Sunday, May 15, 2011

MPP Team Building 2011


Bismillahirrahmanirrahim..


Alhamdulillah, syukur kita kepada ALLAH kerana pada hari ini kita masih dikurniakan nikmat hidup untuk mengharungi cabaran sebagai khalifah ALLAH di muka bumiNYA ini. Syukur kerana kita masih diberi nikmat sihat, iman dan islam dalam diri kita. Alhamdulillah..

2 hari yang lepas iaitu pada hari Sabtu( 14 Mei ) dan pada hari Ahad(15 Mei ), saya bersama sahabat baik saya, Pemburu Ilmu mengikuti sebuah program yang diadakan di kampus USIM oleh sahabat-sahabat MPP. Nak tau tak apa kisah kami kat sana? Tak nak? Tak apalah kalau tak nak, saya tetap nak cerita. Hihi..harap sahabat-sahabat semua dapat ibrah daripada cerita saya ni.

Sabtu (14 Mei)
Kami menunggu bas seawal jam 8 di kolej kediaman kami tapi bas tetap tak kunjung tiba. Saya dah niat jahat dah dalam hati, kalau tak ada siapa datang ambil kami ke kampus, saya nak balik rumah terus. Hihi..tapi MPP semester ni memang sporting dan berjiwa rakyat. Mereka sendiri yang mencemar duli datang menjemput kami di kolej. Hihi..amboi~Ain, Saba..berdaulat nampak? MPP yang jemput tu(^_^) terima kasih kepada saudara Hanif yang sudi menjemput kami.Huhu..

Sampai di kampus, kami terus mendaftar dan diberi kunci bilik. Kemudian, kami sarapan dan terus ke dewan fakulti untuk sesi ice breaking. Masuk-masuk je dalam dewan, saudari Farha terus berikan arahan kepada kami supaya melukiskan wajah kami di atas sehelai kertas dengan menggunakan tangan yang tidak biasa kami gunakan. Lukisan saya sangat buruk ok, malu~ Hihi..then, kertas dikutip lalu kami diberi kertas sahabat lain dan perlu mencari pemilik kertas tersebut lalu berta'aruf dengannya. Haha..lukisan masing-masing agak 'cantik' ye.(^_^)

Kemudian kami dibahagikan kumpulan. Peserta diberikan sehelai kertas dan perlu menyebut ayat yang ditulis di dalam kertas tersebut. Ada yang perlu membuat bunyi lembu, spongebob, upin ipin dan lain-lain. Kumpulan saya, "Ganu Kito!!!". Ehem..saya rasa bukan "Ganu Kito" sebutannya tapi "Ganu Kite". Anak jati Terengganu ni.Hihi..

Selepas dibahagikan kumpulan, sepertimana program motivasi lain, kami perlu membuat nama dan logo kumpulan. Kumpulan kami ' Nothing is Impossible'. Walaupun kami ni semuanya perempuan, tak ada apa-apa yang mustahil untuk kami lakukan dengan bantuanNYA. Eceh~Ahli-ahli kumpulan saya adalah Kak Zarra, Yuni, Fatimah, Aikah, Asma dan saya sendiri. Kemudian, ada pembentangan di mana kami perlu membentang hasil kerja kumpulan lain. Kumpulan kami perlu membentangkan hasil kerja kumpulan 'Red Warrior'.

Kemudian, kami ada slot forum 'Hala Tuju MPP' bersama panel yang hebat iaitu saudara Ibrahim Husin selaku YDP MPP USIM 2011 dan mantan MPP USIM 2010, saudara Abdullah Long serta moderator yang tidak kurang hebatnya, saudara Anas Rosedi NYDP MPP USIM 2011. Forum berkisar tentang matlamat MPP 2011 dan lebih kepada perkongsian pengalaman.

Makan tengahari, solat dan kendiri. Bersiap untuk explorace!!!

Dah lama yang teramat saya tak melarikan diri, eh..silap, tak membuatkan diri saya berlari-lari,hihi. Tapi, pada hari tersebut, nak tak nak saya perlu berlari dan saya sangat enjoy dengan aktiviti explorace ni.

Checkpoint pertama-saudari Mas dan Kak Najwa
Di sini, tugasan kami adalah menyenaraikan sebanyak mungkin kegunaan lain sesuatu barang. Kami diberi sebuah pengetip kuku dan perlu menyenaraikan sebanyak mungkin kegunaannya selain daripada mengetip kuku. Macam-macam idea mengarut yang keluar daripada kepala otak kami sampai berkerut-kerut muka fasi yang menjaga. Hihi..dah tu, nak sangat kan~Di sini, kami diajar untuk bersikap kreatif dan membuka skop pemikiran kami dengan lebih luas dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

Checkpoint kedua-saudari Izzati dan Kak Umairah
Sampai di sini, kami diberi helaian kertas tertulis nilai wang ringgit Malaysia. Ada RM50,RM10,RM0.50 dan RM0.10. Tugasan di sini tak terlalu sukar, ibrahnya adalah dalam setiap tugasan dan tanggungjawab yang bakal kami laksanakan selepas ini, perlunya kepada sikap saling membantu. Tidak semestinya barisan MPP yang berada di atas mampu melaksanakan tanggungjawabnya sendirian, maka di sini peranan Rakan Exco sangat diperlukan. Ada tugasan tertentu yang mungkin hanya mampu dilaksanakan oleh MPP dan sebaliknya.

Checkpoint ketiga-saudari Farha dan saudari Syuhada
Pergh..penat seh berlari panjat library. Huhu..sampai-sampai kat sini kami disuruh menolak kereta. Ea?? Betul ke itu tugasannya?? Kami macam tak percaya, haha. 3 orang daripada kami menolak kereta tersebut tapi tak mampu, apabila menolak bersama-sama, kami berjaya. Sekali lagi, pentingnya kerjasama dan bantu membantu di sini. Kami juga disurh berjalan itik dan melompat katak. Adoi..lama saya tak buat benda-benda alah ni.

Checkpoint keempat-saudari Sumayyah, saudari Rabi'atul dan saudara Arif
Kat sini yang saya paaaaaaaling tak suka. Kami perlu mengira anak tangga yang berada di situ. Kiraan pertama kami salah maka kami perlu membuat kiraan yang kedua. Oh, tidak! Saya dah sangat penat waktu tu. Tak sanggup rasanya nak mengira sambil memanjat anak tangga yang mencapai 80 anak tangga. Nak pengsan rasanya. Kami mengira sambil membawa beberapa barang seperti kasut buruk, kayu dan batu bata. Kat sini, saya memang dah mula rasa macam dunia saya berputar-putar. Nak muntah, nak pengsan semua ada. Rasanya muka saya memang dah pucat sangat. Penat! Saya pun tak tahu apa ibrahnya kat sini sebab saya dah tak mampu nak dengar apa-apa masa tu. Huhu..cumanya saya rasa ibrah atau pengajaran yang perlu diambil adalah, dalam melaksanakan tanggungjawab pasti akan ada rintangan dan kesusahan yang akan kami hadapi. Jadi..bersabarlah~Fighting!

Checkpoint kelima-saudara Halimuddin dan saudara Hanif
Lutut saya rasa macam nak tercabut sewaktu turun dari perpustakaan ke checkpoint ni. ALLAH je yang tahu betapa penatnya saya waktu tu. Nasib baik tak kena asma, huhu. Di sini lebih kepada pengetahuan. Kami disoal dengan soalan-soalan seperti siapa NC USIM? Siapa TNC USIM? Siapa? Siapa? Siapa? Adeh..saya dah tak mampu berfikir sebab terlampau penat sehinggakan nama seorang pensyarah itu saya sebut bukan dengan namanya tetapi nama bapanya! Blur..huhu, maaf ye prof. Mohd Hj. Alias. Pengajaran di sini, untuk menjadi seorang pemimpin yang berjaya adalah perlunya kepada ilmu pengetahuan.

Checkpoint keenam-saudara Azim dan Izat.
Kami perlu menjadi si buta, si pekak dan si bisu. Si bisu perlu memberi arahan kepada si pekak dan si pekak perlu memberi arahan kepada si buta lalu si buta melaksanakan arahan tersebut. Game ni sangat lucu. Saya asyik ketawa je, haha. Saya dan Kak Zara sebagai si pekak. Kami memberi arahan kepada Yuni yang menjadi si buta. Sepatutnya kami tak boleh mendengar apa-apa pertanyaan dari Yuni tapi yelah, walaupun kami ni si pekak tapi hakikatnya tidak malahan telinga kami tak ditutup, maka setiap kali Yuni bertanya pasti kami akan jawab, haha. Sangatlah kelakar~ Diorang pun seronok ketawakan kitorang. Ibrahnya, setiap orang ada kekurangan dan kelebihan masing-masing. Maka perlunya sikap saling membantu dan saling melengkapi dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab.

Checkpoint ketujuh-saudara Ibrahim dan saudara Adrie
Mentang-mentanglah Baim tu pandai bercakap, pandai debat, amboi.. dia suruh kami berpidato dalam masa 1 minit. Adeh~ Tajuk yang diberi antaranya air, internet dan surat khabar. Saya dapat tajuk udara. Ngaa~apakah?? Saya nak cakap apa ni??? Blurnyaa..nasib baik teringat satu kisah tentang seorang raja yang takut kepada malaikat maut sehinggakan diminta supaya dibina sebuah rumah untuknya bersembunyi. Rumah tersebut tidak mempunyai lubang untuk udara masuk, maka matilah si raja. Ibrah di sini, perlunya kepada kemahiran berucap dan berpidato untuk menjadi seorang pemimpin. Nabi Muhammad pemidato yang sangat hebat tau.

Checkpoint kelapan-Kak Maisarah
Kami perlu menutup mata dan menerima arahan daripada Yuni selaku ketua. Kami perlu mendengar arahannya, peka, melaksanakan arahannya dan percaya kepadanya. Arahan diberikan dalam bahasa Inggeris. Di sini, kami belajar erti mempercayai antara satu sama lain. Dan dalam melaksanakan tanggungjawab, adakalanya ada sahabat-sahabat kita yang tidak memahami arahan yang perlu mereka laksanakan maka sikap saling memahami itu sangat penting, bukan hanya tahu marah dan mengarah sahaja.

Yes! Selesai~Kami kumpulan yang kedua sampai di tempat permulaan.

Pada waktu malam pula, selepas maghrib diadakan sedikit kuliah maghrib yang dinamakan 'Kulijo' iaitu kuliah akan disampaikan oleh kami sendiri yang akan dipilih oleh saudara Anas mengikut kiraan nombor. Antara tajuk kuliah adalah usaha, doa dan tawakal.

Dalam setiap apa yang kita lakukan, perlunya kepada usaha dan bukan sekadar menunggu bulan jatuh ke riba. Ingat, di akhirat kelak bukan hasil yang dinilai tetapi usaha yang bakal dipertikai. Sebagai insan yang lemah, perlunya kita kepada doa selepas berusaha. Kerana manusia hanya merancang dan ALLAH jualah yang menentukan. Dan selepas itu bertawakallah.

Selepas solat isyak, LDK 2 diteruskan. Aktiviti ini memerlukan kami mengaitkan antara lilin iaitu api dengan dakwah. Err..saya sangat nervous masa bentangkan hasil kerja kami. Suara saya agak terketar-ketar. Ehee..malulah~ Masalah gemuruh dari sekolah lagi. Haish~

Antara hasil pembentangan adalah lilin itu diibaratkan seperti maksiat, rintangan, petunjuk dan kaedah. Maksud lilin itu ibarat maksiat adalah sebagaimana lilin atau api yang kelihatannya cantik dan bersinar dari jauh tetapi apabila disentuh ia akan menbakar tangan kita. Begitulah juga maksiat. Maksiat itu kelihatan sangat mudah dan menyeronokkan tetapi hakikatnya yang menyeronokkan itu bukanlah sesuatu yang menyenangkan kita. Orang yang melakukan maksiat seronok di dunia tetapi susah di akhirat. Lilin itu juga umpama maksiat iaitu umpamanya apabila seorang anak kecil ingin menyentuh lilin tersebut, kita pasti akan melarangnya. Begitu jugalah di alam realiti, menjadi tanggungjawab kita sebagai pendakwah untuk menegur dan mengajar saudara-saudara kita yang tidak tahu seperti anak kecil tersebut.

Lilin umpama rintangan. Tugas sebagai pendakwah bukanlah tugas yang mudah. Jalannya bukanlah ditabur bunga yang mewangi tetapi dibentangkan jalan penuh berduri. Hanya mereka yang benar-benar berani sahaja mampu memikul tanggungjawab tersebut. Menjadi seorang pendakwah itu samalah seperti meletakkan tangan ke dalam api di mana ianya memerlukan keberanian dan semngat kerana rintangan yang bakal dihadapi bukanlah mudah. Sebagaimana nabi yang tersayang dihina, dicaci dan dimaki dalam perjalanan dakwahnya, begitu jugalah kita. Saya sendiri, dalam usaha saya berdakwah di alam maya ini bukan sedikit yang mencemuh. Mengatakan dakwah dengan kaedah blog atau penulisan ini adalah dakwah picisan dan dakwah murahan. Tetapi, saya kuatkan semangat dan saya yakin ALLAH bersama saya. Selagi mana ianya masih di atas landasan syariat, saya akan tetap meneruskan perjuangan ini.

Lilin umpama petunjuk. Pendakwah itu adalah seseorang yang memberi tunjuk ajar ke jalan yang benar dan menerangi jalan mereka yang selama ini hidup dalam kegelapan umpama lilin yang menerangi suasana yang suram. Lilin umpama kaedah. Maksudnya apabila sesuatu itu digunakan dengan betul maka baiklah hasilnya tetapi apabila sesuatu itu digunakan dengan cara yang salah walaupun apa yang digunakan itu sebenarnya baik, maka salahlah buruklah hasilnya. Umpama lilin atau apai, jika digunakan dengan baik maka baiklah dan begitulah sebaliknya. Contohnya internet, jika digunakan dengan betul ia boleh menjadi kaedah dakwah yang sangat berkesan tetapi jika internet digunakan ke jalan yang salah maka internet itu akan menjadi sesuatu yang buruk.

Ahad (15 Mei)
Pagi kami dimulakan dengan qiamulail dan solat subuh. Kemudian ada sedikit senaman sebelum kami bersarapan. Jam 10, aktiviti sebenar kami diteruskan.

Pada pagi itu kami menghadiri slot motivasi bersama mantan NYDP MPP USIM 2009, saudara Najib Taha. Beliau berkongsi pengalaman menjadi MPP dan memberikan tips kepada kami untuk menjadi seorang pemimpin yang baik.

Slot kedua kami adalah berkenaan tentang penggunaan sistem SIRA. Sistem ini memudahkan para pelajar dalam menyiapkan kertas kerja sesuatu program.

LDK 3 kami pada petang itu pula memerlukan kami menyiapkan sebuah kertas kerja mengikut program yang telah ditetapkan. Kumpulan saya ditugaskan menyiapkan kertas kerja 'Out Campus Student Society (OCSS)'. Program ini bertujuan untuk merapatkan hubungan pelajar dengan masyarakat luar di mana ramai pelajar yang tinggal di rumah sewa tetapi tidak berinteraksi dengan masyarakat sekeliling mereka menyebabkan apabila ada dalam kalangan mereka yang menghadapi kesusahan, masyarakat tidak membantu kerana tidak mengenali mereka sebagai pelajar.

Kertas kerja yang perlu kami siapkan adalah kertas kerja sebenar di mana program tersebut akan dilaksanakan dan menjadi realiti, insyaALLAH. Masa diberikan adalah 45 minit dan kami hanya sempat menyiapkan tentatif serta belanjawan program tetapi sayang seribu kali sayang kumpulan kami tidak sempat membentangkan hasil kerja kami kerana kesuntukan masa. Haish~saya baru nak asah bakat bercakap kat depan. Hihi..almaklumlah, ada darah gemuruh. Kenalah praktis selalu, hihi..

Petang itu diadakan majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah.

Alhamdulillah, inilah sedikit sebanyak yang dapat saya kongsikan bersama sahabat-sahabat semua. Semoga ada sesuatu yang dapat diambil dari sini.

Terima kasih kepada sahabat-sahabat MPP dan Rakan Exco yang memberikan saya 2 hari yang sangat bermanfaat walaupun agak memenatkan. Terus GIGIH dalam menghasilkan mutu kerja yang PADAT, BERNAS DAN BERPENGARUH!!!

p/s: kaki saya sakit,huhu..

No comments: