pada masa itu seakan-akan hari sudah beranjak ke malam. Langit gelap dihiasi titisan hujan yang bagaikan air terjun turun membasahi bumi. Bagaimanapun suasana itu tidak dihiraukan oleh seorang gadis yang masih duduk di pondok rehat di baah sepohon pokok.

Nur Iman Zawani tidak menghiraukan titis-titis hujan yang turun bersama air matanya. Dibiarkan tubuhnya basah lencun. Bahunya terhenggut menahan tangis dan sendu. Bibirnya terketar-ketar menahan sejuk yang membeku. Namun dia tidak juga bangkit dari duduknya untuk berteduh. Dia tidak mampu. Hatinya sedang rawan dan pilu. Jiwanya sedang berduka.

Niat baiknya memeluk Islam telah disalah erti. Dia dikatakan ingin menjatuhkan Islam sedangkan hakikatnya dia sedang jatuh cinta dengan Islam. Tetapi, sikap insan-insan lain terhadapnya menyebabkan dirinya patah semangat dan putus asa. Dia ingin menjadi seorang muslimah yang taat tetapi tiada yang sudi membantu. Mereka hanya tahu menuduhnya dan memaki hamun dirinya.

Ahmad Hafizul memandu keretanya perlahan di dalam kawasan sekolah. Tiba-tiba penglihatannya tertumpu pada seorang pelajar yang sedang duduk sendirian di dalam hujan. Diamatinya pelajar tersebut. Hujan yang lebat membataskan penglihatannya. Yang pastinya pelajar itu adalah pelajar perempuan. Dia mula melihat sekeliling kawasan sekolah. Mungkin masih ada guru lain yang masih berada di situ tetapi ternyata dia sahaja yang masih belum pulang. Dia teragak-agak samada ingin menghampiri pelajar tersebut atau membiarkannya sahaja. Tetapi dia khuatir sesuatu yang buruk akan berlaku pada pelajar itu lebih-lebih lagi dia adalah seorang gadis. Atas dasar tanggungjawab seorang guru, dia akhirnya mengambil keputusan untuk pergi membantu. Pantas dia mencapai sekaki payung yang berada di tempat duduk belakang lalu membuka pintu kereta dan berlari-lari anak menuju ke arah pelajar tersebut.

Nur Iman Zawani terkejut apabila tiba-tiba tiada lagi air hujan yang membasahi dirinya. Sangkanya hujan sudah pun berhenti lalu dia mendongak. Kelibat gurunya yang sedang memayungkannya lebih memeranjatkan.

" Kamu buat apa dalam hujan ni?? Cepat masuk dalam kereta saya. Saya hantar kamu balik rumah. Hujan lebat ni!"

Nur Iman Zawani hanya kaku. Lidahnya kelu. Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Dia seakan-akan tidak berada di situ. Fikirannya melayang-layang. Mindanya menerawang. Wajah gurunya ditatap tanpa perasaan. Kosong.

" Astaghfirullahahl'azim!!!"

Spontan payung yang dipegang dilepaskan lalu pantas menyambut tubuh Nur Iman Zawani yang tiba-tiba rebah. Tubuh itu sejuk dan kaku. Tangan Ahmad Hafizul terketar apabila terpaksa bersentuhan dengan wanita ajnabi. Hatinya bergetar lalu segera diubat dengan istighfar. Dia mula hilang punca. Tidak tahu untuk bernuat apa. Matanya menerawang dengan harapan ada kelibat seseorang di situ yang mungkin boleh membantu tetapi hampa.

'ALLAH~ Ampunkan dosaku kerana menyentuh gadis suci ini. Dia memerlukan bantuan dan hanya aku yang berada di sini. Ampunkan aku YA ALLAH'

Dengan lafaz basmallah, Ahmad Hafizul mengangkat tubuh itu lalu dibawa masuk ke dalam keretanya. Gadis itu dibaringkan di tempat duduk belakang. Jaket yang sedang tersarung ditubuhnya ditanggalkan lalu digunakan untuk menyelimuti aurat si gadis yang kelihatan kerana keadaan dirinya yang basah kuyup. Sepanjang waktu itu, Ahmad Hafizul tidak berhenti-henti beristighfar. Dia takut dan khuatir apabila berhadapan dengan situasi seperti itu.

Keretanya dipandu perlahan. Destinasinya hanya satu. Rumah ibunya.

*******************
Nur Iman Zawani membuka matanya perlahan-lahan. Dia berada di sebuah tempat yang terlalu asing. Tiada apa-apa yang kelihatan melainkan kegelapan dan ketakutan. Dadanya bergetar hebat. Tangannya meraba-raba di dalam kegelapan. Dia takut. Dia tidak mahu hidup dalam kegelapan.

" Nur Iman Zawani, inilah hidup yang kau pilih dahulu. Hidup yang tiada cahaya dan ketenangan. Dahulu, hidup kau diselubungi kegelapan dan keresahan. Adakah kau ingin terus hidup seperti ini??"

Nur Iman Zawani mula teresak. Dia benar-benar takut.

" Aku..aku tak mahu hidup dalam kegelapan! Aku seorang Islam. Dan aku yakin Islam itu agama yang benar! Aku yakin Islam akan membawa cahaya dan ketenangan dalam hidupku!"

Separuh berteriak Nur Iman Zawani menjawab pertanyaan daripada suara asing itu. Dia menangis tersedu-sedu. Ketakutan semakin mencengkam. Dadanya terasa sempit dihimpit keresahan.

" Nur Iman Zawani, bukan mudah untuk menjadi Islam yang sejati. Keluarlah dari kegelapan ini. Carilah cahaya yang membantumu dan menerangi hidupmu"

Tiba-tiba anak mata Nur Iman Zawani menangkap kelibat sejalur cahaya yang berada di hadapannya. Cahaya itu sangat kecil tetapi menyilaukan pandangan. Dia pantas bangkit dan berlari ke arah cahaya itu. Cahaya itu semakin lama semakin jauh darinya. Dia mempercepatkan lariannya. Tangisannya laju seiring dengan derap kakinya. Dia takut cahaya itu akan pergi jauh darinya. Dia tidak mahu dan tidak sanggup untuk kembali hidup dalam kegelapan.

Tiba-tiba cahaya itu berhenti. Spontan langkah kakinya juga semakin perlahan. Dadanya berombak. Perlahan-lahan dia mendekati cahaya itu. Ia semakin membesar dan di dalam kilauan cahaya itu samar-samar kelihatan seorang lelaki yang sedang membelakanginya. Lelaki itu berpakaian serba putih. Tidak sepertinya yang serba hitam.

Kakinya semakin menghampiri lelaki yang berada di dalam cahaya itu. Sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam kawasan itu, hatinya merasakan ketenangan yang tidak pernah dirasakan selama ini. Hilang segala rasa takut, resah dan gundah. Yang tinggal hanya ketenangan dan kebahagiaan.

Tetapi perasaan itu hanya sebentar. Lelaki itu tba-tiba pergi dan ketenangan semakin menjauh. Dia cuba mengejar tetapi kakinya seakan dipaku. Dia hanya mampu melihat cahaya itu pergi jauh darinya dan kegelapan kembali menyelubunginya.

*********************
" Budak ni anak murid Apis ke??"

Ahmad Hafizul memerhatikan kakak sulungnya yang baru sahaja keluar daripada kamar yang menempatkan Nur Iman Zawani. Semasa menolong gadis itu tadi, dia tekad membawanya ke rumah peninggalan ibunya itu yang kini didiami oleh kakak sulungnya, Khadijah Maisarah.

" Panas badan budak tu. Demam agaknya. Apis jumpa dia kat mana??"

" Apis jumpa dia masa Apis nak balik tadi, Kak Long. Dia tengah duduk tengah-tengah hujan. Mula-mula tu, Apis ingat nak biar je tapi bila tengok tak ada orang lain kat situ, risau jugak. Takut kalau jadi apa-apa kat dia"

" Macam mana dia boleh pengsan??"

Ahmad Hafizul mengangkat bahu. Tanda tidak tahu.

" Entah, tiba-tiba je dia pengsan. Sebab tu Apis bawak dia datang sini. Takkan nak bawak pergi rumah sewa Apis kot. Nak hantar ke rumah dia, Apis tak tahu kat mana"

Khadijah Maisarah mengangguk-angguk tanda memahami. Semasa adik bongsunya membawa gadis itu masuk ke dalam rumahnya tadi, dia benar-benar terkejut. Anak dara siapalah yang adiknya usung itu. Dalam keadaan basah kuyup dan tidak terurus.

" Nah, ni ada kopi panas. Minumlah"

" Terima kasih, Kak Long"

Sedang mereka rancak berbual, tiba-tiba kedengaran seakan -akan suara tangisan dari dalam bilik yang menempatkan Nur Iman Zawani. Masing-masing mendiamkan diri. Cuba untuk mengamati suara tersebut. Mungkin mereka tersalah dengar. Setelah pasti suara itu benar-benar datang dari dalam bilik tersebut, Khadijah Maisarah segera bangkit dan masuk ke dalamnya. Ahmad Hafizul hanya menunggu di luar.

Nur Iman Zawani menangis. Dia takut. Dia tidak sedar di mana dia berada sekarang tetapi dia menangis kerana mimpi yang baru dialaminya tadi.

Khadijah Maisarah menghampiri tamu senjanya itu. Gadis itu duduk berteleku sambil menutup wajahnya dengan kedua belah tangannya. Gadis itu sedang menangis. Dia seakan-akan baru sahaja mengalami peristiwa yang menakutkan. Perlahan-lahan jarinya menyentuh bahu si gadis. Gadis itu tidak menyedarinya. Lalu dia mengusap lembut rambutnya.

Nur Iman Zawani tersentak apabila seseorang mengusap kepalanya. Pantas dia mengangkat wajahnya. Kelibat seorang gadis ayu bertudung labuh sedang tersenyum menangkap pandangan matanya. Barulah dia sedar bahawa dia berada di sebuah tempat asing.

" Adik, adik tak apa-apa?? Adik kat rumah akak sekarang ni. Tadi adik akak jumpa adik tengah pengsan kat sekolah. Jadi dia bawak adik ke sini"

Nur Iman Zawani termangu mendengar kata-kata wanita dihadapannya itu. Tutur bicaranya lembut dan mesra. Wajahnya bersih dan tenang. Senyuman di bibirnya memberi petanda dirinya mudah didekati. Nur Iman Zawani cuba mengukirkan senyuman di bibirnya.

" Akak ni siapa?? "

" Nama akak Khadijah Maisarah. Tadi, adik akak Hafizul bawak adik datang sini"

Nur Iman Zawani diam. Otaknya sedang memikirkan sesuatu.

" Akak..orang Islam?? "

Pertanyaan Nur Iman Zawani membuatkan Khadijah Maisarah sedikit terkejut. Dia memandang tepat ke dalam anak mata gadis itu. Matanya menggambarkan ada penderitaan yang sedang dilaluinya.

" Ya..akak seorang Islam. Ada apa-apa yang akak boleh tolong?"

Mendengar sahaja kata-kata Khadijah Maisarah, mata Nur Iman Zawani terus dihujani dengan air mata. Dia tidak tahu mengapa tetapi dia tidak malu untuk menangis dihadapan wanita itu. Dia menceritakan segala-galanya kepada Khadijah Maisarah.

Khadijah Maisarah memeluk Nur Iman Zawani. Kisah malang gadis itu menyentuh hatinya. Dia bertekad untuk membantu.

' YA ALLAH~ KAU berilah hidayahMU kepada gadis ini. Bantulah dia dan bantulah aku untuk membantunya. Sesungguhnya dia gadis yang istimewa. Sesungguhnya dia sedang belajar untuk mencintaiMU dan agamaMU. Maka bantulah dia agar dia berjaya mencari sejalur cahaya dalam hidupnya'


bersambung dalam ' Dilema Seorang Mualaf ( bahagian 4 )

3 comments:

puterisafwah said...

gud post ain thanks for the sharing :)

Si Pengemis Iman said...

syukran^_^
tp..sape ain??
hahee~men2 je=p

Si Pengemis Iman said...
This comment has been removed by the author.