Sunday, May 8, 2011

Mahar Cinta Seutas Tasbih ( bahagian 4 )

“ Kak Shima, stok baru dah sampai?”

“ Dah, Iman. Ada kat belakang. Akak dah kira dah semua.”

“ Alhamdulillah, baguslah macam tu. Terima kasih ya, kak. Hari ni Iman nak balik awal sikit. Nanti akak tutup kedai ya. Kunci tu akak pegang dulu. Besok pagi, akak datang awal sikit bukak kedai. Iman pergi dulu ya, kak. Assalamu’alaikum.”

“ Wa’alaikumussalam.”

Shima menghantar pemergian Nur Iman dengan ekor matanya. Dia amat menyukai gadis solehah itu. Teringin benar dia menjodohkan Nur Iman dengan adik lelakinya.

“ Hmm..kan bagus kalau jadi adik ipar aku. Haha..”

Nur Iman keluar dari Butik Muslimah Mujahidah yang diusahakan sejak 3 bulan yang lalu itu. Butik pakaian muslimah itu dibuka setelah dia menamatkan pengajiannya dalam bidang muamalat. Minatnya yang mendalam terhadap bidang muamalat membuatnya berani untuk mencuba sesuatu yang baru dan berisiko. Butiknya itu hanya menempatkan busana dan aksesori muslimah dengan gaya dan fesyen masa kini tetapi tetap menitikberatkan ciri-ciri menutup aurat. Tiada busana ketat dan sendat sama sekali. Bahkan tudung berbidang kecil juga tidak dijual di butiknya. Sepenuhnya dengan gaya muslimah sejati. Berbeza dengan butik lain yang menjual busana muslimah ‘alaf baru’. ‘Muslimah tetapi jahiliyyah’, itulah tanggapannya terhadap busana muslimah yang sering dipakai pada masa kini. Dianggap muslimah, hakikatnya ia langsung tidak menepati ciri-ciri menutup aurat.

Istikharah cinta memanggilku..

Panggilan telefon segera dijawab sambil kakinya pantas melangkah menuju ke tempat parkir kereta.

“ Assalamu’alaikum..hello, umi. Ya, Iman ingat. Iman dah on the way ni. Okey, kejap lagi Iman sampai.”

Nur Iman mengeluh perlahan. Hari ini, dia berjanji dengan ibunya untuk mencuba jubah pengantin yang ditempah khas dari sahabat baik ibunya sendiri. Sejujurnya, dia tidak mempunyai perasaan apa-apa tentang pernikahannya itu. Kurang 3 bulan, dia akan diijab kabulkan dengan Fauzi dan selepas itu bermulalah tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Keretanya perlahan bergerak meninggalkan parkir di hadapan butiknya itu.

‘ Bersediakah aku untuk menjadi isterinya?’

Dia sendiri tidak mengerti tentang perasaannya. Fauzi lelaki yang baik, soleh dan sangat sabar dengan sikapnya yang tidak acuh dengan pernikahan mereka. Tetapi, dia sendiri tidak tahu mengapa hatinya begitu sukar untuk menerima Fauzi. Begitu keras hatinya diasuh dan diajar untuk mencintai Fauzi tetapi sehingga kini benih cinta yang disemai oleh Fauzi di dalam hatinya masih belum tumbuh bahkan untuk mencambahkannya pun dia tidak mampu.

Matanya mula bergenang apabila mengingati insiden di rumahnya minggu lepas. Insiden pertemuan semula setelah sekian lama tanpa khabar berita di antara dirinya dan Mujahid. Sama sekali dia tidak menyangka mereka akan ditemukan dalam keadaan seperti itu. Bergetar hatinya saat Fauzi menyebut nama itu. Wajah Mujahid tidak sempat ditatap tetapi mendengar namanya sahaja mampu membuat batin Nur Iman bergetar hebat.

Dia semakin keliru dengan hatinya kini. Lelaki yang selama ini didambakan sudah pulang tetapi kini dia terikat dengan seorang lelaki lain. Penyesalan dirasakan kerana tidak sabar menunggu kepulangan Mujahid. Jauh di sudut hatinya, walau ada rasa kecewa terhadap Mujahid, dia masih berharap pada pemuda pejuang Islam itu. Dia tahu, dirinya berdosa kerana menduakan tunangnya dalam diam. Namun, apa dayanya yang hanya seorang insan yang lemah apabila diuji dengan perasaan.

Pandangan Nur Iman kabur. Air mata yang bergenang di tubir mata diseka perlahan.

Istikharah cinta memanggilku..

Dendangan lagu kegemarannya mengejutkannya dari lamunan. Beg tangan di tempat duduk sebelah dicapai lalu zipnya dibuka. Tangannya menyelongkar mencari telefon bimbit yang masih berbunyi sambil matanya fokus ke arah jalan raya.

“ Mana handphone ni??”

Perhatian Nur Iman terhadap pemanduannya mula terganggu apabila apa yang dicari tidak ditemukan. Matanya mengerling ke kiri mengintai ke dalam beg tangannya. Telefon bimbit pantas dicapai dan punat hijau ditekan.

“ Assalamu’alaikum Iman..”

“ Wa’alaikummussalam..”

Serentak dengan jawapan salamnya, Nur Iman menoleh ke hadapan dan seekor kucing tiba-tiba melintas di hadapannya. Kerana terkejut, spontan tangan Nur Iman memusingkan sterengnya ke kiri untuk mengelak daripada melanggar anak kucing tersebut tanpa menyedari bahaya yang lebih besar sedang menanti di hadapannya .

Gedegang!!!!!

Kereta yang dipandu Nur Iman merempuh sebuah papan tanda yang berada di tepi jalan. Nur Iman tidak sedarkan diri. Darah membuak keluar daripada luka parah di kepalanya.

“ Hello..hello..Iman! Iman!”

* * *

“ Jangan risau. Cik Iman tak apa-apa. Dia berada dalam keadaan stabil. Cuma dia kehilangan banyak darah dan kami pula kekurangan darah jenis A di sini. Jadi, saya harap ada di antara keluarga Cik Iman yang berdarah A boleh menderma. Kita boleh menunggu bekalan darah dari hospital terdekat tetapi Cik Iman memerlukannya dalam kadar segera. Saya khuatir dia tidak dapat bertahan lebih lama.”

Puan Khadijah terduduk lesu di atas kerusi mendengar perkhabaran yang dibawa oleh Doktor Hafiz. Encik Zaki meraup wajahnya. Zulaikha dan Jannah memeluk Puan Khadijah yang sudah mula teresak-esak.

“ YA ALLAH, macam mana ni? Siapa darah jenis A? Umi darah B, abi kamu pun sama.”

“ Umi, Ika darah A tapi Ika tengah period. Mana boleh derma. Jannah tak boleh. Dia pun sakit jugak.”

Zulaikha berbisik kepada ibunya. Wajah mereka disaluti kebimbangan. Kalau keadaan ini berterusan, nyawa Nur Iman akan berada di dalam bahaya.

3 comments:

lavenderlover said...

salam..tumpang tanya..menarik la cerpen ni..is it ur karya?love it!

Si Pengemis Iman said...

wassalam..
hihi..xla,ada lg cerpen lain..
silalh bce,ada di laman ilmiah ruangan 'karya cinta-cerpen'

Si Pengemis Iman said...

wassalam..
alhamdulillah,ni karya sy..
sila tggu smbgnnye,insyaALLAH sy smbg scpt mgkn
silakn bce cerpen yg lain jge ye(^_^)