Sedang keluarga itu berfikir mencari jalan penyelesaian, Fauzi, Suhaila dan Amir sedang berlari di dalam hospital untuk bersama mereka. Suhaila benar-benar terkejut melihat kemunculan Amir bersama Fauzi namun perasaan terkejutnya itu diabaikan terlebih dahulu kerana pada saat itu kemalangan yang menimpa Nur Iman lebih menguasai emosinya.
“ Makcik, pakcik..Iman macam mana??”
Serentak mereka bertiga menghamburkan soalan sebaik sahaja sampai.
“ Bertenang, Iman tak apa-apa. Tapi sekarang ni, dia perlukan darah jenis A dan pihak hospital dah kehabisan bekalan. Kita perlukan penderma secepat mungkin.”
Encik Zaki menjawab perlahan. Tangannya mengurut-urut dahinya memikirkan jalan penyelesaian kepada masalah mereka.
“ Saya darah A! Doktor, ambil darah saya!”
Amir tiba-tiba bersuara. Dia meluru ke hadapan lalu memegang lengan Doktor Hafiz dengan kuat.
“ Doktor..darah saya A, doktor! Darah saya A!”
“ Bertenang encik, bertenang. Baiklah, silakan encik ikut saya ke dalam. Saya harap semua bawa bertenang. Berdoa pada ALLAH. InsyaALLAH, Cik Nur Iman tak apa-apa.”
Doktor Hafiz pantas membawa Amir ke dalam wad. Amir memandang Fauzi sambil memberikan senyuman kepada sahabatnya itu meminta agar dia tidak bimbang.
Keluarga Nur Iman mengucapkan syukur di atas bantuan Amir yang sudi menderma darah untuk anak mereka. Suhaila terkejut dengan tindakan Amir ataupun lebih dia kenali selama ini sebagai Mujahid. Tetapi, dia sedar dalam keadaan kecemasan seperti itu masalah-masalah peribadi tidak perlu diambil kira. Yang penting, nyawa Nur Iman dapat diselamatkan. Dia menoleh ke arah Fauzi yang masih tecegat di hadapan pintu wad. Mujur pemuda itu tidak mengetahui bahawa Mujahid dan Amir adalah orang yang sama. Jika tidak, pasti dia akan memikirkan sesuatu yang negatif terhadap Iman dan Amir.
“ Akhi Fauzi..bertenang. Duduk dulu. InsyaALLAH, Iman takkan apa-apa.”
Teguran Suhaila mengejutkan Fauzi yang kaget dengan tindakan drastik sahabatnya tadi. Dia menoleh.
“ Su, ana..ana..darah ana A.”
Suhaila terdiam.
* * *
“ Iman, Iman berehatlah dulu ye. Umi nak pergi solat kejap. Kejap lagi Ika sampai, dia tolong Iman solat, ya? Iman tak apa kan umi tinggal seorang sekejap?”
“ Ya, umi. Iman okey. Umi pergilah solat.”
Puan Khadijah mengusap lembut kepala Nur Iman lalu mengucupnya penuh cinta. Nur Iman tersenyum manis. Matanya mengekori langkah ibunya keluar dari wad. Dia menghembus nafas perlahan. Kepalanya yang berbalut tetapi dilindungi oleh tudung labuhnya itu diusap perlahan. Kakinya juga turut cedera dalam kemalangan tersebut. Dia tidak berupaya mengingati kemalangan yang hampir meragut nyawanya itu sepenuhnya. Perkara terakhir yang tergambar di dalam kotak fikirannya adalah seekor anak kucing.
5 minit berlalu. Nur Iman mula dilanda kebosanan. Matanya mula melilau ke segenap ceruk wad mencari sesuatu yang mampu menghilangkan kebosanannya. Pandangannya menangkap sebuah novel di atas meja di sebelahnya. Pantas dia mencapai novel ‘ Tautan Kasih’ karangan penulis yang sangat diminatinya, Fatimah Syarha. Sudah berkali-kali dia menghabiskan membaca novel tersebut.
“ Assalamu’alaikum.”
Nur Iman pantas menoleh ke arah pintu wad. Kelihatan Suhaila tersengih memandangnya dengan sekotak coklat di tangannya.
“ Wa’alaikumussalam. Eh, Su. Su tak kerja ke hari ni?”
“ Kerjalah, Su ponteng semata-mata nak datang tengok Iman tau. Ni Su bawakan coklat favourite Iman. Eh, Iman boleh ke makan coklat sakit-sakit ni??”
“ Entah, tak kira. Nak makan jugak! Hmm..Su ni. Iman okeylah. Tak payah datang tengok pun tak apa. Lagipun, doktor kata dalam 3, 4 hari lagi Iman dah boleh keluar. Tak payahlah Su sampai ponteng-ponteng sebab nak jenguk Iman.”
Nur Iman mencebik bibirnya mengejek Suhaila.
“ Eleh, hang ni perasanlah. Mana ada Su ponteng. Sekarang waktu rehat. Pukul 2 nanti Su masuk kerja balik.”
“ Ohh..ingatkan Su ponteng untuk Iman tadi. Hihi..”
“ Perasan! Masuk lif tekan sendiri. Haha..”
Kedua orang gadis itu tertawa manis.
“ Peribahasa baru ke tu?? Suka hati je Su ni..”
“ Eh, mana ada la Iman ni. Dah tak mainlah guna bakul sekarang ni. Moden sikit, lif. Hihi..”
“ Ada-ada je Su ni. Su..Iman tak solat lagilah. Su tolong Iman, boleh? Nak tunggu Ika takut dia lambat lagi.”
“ No problem.”
Suhaila menuntun Nur Iman ke dalam bilik air dan membantunya mengambil wuduk lalu memakaikannya sehelai telekung. Nur Iman berbaring semula lalu solat di atas katil. Kecederaan pada kakinya tidak memungkinkannya untuk berdiri lama.
Suhaila duduk di atas kerusi yang disediakan di dalam wad. Dia menatap sayu ke arah Nur Iman yang sedang khusyuk melaksanakan tanggungjawabnya.Dia kagum dengan ketabahan Nur Iman mendepani ujian yang diterimanya. Tiada walau setitis air mata yang mengalir saat matanya terbuka dan melihat dirinya sendiri berbaring di atas katil dalam keadaan tidak berdaya. Hanya ujian perasaan yang paling sukar dihadapi oleh Nur Iman. Namun, walau dalam keadaan yang sangat susah, tanggungjawab sebagai hamba ALLAH tetap wajib dilaksanakan.
Bunga-bunga cinta indah berseri
Telefon bimbit yang berdering pantas diangkat kerana khuatir mengganggu Nur Iman yang sedang solat. Suhaila melangkahkan kaki keluar dari wad untuk berbicara dengan pemanggilnya.
Tok tok tok..
Tok tok tok..
“ Assalamu’alaikum..”
Amir memulas perlahan tombol pintu wad. Dia menjengulkan kepalanya ke dalam. Khuatir Nur Iman tidak membenarkannya masuk. Matanya menangkap jasad Nur Iman yang bertelekung dalam keadaan berbaring di atas katil. Berderau darahnya seketika namun kembali tenang apabila kelihatan tangan Nur Iman perlahan mengangkat takbiratul ihram. Sangkanya gadis solehah itu telah pergi berjumpa denganNYA.
‘ Solat rupanya. Terkejut aku..haish.’
Amir melangkahkan kakinya ke dalam. Pintu wad ditutup seperlahan mungkin. Dia berpusing dan berdiri bersandar di pintu wad sambil berpeluk tubuh. Tangannya memegang sebuah buku yang ingin dihadiahkannya kepada Nur Iman. Pandangannya sayu menatap penuh kasih terhadap Nur Iman. Dia mengeluh. Wajah bersih dan tenang Nur Iman mengusik hati lelakinya. Jauh di sudut hati dia kecewa kerana terpaksa menerima kenyataan bahawa Nur Iman kini adalah tunangan sahabat baiknya sendiri namun dalam masa yang sama masih ada sekelumit harapan yang bersinar terang di dalam hatinya.
Selama pemergiannya, dia sangat berharap agar Nur Iman tetap setia menantinya tetapi apalah haknya untuk terus mengikat Nur Iman dengan kasih yang tidak pasti. Kini dia telah kembali untuk menghulur tangan menunaikan janjinya untuk menyunting Nur Iman sebagai bidadari hidupnya. Tetapi kini janjinya itu tidak lagi bermakna apa-apa.
Tiba-tiba pintu di belakang Amir ditolak perlahan. Pantas dia meminggir ke tepi memberi laluan. Buku yang dibawa disembunyikan di belakangnya.
Suhaila melangkah masuk bersama Zulaikha yang baru tiba dari kampusnya. Di tangan gadis itu ada sejambak bunga yang dikirimkan oleh sahabat-sahabatnya yang turut mengenali Nur Iman.
“ Assalamu’alaikum, Kak Iman. Eh, Abang Amir pun ada kat sini? Bila sampai? Seorang je? Mana Abang Fauzi?”
Bertalu-talu soalan yang ditanyakan oleh Zulaikha. Hatinya melonjak girang dapat bertemu muka lagi dengan orang yang telah menyelamatkan nyawa kakak kesayangannya itu.
Lidah Amir seakan kelu untuk menjawab pertanyaan Zulaikha lebih-lebih lagi Suhaila turut berada di situ. Pandangan Suhaila yang tajam menyesakkan nafasnya. Serasa dirinya begitu kerdil di hadapan dua orang gadis itu. Akhirnya, hanya seulas senyuman yang mampu dia berikan sebagai balasan kepada semua pertanyaan Zulaikha.
Zulaikha berasa aneh melihat jejaka di hadapannya itu yang seakan gugup apabila berhadapan dengannya. Dia enggan mempedulikan Amir lalu pantas menghampiri Nur Iman yang telah pun hampir selesai melaksanakan tanggungjawabnya.
“ Assalamu’alaikum warahmatullah..assalamu’alaikum warahmatullah.”
Nur Iman memberi salam hanya dengan isyarat matanya. Lehernya juga berbalut kerana mengalami sedikit kecederaan pada tulang tetapi tidak kelihatan kerana tersembunyi di sebalik telekung yang dipakainya. Tangannya menadah tangan berdoa memohon keampunan dan kesejahteraan hidup buat dirinya dan keluarganya. Doanya sekejap cuma apabila menyedari ada 3 pasang mata yang sedang memerhatikannya. Senyumannya mekar di bibir saat matanya menangkap kelibat Zulaikha dan Suhaila tetapi pantas senyuman itu mengendur apabila menyedari Amir turut berada di situ.
Suasana di dalam wad itu tiba-tiba terasa sepi dan bungkam. Suhaila menyedari keadaan tersebut apabila melihat reaksi Nur Iman terhadap Amir. Pantas dia cuba menceriakan suasana.
“ Iman lapar tak? Su laparlah. Jomlah makan coklat yang Su bawa tadi. Eh, Ika..tu bunga dari kawan-kawan Ika, kan? Letaklah dalam pasu bunga tu. Mesti cantik!”
Suhaila pantas menghampiri Zulaikha yang masih tercegat di hujung katil. Segera dia mengambil jambangan bunga di tangan Zulaikha lalu menggantikannya dengan bunga yang sedia ada di dalam pasu. Zulaikha tersedar lalu dia menghampiri Nur Iman dan menyalami tangan kakaknya itu.
“ Macam mana Kak Iman hari ni?”
“ Alhamdulillah, Ika. Akak rasa dah makin baik. Tadi pun doktor ada kata yang akak boleh keluar tak lama lagi.”
“ Yeke? Alhamdulillah..baguslah macam tu. Umi mana, kak?”
“ Umi kat surau, solat. Sekejap lagi siaplah tu.”
Zulaikha dan Nur Iman berbual tanpa mempedulikan Amir yang masih berdiri berhampiran pintu wad seolah-olah dia tidak wujud di situ. Suhaila pula leka menyusun bunga-bunga di dalam pasu. Amir mula berasa serba salah dengan penerimaan Nur Iman terhadap dirinya. Tangannya memegang tombol pintu. Dia berniat untuk keluar.
“ Eh, Abang Amir nak ke mana? Takkan datang tengok je? Tak borak-borak dengan Kak Iman dulu?”
Amir tersentak apabila Zulaikha tiba-tiba menegurnya. Perlahan-lahan dia menoleh dan mengukirkan senyuman nipis.
“ Tak apalah, segan ana duduk sini. Hihi..semua muslimah, ana seorang je pria. Ana balik dululah. Iman, semoga enti cepat sembuh.”
Nurul Iman sekadar mendiamkan diri. Sedaya upaya dia menahan gelojak perasaannya. Segala persoalan yang selama ini tersimpan rapi dalam hatinya berlumba-lumba ingin keluar. Namun, kehadiran Zulaikha di situ membuatkan Nur Iman menangguhkan dahulu hasrat hatinya itu. Adiknya itu sekadar mengenali Mujahid atau Amir melalui cerita dari mulutnya sahaja.
Amir melangkah keluar dari wad perlahan-lahan. Kopiah yang dipakai ditanggalkan. Dia meraup wajahnya sehingga ke ubun-ubun kepala. Resah. Buku yang berada di tangannya ditatap sekilas. Dia melepaskan keluhan. Pantas kakinya melangkah untuk pergi dari situ. Seorang jururawat sedang berjalan bertentangan dengannya menuju ke wad Nur Iman. Benaknya pantas berfikir dan bertindak.
“ Cik, maafkan saya. Saya nak minta tolong sikit pada,cik.”
“ Ya, boleh. Ada apa yang boleh saya bantu?”
Amir menghulurkan buku yang berada di tangannya.
“ Cik tolong serahkan buku ni pada pesakit dalam wad tu, ya?”
“ Ohh, boleh. Tak ada masalah. Kebetulan saya nak ke sana. Nanti saya serahkan pada pesakit tu. Cik Nur Iman namanya, kan?”
“ Ya, Nur Iman. Terima kasih banyak, cik.”
“ Sama-sama.”
Amir mengiringi langkah jururawat itu ke wad Nur Iman dengan sebuah senyuman. Dia berharap, buku tersebut dapat mengungkapkan kata-kata yang tidak mampu dia luahkan dari bibirnya pada Nur Iman. Dia berharap, Nur Iman akan mengerti maksud di sebalik pemberian buku tersebut. Dia berharap, Nur Iman akan memaafkannya.
No comments:
Post a Comment