Assalamu’alaikum..
Ke hadapan Ukhti Nur Iman yang ana hormati. Maafkan ana seandainya surat ini mengganggu konsentrasi ukhti untuk membuat keputusan. Tetapi, hanya cara ini yang ana fikirkan adalah terbaik untuk mengelakkan sebarang fitnah antara kita. Ana harap, ukhti berlapang dada membaca surat ini.
Ukhti Nur Iman..kelmarin ana bertemu dengan Zulaikha. Dia dan Jannah datang ke rumah ana secara tiba-tiba. Dan Zulaikha telah menceritakan kepada ana tentang seorang pemuda bernama Mujahid yang pernah singgah ke dalam hidup ukhti. Ana tidak ingin bertanya tentang pemuda itu. Apa yang ana ingin sampaikan adalah tentang diri ana. Ana mungkin tidak setanding dengan Mujahid tetapi ana akan cuba sedaya upaya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami yang ukhti idamkan. Tidak ada apa yang istimewa dalam diri seorang pemuda bernama Ahmad Fauzi ini. Ana hanyalah insan biasa yang mendambakan kehadiran seorang bidadari untuk menjadi sayap kiri dalam perjuangan ana. Dan ana sangat berharap, gadis bernama Nur Iman itulah bidadari yang ana cari-cari selama ini.
Ana tahu kehadiran surat ini mungkin mengundang marah dihatimu. Tetapi ana sudah memohon keizinan dari kedua orang tua ukhti dan juga kedua orang tua ana untuk menitipkan surat ini kepadamu. Istikharahlah..ana menunggu jawapanmu.
Yang mengharap
Fauzi
Nur Iman melipat surat yang baru habis dibacanya itu lalu dimasukkan semula ke dalam sampul. Dia menarik nafas panjang dan menghembusnya perlahan. Hatinya benar-benar resah saat itu. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Dia benar-benar buntu. Matanya melirik jam di dinding yang menunjukkan pukul 4.45 pagi. Pantas kakinya melangkah ke kamar mandi untuk mengambil wuduk. Dia ingin mengadu kepadaNYA. Hanya DIA sahajalah yang mampu menolong di saat-saat sulit seperti ini.
Usai solat sunat tahajud, Nur Iman melaksanakan solat sunat hajat dan istikharah. Sudah seminggu dia melaksanakan istikharah untuk mencari jawapan bagi pinangan yang diterimanya itu. Namun, sehingga saat ini dia tidak punya jawapan pasti untuk diberikan kepada Fauzi.
“ YA ALLAH..hanya kepadaMU hambuMU ini memohon dan meminta. Hanya kepadaMU aku berserah. Bantulah aku. Berilah aku petunjukMU dan bimbinglah aku dalam setiap keputusan yang perlu aku lakukan. Aku buntu, YA ALLAH. Seandainya Fauzi itu adalah jodohku, kau tenangkanlah dan dekatkanlah hatiku dengannya. Kuatkanlah hatiku untuk menerima pinangannya. Dan seandainya dia bukan jodohku, berilah aku petunjuk agar aku yakin dengan keputusanku. Bantulah aku. Aku benar-benar tidak berdaya. Selama ini, hatiku hanya menggetarkan satu nama, Mujahid. Tetapi, seandainya dia bukanlah jodohku, KAU kuatkanlah hatiku untuk melupakannya. ALLAH..”
Nur Iman meraup wajahnya perlahan. Sendu yang bertamu dibiarkan berlagu. Air matanya dibiarkan terus menghujani wajahnya yang ayu dalam telekung merah jambu. Terketar-ketar tangannya mencapai sebuah kotak yang berisi butiran manik berwarna biru, seutas tasbih pemberian Mujahid.
“ Mujahid, maafkan Iman. Tasbih pemberianmu ini telah terputus sepertimana putusnya ikatan antara kita. Mungkin inilah petanda bahawa kita tidak berjodoh. Iman tidak akan mengharap atau menunggumu lagi.Semoga ALLAH sentiasa memberikan yang terbaik buatmu.”
Nur Iman menyimpan kotak tersebut di dalam sebuah laci. Dia mengambil sebuah naskhah al-quran. Pagi nan syahdu itu bertambah pilu dihiasi suaranya melagukan kalimah-kalimah cinta dari Yang Maha Esa.
“ Macam mana dengan kerja baru kamu, Zi?”
“ Alhamdulillah. Zi selesa kerja kat situ, pakcik. Majikan dan pekerja-pekerja kat situ semuanya layan Zi dengan baik. Ni pun satu tempat kerja dengan Zi jugak ni.”
Fauzi menepuk perlahan bahu sahabatnya yang hanya mendiamkan diri sejak mereka tiba ke rumah tersebut.
“ Alhamdulillah..baguslah kalau macam tu. Ni siapa nama tadi? Amar, Amir..Amir ye? Amir dah lama kawan dengan Zi ni?”
“ Lama dah, pakcik. Sejak saya sampai di Mesir tu, Zi ni lah yang banyak tolong saya. Tup..tup..Zi dengan saya sama-sama kena transfer ke tempat tu. Kalau dah jodoh tu tak ke mana..”
“ Haha..dah macam jodoh kahwinlah pulak.”
Serentak mereka ketawa. Petang itu,Fauzi berziarah ke rumah Nur Iman bersama sahabatnya Amir. Sengaja. Dia ingin memperkenalkan Amir dengan Nur Iman.
“ Eh, Zi..mana tunang kau yang kau nak tunjuk kat aku tu? Aku teringin jugak nak tengok gadis malang manalah yang bakal jadi isteri sahabat aku ni. Haha..”
Amir berbisik ke telinga Fauzi.
“ Sabarlah. Kejap lagi dia datang hantar air.”
Nur Iman sedang membancuh teh buat tunangnya, Fauzi yang berziarah bersama sahabatnya. Kata Fauzi, dia bercadang untuk menjodohkan sahabatnya itu dengan adik Nur Iman, Zulaikha. Setiap kali Fauzi datang menziarahinya di rumah, dia pasti sedaya upaya akan mengelak untuk berbicara panjang dengan tunangnya itu. Entah kenapa, rasa hatinya tidak membenarkan dia untuk mengenali Fauzi dengan lebih rapat.
Teko, 3 biji cawan dan piring disusun di dalam sebuah talam lalu Nur Iman menatangnya ke ruang tamu. Pandangannya hanya tertumpu pada dulang yang sedang dibawanya tanpa sedikit pun menoleh kepada para tetamunya.
Fauzi berdehem sambil menyiku Amir yang leka memerhatikan ikan di dalam akuarium di sebelahnya.
“ Tu lah tunang aku. Amacam? Solehah tak?”
Amir memandang sekilas pada gadis bertudung labuh yang sedang berjalan perlahan membawa dulang itu. Dadanya berdegup kencang. Batinnya bergetar. Jantungnya seakan berhenti berdegup buat seketika. Dia memandang gadis itu sekali lagi untuk memastikan pandangan matanya itu tidak berbohong.
“ I..I..Iman?”
Pantas Fauzi menoleh ke arah Amir apabila mendengar nama Nur Iman digumam perlahan oleh sahabatnya itu.
“ Kenal ke?”
Amir tersentak. Pandangannya segera ditundukkan. Istighfar mula berlagu di bibirnya buat penenang hati yang berkocak hebat.
“ Iman, ni lah kawan Fauzi yang Fauzi cakap hari tu, Amir Hazwan.
Prang!!!!!
Bersambung..hihi
2 comments:
eeee :'( ...mane smbungannye agi..hoho..cepat2 da smpai klimaks cter nieh...best2...cepat2 k iman,hehe
huk2~
sabaq..:P
blum smpai klimaks agy..
lmbt lg,hihi
Post a Comment