Sunday, May 22, 2011

Mahar Cinta Seutas Tasbih ( bahagian 7 )



“ Abang Amir tu Mujahid??”

Zulaikha membeliakkan matanya. Dia dan Suhaila berada di luar wad. Sengaja ingin memberi waktu buat Nur Iman bersendirian menenangkan perasaannya. Puan Khadijah juga disuruh pulang dengan alasan Nur Iman sedang berehat.

Zulaikha benar-benar terkejut mendengar berita yang baru sahaja disampaikan oleh Suhaila. Dia benar-benar tidak menyangka bahawa pemuda bernama Amir Hazwan yang menyelamatkan nyawa kakaknya itu adalah Mujahid. Barulah kini dia mengerti maksud tangisan Nur Iman.

“ Jadi, sekarang macam mana? Akak dah nak kahwin dengan Abang Fauzi. Dan..dan, diorang berkawan! Tak mungkin Abang Amir, eh..Abang Mujahid akan mengkhianati sahabatnya sendiri kan? Tapi, Kak Iman..Kak Iman sayang sangat dengan Abang Mujahid. Macam mana ni, Kak Su?”

Hampir menangis Zulaikha memikirkan kemelut yang dihadapi oleh Nur Iman. Sama sekali dia tidak menyangka bahawa Nur Iman sedang bertarung melawan perasaannya demi untuk menggembirakan hati keluarga mereka.

“ Akak pun tak tahu. Kita serahkan segala-galanya pada Dia. Dia lebih tahu rahsia di sebalik setiap apa yang berlaku. Cuma akak nak ingatkan Ika. Jangan panggil Amir dengan panggilan Mujahid.”

“ Kenapa?”

“ Ika, cuba Ika letakkan diri Ika dalam situasi Fauzi. Kalau Fauzi tahu yang Amir tu adalah Mujahid, sahabatnya sendiri, Ika rasa apa yang dia akan buat?”

Zulaikha termenung. Dia teringat bahawa dirinya pernah membocorkan rahsia tentang Mujahid kepada Fauzi.

“ Hmm..salah Ika sebab Ika ceritakan pasal Mujahid tu pada Abang Fauzi.”

“ Sudahlah, perkara dah berlaku. Sekarang ni, yang paling penting adalah kesihatan kakak Ika. Ika bantulah dia untuk menghadapi semua dugaan ni.”

“ InsyaALLAH, kak.”

Zulaikha membulatkan tekad di hatinya untuk membantu Nur Iman. Dia tidak mahu lagi melihat tangisan Nur Iman kerana seorang lelaki. Dia inginkan kebahagiaan Nur Iman. Samada ianya adalah Amir atau Fauzi, dia tidak pasti. Apa yang dia pasti, pemuda yang bakal mendampingi kakaknya adalah pemuda yang soleh dan menyayangi kakaknya keranaNYA.

* * *

Gang, gang, gang..

Pintu bilik wad tiba-tiba diketuk dengan kasar daripada luar. Nur Iman, Suhaila dan Zulaikha berpandangan sesama mereka.

“ Siapa yang ketuk kuat sangat tu?”

Zulaikha pantas mengangkat punggungnya daripada kerusi lalu melangkah ke arah pintu wad. Dia membukanya perlahan-lahan.

“ Assalamu’alaikum!”

“ Umi!!!!”

Zulaikha menjerit kuat apabila tiba-tiba dijerkah dengan salam oleh seseorang. Dia benar-benar terperanjat. Kalaulah jantungnya itu seperti sebiji buah yang bergantungan di dahan pokok, pasti ianya sudah gugur kerana dijerkah secara tiba-tiba. Dia mengurut dadanya perlahan.

Razif tersengih melihat wajah Zulaikha yang pucat. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“ Orang bagi salam tu jawablah. Ada ke panggil umi dia pulak.”

Razif pantas mengusik.

“ Wa’alaikumussalam!”

Zulaikha menjawab kasar. Jelingan tajam dihadiahkan buat Razif yang masih tersengih-sengih memandangnya.

Razif tersenyum. Wajah masam Zulaikha mencuit hatinya. Memang menjadi kegemarannya mengusik adik sahabat baiknya itu. Entah kenapa, setiap kali Zulaikha marah kepadanya ada suatu rasa yang menyebabkan dia merasakan hatinya dekat dengan gadis manis itu.

“ Boleh ana masuk?”

“ Masuklah kalau tak malu!”

Zulaikha menjawab kasar. Pantas kakinya melangkah semula ke arah katil Nur Iman.

“ Memang tak malu pun. Hihi..”

Razif berbisik dengan dirinya sendiri. Pantas dia melangkah masuk lalu menghampiri Nur Iman dan Suhaila yang sedang menahan ketawa melihatnya. Dia mengangkat sebelah keningnya tanda hairan.

“ Kenapa ketawa?”

Nur Iman tidak mampu lagi menahan tawanya dari meletus. Gelagat mereka sangat mencuit hatinya. Terlupa seketika dengan masalah hatinya.

“ Hang lah, sampai-sampai jah terus mengurat Si Ika ni. Gatai nah.”

“ Uik..mana ada aku mengurat dia. Dia yang mengurat aku. Kan Ika, kan?”

Zulaikha menjeling tajam.

“ Ok, ok. Jangan marah. Ana gurau je. Maaf.”

“ Tau takut.”

Nur Iman tersenyum.

“ Sudahlah tu. Korang ni asyik bergaduh je. Kahwinkan korang berdua ni, baru tau! Kau ni, Razif..datang sini nak menjenguk aku ke nak mengurat Si Ika ni?? Tak habis-habis dengan perangai tak senonoh kau tu.”

“ Hihi..aku datang nak jenguk kau lah. Macam mana kau hari ni? Bila boleh balik? Aku penatlah datang jenguk kau kat sini hari-hari.”

“ Eh, aku tak suruh pun kau datang jenguk aku. Kalau penat tak payahlah datang.”

“ Eleh..merajuk pulak dia. Gurau je laa.”

Razif menghampiri meja di sebelah Nur Iman lalu mengambil sebiji coklat. Nur Iman dan Suhaila menggeleng-geleng melihat sikapnya yang selamba.

“ Hmm..tadi, masa aku parking motor kat bawah tu, aku rasa macam nampak Mujahidlah. Tapi tak sempat nak kejar, dia dah pergi naik kereta. Aku tak pasti betul ke tak yang aku nampak tu Mujahid. Lama betul tak dengar khabar dia.”

Suasana sepi. Tiada sebarang reaksi yang diberikan kepada kata-kata Razif.

“ Awat??”

Razif berasa pelik melihat pandangan Suhaila dan Zulaikha terhadapnya. Dia menilik-nilik dirinya sendiri dari atas ke bawah.

“ Kenapa pandang aku macam tu? Aku hensem sangat ke hari ni??”

“ Hensem tengkorak hang! Hang ni memanglah bendul sungguh! Memang muka lapaq penampaq! Hish!”

“ Laa..apasal? Apa aku dah buat?”

Suhaila memuncungkan bibirnya ke arah Nur Iman yang sedang tertunduk membisu. Razif menatap lama pada sahabatnya itu. Lama sungguh dia memikirkan sebab mereka bersikap seperti itu terhadap kata-katanya. Tiba-tiba dia teringat semula sejarah lama antara Mujahid dan Nur Iman. Dia mengeluh. Dia benar-benar terlupa.

“ Err..”

“ Lamanya loading.”

Zulaikha memerli. Geram. Razif tidak mempedulikan kata-kata Zulaikha. Dia menghampiri Nur Iman di kaki katil. Rasa bersalah menguasai dirinya.

“ Iman..kau tak apa-apa? Maaf, aku terlupa.”

Nur Iman pantas mengangkat kepalanya lalu tersenyum.

“ Laa..aku ok je. Kenapa pulak kalau itu Mujahid. Memang Mujahid pun. Aku baru je jumpa dia tadi.”

Selamba Nur Iman menjawab. Sedayanya dia cuba mengawal emosinya.

“ ALLAH berjanji kepada kita. Lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik dan perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Belum tentu apa yang kita sukai adalah yang terbaik untuk diri kita dan belum tentu apa yang tidak kita sukai adalah buruk buat kita. ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk hambaNYA. Setiap apa yang terjadi pasti ada hikmah dan rahsia yang tersembunyi di sebaliknya. Hanya kita sahaja yang belum mampu merungkaikan rahsia itu. Sabarlah..percayalah kepada janjiNYA. DIA tidak akan menghampakan hambaNYA yang bertaqwa kepadaNYA.”

Kata-kata lembut tetapi penuh ikhlas yang diucapkan oleh Razif itu seakan menyuntik semangat ke dalam diri Nur Iman. Dia tersenyum memandang Razif yang masih kaku menatapnya dengan wajah sayu dan penuh rasa bersalah. Dia tersenyum manis buat sahabat baiknya itu.

“ Syukran..”

“ Eh? Aku ke yang bercakap tadi tu? Tak sangka, hebat juga aku ni. Kau cairkah Iman dengan kata-kata manisku itu? Hihi..”

Habis terhambur keluar tawa dari bibir mereka semua. Riuh suasana wad itu dengan gelagat mereka. Razif yang galak mengusik. Zulaikha yang kuat merajuk. Suhaila yang lucu dengan loghat Kedahnya. Dan Nur Iman yang sesekali nakal dan kerap menjadi pendamai kekecohan mereka.

Indahnya sebuah persahabatan andai disulam dengan rasa cinta kepadaNYA.

3 comments:

Muhammad Afifi said...

ske razif hik3 ^_^

DauZ(T_T)$haRif said...

mana penamatnya kak??...hhihihi..mmng bes pnlisan akk ~.~

are-!n-nAdz said...

mabruk alaik ukhti . .