Sunday, May 22, 2011

Mahar Cinta Seutas Tasbih ( bahagian 6 )


“ Kak Iman, kenapa buat tak layan je kat Abang Amir? Akak ingat dia tak?”

Zulaikha bertanya sambil tangannya melipat telekung yang dipakai Nur Iman untuk solat sebentar tadi. Nur Iman mengambil alat kawalan jauh yang berada di atas meja disebelahnya lalu menekan punat ‘on’. Televisyen terpasang menayangkan sinetron dari negara seberang, Indonesia. Nur Iman berpura-pura tidak mendengar pertanyaan adiknya.

Zulaikha mendengus melihat reaksi Nur Iman. Pantas dia bangun dan merampas alat kawalan jauh tersebut dari tangan Nur Iman lalu menekan punat ‘off’.

“ Apa ni, Ika? Akak nak tengoklah.”

“ Mengada. Ika datang sini nak jenguk akak, nak borak-borak dengan akak. Kalau akak nak tengok tv, baik Ika balik rumah.”

“ Alalala..merajuk pulak dia. Yelah..jom, nak borak apa? Hihi..borak pasal Razif nak? Dia tak datang melawat akak pun lagi hari ni.”

Pantas Zulaikha mencubit lengan Nur Iman. Nur Iman mengaduh perlahan sambil tersengih-sengih. Tangannya menggosok-gosok lengannya yang dicubit. Suhaila terkekeh-kekeh mengetawakan mereka. Hatinya riang melihat kemesraan dua beradik itu.

“ Menyampahlah! Jangan sebut nama dia boleh tak? Serabutlah!”

“ Lah, apsal pulak? Tadi ajak akak borak-borak.”

“ Borak lainlah. Tak ada kerja borak pasal mamat tu. Suka cari pasal dengan Ika!”

Zulaikha mencebikkan bibirnya. Nur Iman dan Suhaila ketawa besar. Lucu melihat reaksi Zulaikha terhadap sahabat sekuliah mereka semasa dalam pengajian dahulu, Razif.

“ Iman, Su rasalah kan..Si Razif tu suka kat Ika ni. Kan, kan, kan??”

“ Setuju!”

“ Kak Su! Kak Iman!”

“ Ya!”

Serentak Nur Iman dan Suhaila menjawab teriakan Zulaikha. Terhenggut-henggut bahu mereka menahan tawa apabila melihat wajah masam Zulaikha. Seronok sungguh mereka dapat mengenakan gadis manis itu.

“ Bencilah.”

“ Ika, jangan cakap macam tu. Nanti benci bertukar jadi sayang. Hihi..”

“ Dah! Tukar topik lain pulak. Akak, Ika tanya tadi tak jawab. Akak ingat tak abang yang tadi tu?”

“ Abang? Abang mana??”

“ Abang Amirlah. Akak ingat tak? Kawan Abang Fauzi.”

“ Hmm..ingat. Gelilah Ika panggil dia abang.”

Nur Iman bersikap tidak acuh.

“ Lah..dia kan sebaya Abang Fauzi. Lagipun Ika hormat sangat pada Abang Fauzi tu.”

“ Kenapa??”

“ Kak Su tak bagitahu lagi ya pada Kak Iman?”

Nur Iman menoleh pada Suhaila. Suhaila menundukkan wajahnya.

“ Akak tau tak? Abang Amir tu yang dermakan darah pada akak. Kalau tak sebab dia, mesti akak dah tak ada atas katil ni hari ni.”

Terasa bagaikan halilintar menyambar permukaan bumi saat Nur Iman mendengar kata-kata yang terluah dari bibir Zulaikha. Dia terkedu. Hatinya terasa bagaikan ditusuk-tusuk sembilu yang memedihkan. Dia menatap Suhaila yang masih lagi tunduk memandang lantai.

“ Betul ke, Su? Betul ke dia yang selamatkan nyawa Iman?”

Suhaila menganggukkan kepalanya perlahan.

“ ALLAH..”

Nur Iman mula teresak. Dia menyembunyikan wajahnya di sebalik tapak tangannya. Suhaila pantas menghampiri Nur Iman lalu memeluknya erat. Zulaikha hairan melihat reaksi mereka seperti itu.

“ Laa..kenapa menangis ni, kak??”

Nur Iman menggeleng-gelengkan kepalanya. Pantas dia mengesat air mata pada wajahnya. Dia terlupa bahawa Zulaikha tidak mengetahui siapa sebenarnya Amir dalam hidupnya.

“ Assalamu’alaikum.”

“ Wa’alaikumussalam.”

Serentak mereka menjawab salam yang dihulurkan. Seorang jururawat yang manis bertudung masuk sambil tersenyum kepada mereka. Tangannya menatang dulang berisi makan tengahari dan ubat untuk Nur Iman serta sebuah buku.

“ Apa khabar Iman hari ni?”

Nur Iman sedaya upaya mengukirkan senyuman di wajahnya.

“ Alhamdulillah, Kak Ina. Iman dah rasa makin sihat. Pagi tadi pun, doktor bagitahu pada Iman yang Iman dah boleh keluar wad dalam masa 3 atau 4 hari.

“ Alhamdulillah. Baguslah macam tu. Ini, macam biasa. Makan tengahari dengan ubat Iman. Habiskan semuanya tau. Lepas tu, ni ada sebuah buku. Ada seorang lelaki bagi pada akak tadi. Dia pesan supaya akak bagi pada Iman.”

Marina menghulurkan buku tersebut kepada Nur Iman. Teragak-agak Nur Iman mencapai buku tersebut. Air matanya bergenang saat membaca tajuk buku tersebut yang merupakan sebuah novel cinta islamik. ‘ Cinta Seutas Tasbih’ karangan seorang penulis dengan nama penanya ‘ Amir Al-Mujahid . Nur Iman menyelak kulit novel tersebut yang memaparkan seutas tasbih biru yang didakap oleh seorang gadis di dadanya. Nur Iman melawan tangis yang ingin menghambur keluar.

Kerana seutas tasbih, dua hati itu bertemu

Kerana seutas tasbih, dua hati itu berpisah

Kerana seutas tasbih, kau setia menantiku

Kerana seutas tasbih, harapanmu utuh terpahat untukku

Kerana seutas tasbih itu, dua hati itu kembali bertemu

Namun, takdir tidak memungkinkan kita untuk bersatu

Jodoh itu hanya Dia yang tahu

Andai ini yang tertulis di Luh Mahfudz, aku tidak pernah ragu

Kerana Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku jua untukmu

Dan kerana tasbih itu, kiranya masih ada kemaafan untuk diriku

Kerana pernah memberikan harapan yang palsu kepadamu

Sesungguhnya kita hanya merancang dan Dia jualah yang Maha Penentu

Izinkan aku menjadi sahabat yang baik buatmu

Mujahid

Tangisan tidak mampu lagi disembunyikan. Nukilan ringkas itu membuatkan hati rapuh seorang wanita hancur berderai bagaikan kaca yang jatuh ke lantai.

‘ YA ALLAH..YA ALLAH..YA ALLAH..kuatkan aku.’

Nur Iman tenggelam sendirian dalam tangisan yang hanya dirinya mengerti.

1 comment:

DauZ(T_T)$haRif said...

huh..syok~~ 5 bntang...